Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Ummu Salamah pernah menjadi hamba? Dan bilakah Ummu Salamah dan Zaid bin Harithah menjadi hamba yang dibebaskan? Adakah terdapat ayat al-Quran berkaitan hal ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.”
(Surah al-Fath: 29)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Siapa Ummu Salamah?
Beliau ialah Ummu Salamah Hind binti Abu Umayyah bin al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum bin Yaqazah bin Murrah al-Makhzumiyyah. Beliau adalah anak saudara kepada Khalid bin al-Walid R.A dan juga anak saudara kepada Abu Jahal bin Hisyam. Sebelum berkahwin dengan Nabi SAW, beliau adalah isteri kepada Abu Salamah bin ‘Abd al-Asad al-Makhzumi yang merupakan adik-beradik susuan Baginda dan Abu Salamah R.A juga ialah seorang lelaki yang soleh. Ummu Salamah termasuk salah seorang sahabat yang awal berhijrah. Beliau berhijrah bersama suaminya ke Habasyah, kemudian berhijrah pula ke Madinah. Malah, ada pendapat menyatakan, beliau adalah wanita pertama yang berhijrah ke Madinah menaiki tunggangan.
Nabi SAW mula menggauli Ummu Salamah R.Anha sebagai suami isteri pada tahun ke-4 Hijrah. Tambahan lagi, Ummu Salamah R.Anha merupakan antara perempuan yang paling cantik dan paling mulia nasabnya dalam kalangan Arab. Selain daripada itu, beliau juga memiliki anak-anak dalam kalangan sahabat iaitu ‘Amru, Salamah dan Zainab. Terdapat riwayat daripada ‘Amru bin Abu Salamah, katanya: “Rasulullah SAW telah mengutus bapaku ke Abu Qatan pada bulan al-Muharram tahun 4 Hijrah, dan beliau telah menghabiskan masa selama 29 malam. Kemudian, beliau kembali pulang pada bulan Safar, dan lukanya ketika perang Uhud dahulu semakin parah. Lalu beliau meninggal dunia disebabkan oleh luka tersebut, lapan hari setelah berlalunya bulan Jumada al-Akhirah. Ibuku tempoh iddahnya habis pada bulan Syawal. Setelah itu, Rasulullah SAW menikahinya.”
Bapa Ummu Salamah diberi gelaran sebagai Zad al-Rakib (iaitu bekalan bagi orang yang bermusafir). Bapanya digelar sedemikian kerana dia seorang yang sangat pemurah. Buktinya, apabila dia bermusafir, orang lain yang bersamanya dalam permusafiran tersebut tidak perlu lagi membawa bekalan kerana bekalan yang disediakannya itu sudah mencukupi buat mereka. Dikatakan, nama bapanya ialah Huzaifah, dan ada juga yang berpendapat namanya ialah Sahl. Ibunya pula bernama ‘Atikah binti ‘Amir bin Rabi‘ah bin Malik bin Khuzaimah bin ‘Alqamah bin Firas. Bukan itu sahaja, para ulama juga berselisih mengenai nama sebenarnya. Sebahagian mereka berpendapat, namanya ialah Ramlah. Sebahagian lagi pula berpendapat, namanya ialah Hind, dan inilah pendapat yang tepat serta merupakan pendapat sekumpulan ulama berkenaan nama Ummu Salamah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/201-203; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/342; al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1920).
Begitu juga beliau turut meriwayatkan sejumlah hadith. Manakala di antara mereka yang meriwayatkan pula daripadanya ialah Sa‘id bin al-Musayyib, Syaqiq bin Salamah, al-Aswad bin Yazid, al-Sya‘bi, Abu Soleh al-Samman, Mujahid, Nafi‘ bin Jubair bin Mut‘im, Nafi‘ maulanya, Nafi‘ maula Ibn Umar, ‘Ata’ bin Abu Rabah, Syahr bin Hausyab, Ibn Abi Mulaikah dan ramai lagi. Bukan itu sahaja, beliau turut dianggap sebagai salah seorang ahli fiqh dalam kalangan sahabat. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/202-203).
