Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Baru-baru ini, keluarga terdekat saya mengadakan majlis walimah atas perkahwinan anak perempuannya. Sengaja saya ingin bertanya, apakah adab-adab kita sebagai tuan rumah ketika hendak mengundang tetamu ke majlis begini?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Islam menuntut kita untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia, sesuai mengikut uruf serta adat setempat selagi mana ia tidak bertentangan dengan hukum syara‘. Ia bukanlah perkara sampingan yang boleh diambil sambil lewa, sebaliknya adab dan akhlak ini menjadi timbangan yang berat kelak di hari Akhirat. Sabda Rasulullah SAW dalam hadith Abu al-Darda’ R.A:
مَا شَيْءٌ أَثْقَلُ فِي مِيزَانِ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ خُلُقٍ
Maksudnya: “Tidak ada suatu perkara yang lebih berat di atas timbangan seorang mukmin itu pada hari Kiamat kelak berbanding akhlak.”
Riwayat al-Tirmizi (2002). Beliau menilai hadith ini hasan sahih.
Kemahiran dalam berinteraksi sesama masyarakat menjadi asas yang akan memudahkan kita sebagai tuan rumah untuk mengundang mana-mana tetamu ke majlis perkahwinan yang dilakukan. Adat ini berbeza-beza mengikut bangsa dan negara yang kita diami, bergantung juga kepada julat umur tetamu yang hendak kita jemput itu.
Oleh itu, adab-adab ini tidaklah khusus dan terhad kepada apa yang akan kami gariskan sahaja, tetapi ia berbalik kepada kesesuaian dan kebiasaan komuniti setempat kita. Secara umumnya, adab-adab yang dilihat perlu dititikberatkan selari dengan tuntutan syara‘ adalah:
1) Tidak mengkhususkan undangan kepada orang-orang senang sahaja sehingga mengenepikan fakir miskin. Rasulullah SAW mencela perbuatan ini, sebagaimana yang sabit dalam hadith Abu Hurairah R.A:
شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الوَلِيمَةِ، يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ وَيُتْرَكُ الفُقَرَاءُ
Maksudnya: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah yang hanya orang-orang kaya sahaja diundang kepadanya dan tidak diundang orang-orang fakir.”
Riwayat al-Bukhari (4882) dan Muslim (1432)
Walimah yang dimaksudkan dalam hadith ini bukan bermaksud ia hanya khusus kepada jemputan ke majlis perkahwinan semata-mata, tetapi meliputi segala bentuk majlis makan-makan yang seumpamanya. Rasulullah melarang dari mengkhususkan majlis sebegini hanya untuk orang-orang kaya sahaja, dengan hidangan yang mewah, diberikan kedudukan yang tinggi dan layanan yang paling mesra sebagaimana kebiasaan dilakukan dalam majlis perkahwinan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/237)
Perlu juga difahami bahawa jemputan ke walimah itu berdasarkan kemampuan tuan rumah yang menganjurkannya. Sekiranya dia hanya mampu menjemput ahli keluarga dan jiran sekeliling yang terdekat sahaja, dan secara kebetulan mereka dari kalangan orang-orang yang senang atau berharta, maka dia tidaklah termasuk dalam hadith ini.
2) Menjemput orang-orang yang baik dan soleh, dan elakkan dari mengundang mereka yang tidak beriman. Inilah yang disebutkan dalam hadith Abu Sa‘id al-Khudri R.A, sabda Rasulullah SAW:
لَا تُصَاحِبْ إِلَّا مُؤْمِنًا، وَلَا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلَّا تَقِيٌّ
Maksudnya: “Janganlah engkau bersahabat melainkan dengan orang yang beriman, dan janganlah ada yang makan makanan engkau melainkan dari kalangan orang bertakwa.”
Riwayat Abu Dawud (4832), al-Tirmizi (2395) dan Ahmad (11337). Al-Albani di dalam Sahih al-Jami‘ (2/1226) menilai hadith ini sebagai hasan.
Larangan dari orang-orang tidak bertaqwa makan dari makanan kita, kerana perbuatan makan bersama itu boleh mewujudkan keakraban. Bahkan, ia merupakan antara bentuk pergaulan yang paling kukuh ikatannya. Pergaulan dengan orang yang tidak bertakwa boleh mencemarkan agama, serta menjerumuskan ke dalam perkara yang syubhah dan yang dilarang. Maka seolah-olah larangan ini adalah daripada bergaul dengan orang-orang fasiq, kerana pergaulan dengan mereka tidak sepi daripada keburukan – sama ada dengan mengikut mereka dalam perbuatan maksiat, atau dengan berlembut hingga menutup mata terhadap kemungkaran. Jika seseorang itu terselamat daripada semua itu, tetap dia tidak akan terlepas daripada fitnah akibat pengaruh mereka terhadapnya.
Namun, maksud larangan ini bukanlah untuk menghalang orang yang tidak bertakwa daripada menerima kebaikan atau ihsan, kerana Rasulullah SAW sendiri pernah memberi makan kepada orang-orang musyrik, dan memberikan ratusan unta kepada golongan mu’allafah qulubuhum. Maka, bolehlah diberi makan kepada mereka, tetapi tanpa pergaulan rapat. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/404)
3) Menyambut dengan layanan yang baik, dengan mempamerkan wajah dihiasi senyuman dan alu-aluan seperti berkata “selamat datang.” Beginilah contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, ketika mana Baginda menyambut seorang utusan ‘Abd al-Qais:
مَرْحَبًا بِالوَفْدِ، الَّذِينَ جَاءُوا غَيْرَ خَزَايَا وَلاَ نَدَامَى
Maksudnya: “Selamat datang wahai utusan, yang datang tanpa kehinaan dan penyesalan.”
Riwayat al-Bukhari (6176) dan Muslim (17)
4) Memilih waktu dan masa yang sesuai bagi tetamu, agar tidak menyusahkan ke atas mereka untuk memenuhi jemputan tersebut.
Ibn Muflih menukilkan sebuah kata-kata yang disandarkan kepada Ibn Sirin: “Janganlah engkau memuliakan sahabatmu dengan sesuatu yang menyusahkannya.” Begitu juga Ibn al-Jauzi menyebutkan: “Janganlah engkau mengundang seseorang yang sukar untuk menerimanya.” (Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah wa al-Minah al-Mar‘iyyah, 1/295)
Beginilah secara ringkasnya beberapa adab menjemput tetamu yang dapat kami kongsikan. Masih terdapat beberapa adab lain yang mungkin lebih khsusus berdasarkan kepada komuniti dan masyarakat yang berbeza-beza, dan kesemuanya wajar untuk kita patuhi selama mana tidak terdapat sebarang unsur yang bertentangan dengan hukum Islam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.
Wallahu a‘lam