Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini saya ada mendengar satu ungkapan yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah sebab penciptaan alam ini, dengan lafaz: “Jika tidak kerana engkau (wahai Muhammad), nescaya Aku tidak menciptakan alam ini.” Apakah status hadith ini? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Hadith yang dinyatakan ini pernah tersebar dalam kalangan masyarakat, terutamanya melalui ucapan dan penulisan yang bersifat memuliakan Nabi Muhammad SAW. Namun begitu, berdasarkan penelitian para ulama hadith, lafaz yang dikatakan dalam hadith qudsi:

لَوْلَاكَ مَا خَلَقْتُ الْأَفْلَاكَ

Maksudnya: “Jika tidak kerana engkau (Muhammad), nescaya Aku (Allah) tidak menciptakan alam semesta.”

Lafaz ini bukanlah hadith yang sahih, bahkan tidak sabit daripada mana-mana kitab hadith yang muktabar. Ia merupakan rekaan dan direka atas nama Nabi SAW tanpa sanad yang sahih.

Al-Syaukani dalam kitabnya al-Fawa’id al-Majmu‘ah fi al-Ahadith al-Mawdu‘ah (hlm. 326) menyatakan bahawa hadith ini disebut oleh al-Saghani sebagai Hadith yang maudhu‘ (palsu).

Dalam al-Silsilah al-Dha‘ifah (no. 282), turut ditegaskan bahawa hadith ini maudhu‘.”

Terdapat juga riwayat daripada al-Hakim yang meriwayatkan hadith daripada Sa’id bin Arubah, daripada Qatadah, daripada Sa’id bin al-Musayyib, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Allah telah mewahyukan kepada ‘Isa AS:

يَا عِيسَى آمِنْ بِمُحَمَّدٍ وَأْمُرْ مَنْ أَدْرَكَهُ مِنْ أُمَّتِكَ أَنْ يُؤْمِنُوا بِهِ فَلَوْلَا مُحَمَّدٌ مَا خَلَقْتُ آدَمَ وَلَوْلَا مُحَمَّدٌ مَا خَلَقْتُ الْجَنَّةَ وَلَا النَّارَ وَلَقَدْ خَلَقْتُ الْعَرْشَ عَلَى الْمَاءِ فَاضْطَرَبَ فَكَتَبْتُ عَلَيْهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولٌ اللَّهِ فَسَكَنَ

Maksudnya: Wahai ‘Isa, berimanlah kamu kepada Muhammad, dan perintahkanlah sesiapa daripada umatmu yang sempat bertemunya supaya mereka beriman kepadanya. Jika bukan kerana Muhammad, Aku tidak akan menciptakan Adam. Jika bukan kerana Muhammad, Aku tidak akan menciptakan syurga dan neraka. Sesungguhnya Aku telah menciptakan ‘Arasy di atas air, lalu ia bergetar, maka Aku menulis padanya: ‘La ilaha illa Allah, Muhammad Rasulullah’, lalu ia pun menjadi tenang.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4227)

Al-Hakim selepas meriwayatkan hadith ini menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih, tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Namun, al-Zahabi menegur penilaian ini dalam Talkhis al-Mustadrak dan menyebut: “Aku mengira hadith ini maudhu‘ atas nama Sa‘id bin Abi ‘Arubah.”

Sa‘id bin Abi ‘Arubah yang dimaksudkan ialah salah seorang perawi hadith ini, dan hadith ini diriwayatkan daripadanya oleh ‘Amr bin Aus al-Ansari, yang dituduh sebagai orang yang mereka-reka hadith ini. Al-Zahabi telah menyebutnya dalam al-Mizan dan berkata: ‘Dia membawa khabar yang munkar,’ kemudian beliau menyebut hadith ini dan berkata: ‘Aku mengiranya sebagai hadith yang palsu.’ Al-Hafiz Ibn Hajar juga bersetuju dengannya sebagaimana dalam al-Lisan.”

Abu al-’Abbas Ibn Taimiyah ketika ditanya “Adakah hadith yang disebut oleh sebahagian orang: لولاك ما خلق الله عرشاً ولا كرسياً ولا أرضاً ولا سماء ولا شمسا ولا قمرا ولا غير ذلك (Jika bukan kerana engkau, maka Allah tidak akan menciptakan ‘Arasy, Kursi, bumi, langit, matahari, bulan dan selainnya) – adakah ia sahih ataupun tidak?”

