Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan,boleh jelaskan kepada kami berkaitan hadith yang menunjukkan bilangan yang ramai dalam solat jenazah. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ
Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”
Riwayat al-Bukhari (1315) d an Muslim (944)
Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51).
Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).
Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, hadith-hadith yang zahirnya menunjukkan kelebihan bilangan yang ramai (dalam solat jenazah), maka ia difahami sebagai satu bentuk keutamaan (afdhaliyyah), bukan sebagai satu syarat (syartiyyah). Oleh itu, ia tidak menafikan kesahan solat jenazah dengan bilangan yang kurang daripada itu.
Antara hadith tersebut adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ، فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلًا، لَا يُشْرِكُونَ بِاللهِ شَيْئًا، إِلَّا شَفَّعَهُمُ الله فِيهِ
Maksudnya: “Tidaklah seorang lelaki Muslim meninggal dunia, lalu empat puluh orang lelaki yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun berdiri untuk solat jenazahnya, melainkan Allah akan menerima syafaat mereka terhadapnya.”
Riwayat Muslim (948)
Imam al-Nawawi berkata dalam Syarh Muslim (7/17) : Dikatakan: Hadith-hadith ini merupakan jawapan kepada beberapa orang yang bertanya, lalu Nabi SAW menjawab setiap seorang daripada mereka sesuai dengan soalan mereka — ini adalah kata-kata al-Qadhi. Mungkin juga Nabi SAW telah mengkhabarkan tentang diterimanya syafaat seratus orang, lalu Baginda menyebutkannya; kemudian Baginda mengkhabarkan pula tentang diterimanya syafaat empat puluh orang, dan kemudian tentang tiga saf (barisan) walaupun bilangan mereka sedikit, maka Baginda pun menyebutkannya.
Kemungkinan lain ialah: ini adalah apa yang disebut sebagai mafhum al-‘adad (fahaman bilangan), yang mana majoriti ahli usul tidak berhujah dengannya; maka tidak semestinya pengkhabaran tentang diterimanya syafaat seratus orang menafikan penerimaan syafaat oleh bilangan yang kurang daripada itu, begitu juga pengkhabaran tentang empat puluh dengan tiga saf. Maka dengan itu, semua hadith tersebut boleh diamalkan, dan syafaat diperoleh dengan jumlah yang paling rendah antara tiga saf dan empat puluh orang.
Selain itu, Imam al-San‘ani berkata : “Semua hadith yang menyebut tentang kelebihan bilangan yang ramai dalam solat ke atas jenazah adalah boleh diamalkan, dan syafaat diterima dengan jumlah yang paling sedikit daripadanya.” (Lihat Subul al-Salam, 1/483)
Sebagai kesimpulan, hadith-hadith yang menyentuh tentang bilangan tertentu dalam solat jenazah seperti empat puluh orang atau tiga saf bukanlah bertujuan meletakkan jumlah itu sebagai syarat sah, tetapi lebih kepada menunjukkan kelebihan dan ganjaran besar bagi si mati apabila disolatkan oleh jumlah yang ramai. Oleh itu, semua hadith yang berkaitan dapat difahami secara menyeluruh sebagai galakan ke arah meraih fadhilat, tanpa menafikan keabsahan solat jenazah yang dilaksanakan dengan bilangan yang lebih kecil.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
(Surah al-Hasyr:10)
Wallahua‘lam