Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon penjelasan tentang maksud ayat terakhir dalam Surah al-Talaq ayat 12: اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَمِنَ الْأَرْضِ مِثْلَهُنَّ … Apakah maksud sebenar ayat ini? Adakah benar bumi juga tujuh sebagaimana langit?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Firman Allah SWT:

 اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَمِنَ الْأَرْضِ مِثْلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ الْأَمْرُ بَيْنَهُنَّ لِتَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا

Maksudnya: “Allah yang menciptakan tujuh langit dan dari bumi yang seumpamanya. Perintah-Nya turun di antara langit dan bumi, supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu dan bahawa Allah, ilmu-Nya meliputi segala sesuatu.”

(Surah al-Talaq: 12)

Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa Dialah yang menciptakan tujuh lapis langit dan juga tujuh bumi, dan perintah-Nya diturunkan antara semuanya — sama ada perintah syariat mahupun qadar. Hal ini menjadi bukti akan kekuasaan dan ilmu Allah yang tidak terbatas. Ia mendorong manusia untuk tunduk dan menyembah-Nya serta mentaati segala perintah-Nya.

Ibn Kathir berkata dalam tafsirnya: “Allah SWT memaklumkan tentang kekuasaan-Nya yang sempurna dan kerajaan-Nya yang agung, agar ia menjadi sebab untuk mengagungkan syariat-Nya yang lurus, dengan firman-Nya: ‘Allah yang menciptakan tujuh langit dan dari bumi seumpamanya’ – iaitu tujuh juga.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/156)

Al-Syaukani menyebutkan dalam kitabnya: “Frasa ‘dan dari bumi seumpamanya’ bermaksud Allah menciptakan daripada bumi tujuh lapisan juga. Para ulama berbeza pendapat tentang bentuk tujuh lapisan bumi ini. Al-Qurtubi berkata dalam tafsirnya: Terdapat dua pendapat dalam hal ini: Pendapat pertama – dan inilah pendapat majoriti – bahawa ia merupakan tujuh bumi yang bertingkat-tingkat, satu di atas yang lain, dan di antara setiap lapisan bumi itu terdapat jarak sebagaimana jarak antara langit dan bumi. Manakala al-Dhahhak pula berkata: Ia bertindan satu atas yang lain tanpa sebarang celahan, berbeza dengan langit yang mempunyai ruang. Namun, pendapat pertama adalah lebih sahih kerana hadith-hadith menunjukkan ke arah itu.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/346)

Syeikh al-Sa‘di menyatakan: “Allah SWT telah memberitahu bahawa Dia menciptakan makhluk daripada tujuh lapisan langit dan apa yang ada di dalamnya, serta tujuh lapisan bumi dan apa yang ada di dalamnya, dan juga apa yang berada di antara keduanya. Dia juga menurunkan “al-amr” – iaitu syariat dan hukum-hukum agama yang diwahyukan kepada para rasul untuk mengingatkan dan menasihati hamba-hamba-Nya. Begitu juga dengan perintah-perintah ketentuan dan kehendak-Nya (kauniyyah dan qadariyyah) yang mengatur alam ciptaan ini.

Semua itu adalah supaya hamba-hamba mengenali-Nya dan mengetahui bahawa kekuasaan-Nya meliputi segala sesuatu, dan ilmu-Nya meliputi segala perkara. Maka apabila mereka mengenal-Nya dengan sifat-sifat-Nya yang suci dan nama-nama-Nya yang indah, lalu mereka menyembah-Nya, mencintai-Nya dan menunaikan hak-Nya – itulah tujuan utama penciptaan dan pentadbiran alam ini: untuk mengenal Allah dan menyembah-Nya. Maka tujuan ini hanya dicapai oleh hamba-hamba-Nya yang diberi taufiq dalam kalangan orang-orang soleh, manakala golongan yang zalim dan berpaling tetap berpaling daripadanya.” (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 872)

Begitu juga, diriwayatkan oleh Ibn Mas‘ud R.A bahawa beliau berkata:

 مَا بَيْنَ السَّمَاءِ الدُّنْيَا وَالَّتِي تَلِيهَا مَسِيرَةُ خَمْسِمِائَةِ عَامٍ، وَبَيْنَ كُلِّ سَمَاءٍ مَسِيرَةُ خَمْسِمِائَةِ عَامٍ

Maksudnya: “Jarak antara langit dunia dan langit yang seterusnya adalah sejauh perjalanan lima ratus tahun, dan jarak antara setiap dua langit juga adalah sejauh lima ratus tahun.”

Riwayat al-Tabrani dalam al-Mur‘jam al-Kabir (8987). Hadith ini diinilai hasan.

Maka langit itu tujuh lapis, dan bumi juga tujuh lapis – dan itu semua merupakan kesempurnaan kekuasaan Allah SWT. Perintah Allah, sama ada yang berbentuk syariat mahupun ketetapan (takdir), turun di antara kesemuanya. Apa yang wajib ke atas kita ialah berhenti setakat apa yang telah dimaklumkan secara syarak tanpa melampaui batas. Al-Quran dan hadith-hadith sahih telah memberitahu kita bahawa langit itu tujuh dan bumi juga tujuh.

Kita juga mengetahui daripada hadith bahawa setiap lapisan langit mempunyai penghuni-penghuninya. Namun, tidak ada berita yang sampai kepada kita tentang keadaan bumi-bumi selain daripada bumi yang kita duduki sekarang ini. Maka, adalah wajib untuk kita berpegang kepada apa yang telah dibawa oleh khabar (nas), serta beriman bahawa bumi itu tujuh lapis – tanpa perlu menyelidik dan menyiasat perkara yang melangkaui hal itu, sama ada ia disahkan atau ditolak oleh sains moden, atau perkara lain yang mungkin menimbulkan keraguan dan syak wasangka.

Bahkan, kita wajib beriman bahawa pengetahuan yang menyeluruh dan kekuasaan yang sempurna terhadap alam-alam tinggi dan rendah ini hanyalah milik Allah semata-mata. Inilah sebahagian daripada kesempurnaan ilmu kita bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan bahawa Dia meliputi segala sesuatu dengan ilmu-Nya. Maka dengan itu kita berkata: ‘Kami dengar, kami taat, dan kami membenarkan.’

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa ayat terakhir dalam Surah al-Talaq ini menjelaskan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT yang mencipta tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi. Para ulama tafsir bersepakat bahawa bilangan tersebut adalah hakiki, bukan sekadar simbolik. Perintah Allah SWT — sama ada yang bersifat syar‘i atau qadar — turun dan berlaku dalam seluruh lapisan tersebut sebagai tanda kebesaran dan keagungan-Nya.

Walaupun bentuk dan keadaan tujuh lapis bumi tidak dijelaskan secara terperinci dalam nas, namun kewujudannya wajib diimani sebagaimana yang disebut dalam al-Quran dan disokong oleh hadith-hadith yang sahih. Kita dilarang untuk melampaui batas dalam menafsirkan perkara-perkara ghaib melebihi apa yang telah diberitakan melalui wahyu.

Oleh itu, kita hendaklah meneguhkan keimanan kita bahawa seluruh alam ciptaan ini berada dalam kekuasaan dan ilmu Allah SWT yang Maha Sempurna. Tujuan penciptaan langit, bumi, dan penurunan perintah adalah agar manusia mengenali Allah, mencintai-Nya, dan menyembah-Nya dengan penuh pengabdian.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.