Seperti yang sudah diketahui, Ummu Salamah merupakan antara perempuan yang paling cantik dan paling mulia nasabnya dalam kalangan Arab. Setelah wafatnya Abu Salamah, Rasulullah SAW sendiri telah meminangnya serta mendoakannya. Bukan itu sahaja, bahkan Baginda juga ada mengajarkan kepadanya doa ketika ditimpa. Hal ini adalah diceritakan menerusi riwayat daripada Ibn Safinah, daripada Ummu Salamah, bahawasanya beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ: مَا أَمَرَهُ اللَّهُ: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. اللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا إِلَّا أَخْلَفَ اللَّهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا. قَالَتْ: فَلَمَّا مَاتَ أَبُو سَلَمَةَ قُلْتُ: أَيُّ الْمُسْلِمِينَ خَيْرٌ مِنْ أَبِي سَلَمَةَ؟ أَوَّلُ بَيْتٍ هَاجَرَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. ثُمَّ إِنِّي قُلْتُهَا. فَأَخْلَفَ اللَّهُ لِي رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَتْ: أَرْسَلَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَاطِبَ بْنَ أَبِي بَلْتَعَةَ يَخْطُبُنِي لَهُ. فَقُلْتُ: إِنَّ لِي بِنْتًا وَأَنَا غَيُورٌ. فَقَالَ: أَمَّا ابْنَتُهَا فَنَدْعُو اللَّهَ أَنْ يُغْنِيَهَا عَنْهَا. وَأَدْعُو الله أن يذهب بالغيرة.
Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa musibah lalu dia membaca apa yang diperintahkan oleh Allah SWT: ‘إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. اللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا’ (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Ya Allah, berilah kami pahala kerana musibah ini dan berikanlah ganti kepadaku dengan yang lebih baik daripadanya), melainkan Allah SWT akan memberikan ganti kepadanya dengan yang lebih baik.” Ummu Salamah berkata: “Ketika Abu Salamah telah meninggal dunia, aku bertanya: ‘Siapakah Muslim yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dia ialah orang yang pertama hijrah kepada Rasulullah SAW. Kemudian aku pun mengucapkan doa tersebut. Maka Allah SWT menggantikan buatku Rasulullah SAW.” Ummu Salamah berkata: “Rasulullah SAW menghantar Hatib bin Abu Balta‘ah untuk melamarku bagi pihak Baginda. Aku pun berkata: ‘Aku mempunyai seorang anak perempuan dan aku jenis yang kuat cemburu.’ (Maksudnya beliau risau jika berkahwin nanti, anaknya akan terbiar dan beliau akan menyakitkan Baginda disebabkan oleh cemburunya itu). Baginda SAW bersabda: ‘Adapun anak perempuannya, kita doakan semoga Allah mencukupkan keperluannya — yakni bertemu dengan pasangannya sendiri, lalu ada yang menjaganya agar tidak terlalu terikat dengan Ummu Salamah — dan aku juga berdoa agar Allah menghilangkan perasaan kuat cemburu itu.’”
Riwayat Muslim (918)
Beliau juga merupakan isteri Baginda yang terakhir sekali meninggal dunia. Beliau diberi umur yang panjang sehinggakan beliau masih lagi hidup ketika peristiwa pembunuhan al-Husain. Beliau hidup kira-kira 90 tahun. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulkaedah tahun 59 Hijrah. Namun, ada pendapat menyatakan, beliau meninggal dunia pada awal pemerintahan Khalifah Yazid bin Mu‘awiyah pada tahun 60 Hijrah. Dikatakan juga beliau meninggal dunia pada bulan Ramadhan atau Syawal tahun 59 Hijrah, dan solat jenazahnya diimamkan oleh Abu Hurairah. Akan tetapi ada yang berpendapat, solat jenazahnya diimamkan oleh Sa‘id bin Zaid.
Terdapat riwayat daripada Muharib bin Dithar bahawa ketika mana Ummu Salamah hampir wafat, beliau telah mewasiatkan agar solat jenazahnya diimamkan oleh Sa‘id bin Zaid, dan Gabenor Madinah ketika itu ialah Marwan. Namun, menurut al-Hasan bin Uthman, gabenor ketika itu ialah al-Walid bin ‘Utbah, dan solat jenazahnya diimamkan oleh Abu Hurairah. Manakala jenazahnya pula dimasukkan ke dalam kubur oleh kedua anaknya iaitu Umar dan Salamah, Abdullah bin Abdullah bin Abu Umayyah dan Abdullah bin Wahb bin Zam‘ah. Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi‘. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/202-203; al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1921).
Siapa Zaid bin Harithah?
Dalam kitab Syajarah al-Nur al-Zakiyyah fi Tabaqat al-Malikiyyah (2/94) oleh Muhammad bin Muhammad Makhluf menyebut: Beliau ialah Zaid bin Harithah bin Syarahil al-Kalbi. Pada zaman Jahiliah, beliau telah ditawan dalam satu serangan, lalu dibeli oleh Hakim bin Hizam untuk ibu saudaranya, Khadijah. Khadijah kemudian menghadiahkannya kepada Nabi SAW sebelum Baginda menerima wahyu. Ketika itu, Zaid berusia lapan tahun. Nabi SAW membebaskannya dan beliau menjadi salah seorang yang paling disayangi oleh Baginda. Baginda mengambilnya sebagai anak angkat dan sering membawanya berkeliling ke halaqah-halaqah (majlis) Quraisy sambil berkata: “Ini anakku, yang akan mewarisi daripadaku dan aku mewarisi daripadanya.”