Lalu beliau menjawab: “Muhammad SAW adalah penghulu anak-anak Adam, makhluk paling utama dan paling mulia di sisi Allah. Disebabkan itu, ada yang berkata: ‘Sesungguhnya Allah menciptakan alam kerana baginda,’ atau, ‘jika bukan kerana baginda, maka tidak akan diciptakan ‘Arasy, Kursi, langit, bumi, matahari, bulan.’ Akan tetapi, ini bukanlah hadith daripada Nabi SAW – tidak sahih dan juga tidak da‘if. Tiada seorang pun daripada kalangan ahli ilmu dalam bidang hadith yang meriwayatkannya daripada Nabi SAW. Bahkan tidak juga diketahui daripada kalangan para sahabat. Ia hanyalah ucapan yang tidak diketahui siapa yang mengatakannya.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 11/86-96)

Al-Lajnah al-Da’imah yang merupakan Jawatankuasa Fatwa Tetap Arab Saudi  ketika ditanya: “Adakah boleh dikatakan bahawa Allah menciptakan langit dan bumi kerana Nabi SAW? Dan apakah maksud ‘Lolaaka lamaa khalaqtul aflaak’ (Jika bukan kerana engkau, maka Aku tidak menciptakan bintang-bintang)? Adakah ini sebuah hadith asalnya?”

Lalu mereka menjawab: “Langit dan bumi tidak diciptakan kerana baginda SAW, bahkan ia diciptakan kerana apa yang telah disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَمِنَ الْأَرْضِ مِثْلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ الْأَمْرُ بَيْنَهُنَّ لِتَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا

Maksudnya: “Allah yang menciptakan tujuh langit dan dari bumi seumpamanya. Perintah Allah turun di antara semuanya, supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dan bahawa Allah meliputi segala sesuatu dengan ilmu-Nya.”

(Surah al-Talaq, ayat 12)

Adapun ‘hadith’ yang disebut itu, maka ia adalah dusta ke atas Nabi SAW dan tiada asas kesahihannya.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 1/312):

Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika ditanya berkenaan hadith ini, beliau menyebut: “Ini hanyalah dipetik daripada kata-kata sebahagian orang awam, dan mereka tidak memahami (apa yang mereka ucapkan). Sebahagian orang berkata: ‘Sesungguhnya dunia diciptakan kerana Muhammad, dan jika bukan kerana Muhammad, nescaya dunia tidak akan diciptakan, dan manusia tidak akan diciptakan.’ Maka ini adalah batil, tidak mempunyai asal-usulnya, dan merupakan kata-kata yang rosak.

Sesungguhnya Allah menciptakan dunia agar Dia dikenal dan diketahui sebagai Tuhan, Maha Suci dan Maha Tinggi, dan supaya Dia disembah, Maha Agung dan Maha Mulia. Allah menciptakan dunia dan makhluk agar Dia dikenali dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya, dengan kekuasaan dan ilmu-Nya, dan agar Dia disembah dengan mentauhidkan-Nya serta ditaati, Maha Suci Dia. Bukanlah kerana Muhammad, dan bukan juga kerana Nuh, atau Musa, atau ‘Isa, atau selain daripada mereka dalam kalangan para nabi. Bahkan Allah menciptakan makhluk supaya Dia disembah semata-mata, tanpa sebarang sekutu bagi-Nya.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 46)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa lafaz “Jika tidak kerana engkau, nescaya Aku tidak menciptakan alam ini” bukanlah hadith dan merupakan hadith maudhu’ (palsu) dan ia adalah rekaan yang dinisbahkan kepada Baginda SAW secara dusta. Ia tidak terdapat dalam mana-mana sumber hadith sahih. Bahkan ia ditolak oleh para ulama hadith muktabar seperti al-Syaukani, al-Zahabi, Ibn Hajar dan lain-lain. Tiada satu pun sanad yang sahih atau da‘if yang boleh menyokongnya, malah ia tidak diketahui asal usulnya daripada Nabi atau para sahabat.

Allah SWT menciptakan langit dan bumi bukan kerana sesiapa daripada kalangan makhluk, walaupun semulia Nabi Muhammad SAW, tetapi demi untuk memperkenalkan Diri-Nya, nama-nama dan sifat-sifat-Nya, dan agar Dia disembah tanpa sekutu. Maka, umat Islam tidak sewajarnya menyebarkan hadith palsu ini, sekalipun atas niat untuk memuliakan Nabi SAW, kerana pemuliaan terhadap Rasulullah SAW mestilah dilakukan dengan cara yang benar dan bersandarkan kepada dalil yang sahih, bukan dengan menyebarkan ucapan-ucapan rekaan atas nama agama. Allah SWT menciptakan langit dan bumi kerana hikmah-Nya yang agung, iaitu supaya Dia dikenali, diimani dan disembah dengan mentauhidkan-Nya.

Akhirnya, semoga kita semua diberikan kefahaman yang benar dalam agama, dijauhkan daripada menyebarkan perkara yang dusta atas nama Rasulullah SAW, dan termasuk dalam kalangan orang yang mencintai Baginda SAW dengan sebenar-benar cinta yang berlandaskan ilmu dan kebenaran. Wallahu a’lam