Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat surat yang dihantar kepada Sungai Nil?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزْقًا لَّكُمْ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْفُلْكَ لِتَجْرِىَ فِى ٱلْبَحْرِ بِأَمْرِهِۦ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْأَنْهَـٰرَ
Maksudnya: “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya).”
(Surah Ibrahim: 32)
Imam Fakhruddin al-Razi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Allah SWT menyebut tanda-tanda kekuasaan-Nya sebagai bukti kepada manusia tentang kewujudan dan keagungan-Nya. Salah satu tanda yang besar ialah penciptaan sungai dan mengaturkannya untuk menjadi manfaat buat manusia. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 19/96).
Hakikat Sungai Nil
Sungai Nil ialah sebatang sungai utama yang mengalir ke utara di benua Afrika; ia sungai terpanjang benua tersebut. Sungai Nil umumnya pernah dianggap sebagai sungai yang terpanjang di dunia, namun kajian terbaharu lebih menyatakan sungai Amazon mempunyai tambahan jarak yang sedikit lebih.
Terdapat banyak hadith yang menunjukkan keutamaan air Sungai Nil. Antaranya ialah apa yang diriwayatkan:
Dalam riwayat Muslim dinyatakan:
وحَدَّثَ نَبِيُّ اللهِ ﷺ، أنّه رَأى أرْبَعَةَ أنْهارٍ يَخْرُجُ مِن أصْلِها نَهْرانِ ظاهِرانِ، ونَهْرانِ باطِنانِ، فَقُلتُ: يا جِبْرِيلُ، ما هذِه الأنْهارُ؟ قالَ: أمّا النَّهْرانِ الباطِنانِ فَنَهْرانِ في الجَنَّةِ، وأَمّا الظّاهِرانِ: فالنِّيلُ والفُراتُ
Maksudnya: “Nabi Allah SAW menyampaikan bahawa Baginda melihat empat sungai yang terbit dari asalnya. Dua sungai zahir dan dua sungai batin. Maka Baginda SAW bertanya: ‘Wahai Jibril, sungai-sungai apakah ini?’ Jibril menjawab: ‘Adapun dua sungai Batin adalah dua sungai yang berada di syurga, sedangkan dua sungai Zahir adalah (sungai) al-Nil dan (sungai) Furat.’”
Riwayat Muslim (164)
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa lafaz “يَخْرُجُ مِنْ أَصْلِهَا” (terbit dari asalnya) adalah merujuk kepada “asal Sidratul Muntaha” sebagaimana penjelasan yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan selainnya. Muqatil berpendapat, sungai batin adalah merujuk kepada Salsabil dan Kauthar. Selain itu, al-Qadhi ‘Iyadh ada menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa asal Sidratul Muntaha adalah dari bumi disebabkan oleh terbitnya sungai Nil dan Furat dari asalnya. Kemudian, Imam al-Nawawi menyebutkan, apa yang diucapkannya itu bukanlah suatu kelaziman. Bahkan sebaliknya maknanya ialah sungai-sungai itu terbit dari asalnya (yakni Sidratul Muntaha), kemudian ia mengalir sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT sehinggalah ia terbit dari bumi dan mengalir di dalamnya. Akal dan syarak tidak menafikan perkara ini. Malah ia adalah zahir daripada hadith. Justeru, wajib untuk pergi kepadanya (berpegang dengannya). Wallahu a‘lam. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/224-225).
Begitu juga hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
سَيْحَانُ وَجَيْحَانُ وَالفُرَاتُ وَالنِّيلُ كُلٌّ مِنْ أَنْهَارِ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Sungai Saihan, Jaihan, Furat dan Nil — semuanya adalah daripada sungai-sungai syurga.”
Riwayat Muslim (2839)
Menurut al-Qadhi ‘Iyadh, keempat-empat sungai ini merupakan sungai-sungai yang terbesar di negeri-negeri Islam: Sungai Nil di bumi Mesir, Sungai Furat di Iraq, dan Saihan serta Jaihan – dan ada juga yang menyebutnya sebagai Saihun dan Jaihun – di negeri Khurasan. Ada pendapat yang menyatakan bahawa maksudnya ialah iman telah menyebar ke seluruh wilayah sungai-sungai ini dan melimpah ke atasnya, dan bahawa jasad-jasad yang mendapat zat makanan daripada air sungai-sungai ini akan berakhir di dalam syurga. Juga terdapat pandangan bahawa hadith ini difahami secara zahir, iaitu sungai-sungai ini mempunyai sambungan atau punca dari syurga, kerana menurut Ahli Sunnah, syurga sudah pun wujud dan telah diciptakan, malah ia adalah tempat yang Adam AS diturunkan daripadanya. (Lihat Ikmal al-Mu‘lim, 8/372).
Inilah di antara hadith-hadith yang menunjukkan dengan jelas kemuliaan dan keistimewaan Sungai Nil.
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat riwayat dan kisah Saidina Umar menghantar surat kepada Sungai Nil.
