Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz kongsikan kepada kami hadith-hadith mengenai keutamaan air sungai Nil? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزْقًا لَّكُمْ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْفُلْكَ لِتَجْرِىَ فِى ٱلْبَحْرِ بِأَمْرِهِۦ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْأَنْهَـٰرَ
Maksudnya: “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya).”
(Surah Ibrahim: 32)
Imam Fakhruddin al-Razi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Allah SWT menyebut tanda-tanda kekuasaan-Nya sebagai bukti kepada manusia tentang kewujudan dan keagungan-Nya. Salah satu tanda yang besar ialah penciptaan sungai dan mengaturkannya untuk menjadi manfaat buat manusia. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 19/96).
Hakikat Sungai
Sungai di dalam bahasa Arab disebutkan al-nahr (النَهْرُ), iaitu sebuah permukaan air yang mengalir di daratan dalam sebuah saliran yang panjang. Kebanyakan sungai bermula dari kawasan pergunungan atau bukit tinggi. Sungai boleh terhasil daripada glasier yang mencair, mata air, atau tasik yang melimpahkan airnya. Semasa sungai mengalir dalam laluannya, ia menerima tambahan air daripada anak sungai, sungai lain, dan air hujan. Di penghujungnya, sungai akan bermuara, di mana airnya mengalir ke dalam sungai yang lebih besar, tasik, atau lautan. (Lihat al-Mausu‘ah al-‘Arabiyyah al-‘Alamiyyah, 25/539)
Hakikat Sungai Nil
Sungai Nil ialah sebatang sungai utama yang mengalir ke utara di benua Afrika; ia sungai terpanjang benua tersebut. Sungai Nil umumnya pernah dianggap sebagai sungai yang terpanjang di dunia, namun kajian terbaharu lebih menyatakan sungai Amazon mempunyai tambahan jarak yang sedikit lebih.
Hadith-hadith yang menyebut tentang kelebihan air Sungai Nil
Terdapat banyak hadith yang menunjukkan keutamaan air Sungai Nil. Antaranya ialah apa yang diriwayatkan daripada hadith Malik bin Sa‘sa‘ah R.A mengenai peristiwa Isra’ dan Mi‘raj, bahawa Nabi SAW bersabda:
ثُمَّ رُفِعْتُ إِلَيَّ سِدْرَةِ المُنْتَهَى، فَإِذَا نَبْقُهَا مِثْلُ قِلاَلِ هَجَرَ، وَإِذَا وَرَقُهَا مِثْلُ آذَانِ الفِيَلَةِ، قَالَ: هَذِهِ سِدْرَةُ المُنْتَهَى، وَإِذَا أَرْبَعَةُ أَنْهَارٍ: نَهْرَانِ بَاطِنَانِ وَنَهْرَانِ ظَاهِرَانِ، فَقُلْتُ: مَا هَذَانِ يَا جِبْرِيلُ؟ قَالَ: أَمَّا البَاطِنَانِ فَنَهْرَانِ فِي الجَنَّةِ، وَأَمَّا الظَّاهِرَانِ فَالنِّيلُ وَالفُرَاتُ
Maksudnya: “Kemudian Sidratul Muntaha diangkat (diperlihatkan) kepadaku, yang buahnya (besar) seperti tempayan-tempayan daerah Hajar dengan daunnya laksana telinga-telinga gajah. Jibril A.S berkata: ‘Ini adalah Sidratul Muntaha. Di tanahnya, ada empat sungai; dua sungai Batin dan dua sungai Zahir.’ Aku bertanya: ‘Apakah ini wahai Jibril? (Apakah sungai-sungai itu?)’ Jibril menjawab: ‘Adapun dua sungai Batin adalah dua sungai yang berada di syurga, sedangkan dua sungai Zahir adalah (sungai) al-Nil dan (sungai) Furat.’”
Riwayat al-Bukhari (3887)
Dalam riwayat Muslim dinyatakan:
وحَدَّثَ نَبِيُّ اللهِ ﷺ، أنّه رَأى أرْبَعَةَ أنْهارٍ يَخْرُجُ مِن أصْلِها نَهْرانِ ظاهِرانِ، ونَهْرانِ باطِنانِ، فَقُلتُ: يا جِبْرِيلُ، ما هذِه الأنْهارُ؟ قالَ: أمّا النَّهْرانِ الباطِنانِ فَنَهْرانِ في الجَنَّةِ، وأَمّا الظّاهِرانِ: فالنِّيلُ والفُراتُ
Maksudnya: “Nabi Allah SAW menyampaikan bahawa Baginda melihat empat sungai yang terbit dari asalnya. Dua sungai zahir dan dua sungai batin. Maka Baginda SAW bertanya: ‘Wahai Jibril, sungai-sungai apakah ini?’ Jibril menjawab: ‘Adapun dua sungai Batin adalah dua sungai yang berada di syurga, sedangkan dua sungai Zahir adalah (sungai) al-Nil dan (sungai) Furat.’”
Riwayat Muslim (164)
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa lafaz “يَخْرُجُ مِنْ أَصْلِهَا” (terbit dari asalnya) adalah merujuk kepada “asal Sidratul Muntaha” sebagaimana penjelasan yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan selainnya. Muqatil berpendapat, sungai batin adalah merujuk kepada Salsabil dan Kauthar. Selain itu, al-Qadhi ‘Iyadh ada menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa asal Sidratul Muntaha adalah dari bumi disebabkan oleh terbitnya sungai Nil dan Furat dari asalnya. Kemudian, Imam al-Nawawi menyebutkan, apa yang diucapkannya itu bukanlah suatu kelaziman. Bahkan sebaliknya maknanya ialah sungai-sungai itu terbit dari asalnya (yakni Sidratul Muntaha), kemudian ia mengalir sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT sehinggalah ia terbit dari bumi dan mengalir di dalamnya. Akal dan syarak tidak menafikan perkara ini. Malah ia adalah zahir daripada hadith. Justeru, wajib untuk pergi kepadanya (berpegang dengannya). Wallahu a‘lam. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/224-225).
Begitu juga hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
سَيْحَانُ وَجَيْحَانُ وَالفُرَاتُ وَالنِّيلُ كُلٌّ مِنْ أَنْهَارِ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Sungai Saihan, Jaihan, Furat dan Nil — semuanya adalah daripada sungai-sungai syurga.”
Riwayat Muslim (2839)
Menurut al-Qadhi ‘Iyadh, keempat-empat sungai ini merupakan sungai-sungai yang terbesar di negeri-negeri Islam: Sungai Nil di bumi Mesir, Sungai Furat di Iraq, dan Saihan serta Jaihan – dan ada juga yang menyebutnya sebagai Saihun dan Jaihun – di negeri Khurasan. Ada pendapat yang menyatakan bahawa maksudnya ialah iman telah menyebar ke seluruh wilayah sungai-sungai ini dan melimpah ke atasnya, dan bahawa jasad-jasad yang mendapat zat makanan daripada air sungai-sungai ini akan berakhir di dalam syurga. Juga terdapat pandangan bahawa hadith ini difahami secara zahir, iaitu sungai-sungai ini mempunyai sambungan atau punca dari syurga, kerana menurut Ahli Sunnah, syurga sudah pun wujud dan telah diciptakan, malah ia adalah tempat yang Adam AS diturunkan daripadanya. (Lihat Ikmal al-Mu‘lim, 8/372).
Inilah di antara hadith-hadith yang menunjukkan dengan jelas kemuliaan dan keistimewaan Sungai Nil.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”