Ibn Kathir meriwayatkan: Kami meriwayatkan daripada jalan Ibn Lahi‘ah, daripada Qais bin al-Hajjaj, daripada seseorang yang menceritakan kepadanya:
Ketika Mesir dibuka, penduduknya datang menemui Amru bin al-‘As R.A – iaitu ketika beliau memasuki bulan Bu’unah (salah satu bulan dalam kalendar Qibti) – lalu mereka berkata:
“Wahai Amir, sesungguhnya sungai Nil kami ini tidak akan mengalir kecuali dengan satu amalan yang telah menjadi adat bagi kami.”
Amru R.A bertanya: “Apakah itu?”
Mereka menjawab: “Apabila sudah berlalu dua belas malam daripada bulan ini, kami mengambil seorang gadis perawan yang kedua ibu bapanya masih hidup, lalu kami memujuk dan mendapat persetujuan mereka. Kami menghiasinya dengan seindah-indah pakaian dan perhiasan, kemudian kami mencampakkannya ke dalam Sungai Nil.”
Maka Amru R.A berkata kepada mereka: “Perkara seperti ini tidak akan berlaku dalam Islam. Sesungguhnya Islam telah menghapuskan apa yang sebelumnya.”
Setelah itu, berlalu bulan Bu’unah, Abib dan Misra (tiga bulan Qibti), namun Sungai Nil tidak juga mengalir walaupun sedikit. Maka mereka hampir-hampir mahu berhijrah keluar dari Mesir kerana kekeringan tersebut.
Lalu Amru R.A menulis surat kepada Saidina Umar bin al-Khattab R.A untuk memaklumkan perkara itu. Umar R.A membalas:
“Sesungguhnya engkau telah melakukan perkara yang benar (dengan menolak adat jahiliah tersebut), dan aku telah mengirimkan kepadamu sekeping nota dalam suratku ini. Campakkanlah ia ke dalam Sungai Nil.”
Apabila surat Umar R.A sampai, Amru R.A pun mengambil nota tersebut dan didapati di dalamnya tertulis:
“Daripada hamba Allah, Umar Amirul Mukminin, kepada Sungai Nil penduduk Mesir. Amma ba‘d: Sekiranya engkau mengalir atas kehendakmu sendiri dan dengan kuasamu sendiri, maka janganlah engkau mengalir, kerana kami tidak berhajat kepadamu. Namun jika engkau mengalir dengan perintah Allah, Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa – Dialah yang menjadikanmu mengalir – maka kami memohon kepada Allah agar Dia mengalirkanmu.”
Disebut dalam riwayat tersebut:
“Lalu Amru bin al-‘As pun mencampakkan nota (yang diberikan oleh Umar R.A ) ke dalam Sungai Nil. Maka pada pagi hari Sabtu, mereka mendapati bahawa Allah telah menjadikan Sungai Nil mengalir setinggi enam belas hasta dalam satu malam sahaja. Dan Allah memutuskan adat jahiliah itu daripada penduduk Mesir hingga ke hari ini.”
(Lihat al-Bidāyah wa al-Nihāyah, 7/114–115)
Riwayat ini turut disebut oleh:
- Ibn ‘Abd al-Hakam dalam Futūḥ Miṣr (hlm. 165),
- al-Lālakā’ī dalam Syarḥ I‘tiqād Ahl al-Sunnah (6/463),
- Ibn ‘Asākir dalam Tārīkh Dimashq (44/336), dan
- Abū al-Syaikh dalam al-‘Aẓamah (4/1424),
semuanya melalui sanad yang kembali kepada Ibn Lahi‘ah.
Namun, sanad riwayat ini dinyatakan sebagai lemah (ضعيف) dan tidak sahih. Ini kerana:
-
Ibn Lahi‘ah (nama lengkapnya: ‘Abd Allah bin Lahi‘ah bin ‘Uqbah) adalah perawi yang lemah (ضعيف). Beliau pernah mengalami kehilangan sebahagian kitab-kitabnya dalam kebakaran, yang menyebabkan beliau bercampur aduk dalam meriwayatkan hadis (مختلط). Tambahan pula, beliau adalah seorang mudallis (perawi yang kadang-kadang menyembunyikan perawi yang lemah di antara dirinya dan perawi sebelumnya). (Lihat
Tahzib al-Tahzīb (5/327–331); Mīzān al-I‘tidāl, 2/475–484).
- Qais bin al-Ḥajjāj pula adalah ṣadūq (boleh dipercayai) menurut al-Hafiz Ibn Hajar, dan beliau tergolong dalam ṭabaqah keenam – iaitu perawi yang tidak sempat bertemu dengan mana-mana sahabat Nabi SAW. Rujuk: Taqrīb al-Tahzīb (1/25).
- Kadang-kadang Qais meriwayatkan secara mursal, dan kadang-kadang dengan menyebut “daripada seseorang yang menceritakannya kepadanya” – sedangkan sumber yang disebut itu adalah majhul (tidak dikenali).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”