Al-Zuhri berkata: “Aku tidak mengetahui sesiapa yang memeluk Islam lebih awal daripadanya.” Ibn ʿUmar pula berkata: “Kami dahulu tidak memanggilnya melainkan Zaid bin Muhammad sehinggalah turun ayat: “ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّهِ” {Panggillah mereka dengan nama bapa-bapa mereka; itulah yang lebih adil di sisi Allah} (Surah al-Ahzab: 5).” Seperti yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari.
Zaid adalah satu-satunya sahabat Nabi SAW yang disebut secara jelas dengan namanya dalam al-Quran. Beliau telah berhijrah dan menyertai Perang Badar. Nabi SAW sering melantiknya sebagai ketua pasukan, dan pernah melantiknya sebagai panglima dalam Perang Mu’tah. Beliau berjuang dengan berani sehingga syahid sebelum Jaafar bin Abi Talib. Apabila berita syahidnya Jaafar dan Zaid sampai kepada Nabi SAW, Baginda menangis dan bersabda: “Mereka berdua adalah saudara-saudara aku, peneman aku, dan tempat aku berbicara.” Zaid gugur syahid pada usia lima puluh lima tahun. (Lihat Syajarah al-Nur al-Zakiyyah fi Tabaqat al-Malikiyyah (2/94)
Ibn al-Athir pula menyebut dalam kitabnya, Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah (2/335): Beliau ialah Zaid bin Harithah bin Syarahil bin Kaab bin ʿAbd al-ʿUzza bin Imri’ al-Qais bin ʿAmir bin al-Nuʿman bin ʿAmir bin ʿAbd Wudd bin ʿAwf bin Kinanah bin Bakar bin ʿAwf bin ʿUdhrah bin Zayd al-Lat bin Rafidah bin Thawr bin Kalb bin Wabarah bin Taghlib bin Halwan bin ʿImran bin Lahaf bin Quḍāaah – demikianlah susunan nasabnya menurut Ibn al-Kalbi dan selainnya. Terdapat beberapa perbezaan antara riwayat dari segi susunan nama, penyusunan kedudukan antara nama, serta penambahan dan pengurangan pada beberapa bahagian.
Ibn al-Kalbi menyatakan bahawa ibunya ialah Saadiyah binti Thaalabah bin ʿAbd ʿAmir bin Aflat daripada kabilah Bani Maan daripada kabilah Tayy.
Ibn Ishaq pula menyebut bahawa nama sebenar bapanya ialah Harithah bin Syurahbil, tetapi tiada yang menyokong pandangan ini. Yang sahih ialah Syarahil, bukannya Syurahbil.
Beliau digelar dengan kunyah Abu Usamah, dan merupakan hamba yang dibebaskan oleh Rasulullah SAW, malah merupakan hamba Baginda yang paling masyhur. Zaid ialah orang yang amat dikasihi oleh Rasulullah SAW, dan digelar sebagai: “Hibbu Rasulillah SAW” – “Orang yang dikasihi oleh Rasulullah SAW”.
Kisah penawanannya bermula apabila ibunya keluar bersamanya untuk menziarahi kaum kerabatnya dari Bani Maan, lalu mereka diserang oleh pasukan berkuda daripada Bani al-Qayn bin Jusr. Mereka menangkap Zaid dan membawanya ke pasar ʿUkaẓ, lalu dia dijual sebagai hamba.
Hakim bin Hizam membeli Zaid untuk ibu saudaranya Khadijah binti Khuwaylid, dan menurut satu riwayat lain, Zaid dibeli di pasar Hubashah. Khadijah kemudian menghadiahkan Zaid kepada Nabi Muhammad SAW di Makkah sebelum Baginda menerima wahyu, ketika Zaid masih berumur lapan tahun.
Riwayat lain menyebut bahawa Nabi SAW sendiri melihat Zaid di kawasan al-Batha’ di Makkah, ketika dia dijual sambil dilaung harganya. Baginda SAW kemudian memberitahu Khadijah mengenainya, lalu Khadijah membelinya dengan hartanya sendiri dan menghadiahkannya kepada Baginda. Baginda SAW pun membebaskan Zaid dan mengambilnya sebagai anak angkat.
Ibn ʿUmar berkata: “Kami tidak pernah memanggil Zaid bin Harithah melainkan sebagai Zaid bin Muhammad, sehinggalah Allah ﷻ menurunkan ayat: {Panggillah mereka dengan nama bapa-bapa mereka} (Surah al-Ahzab: 5).”
Rasulullah SAW telah mempersaudarakan antara Zaid dan Hamzah bin ʿAbd al-Muttalib R.Anhuma.
Bapa Zaid, iaitu Abu Syarahil, telah amat bersedih atas kehilangan anaknya, lalu menggubah syair penuh kerinduan yang menyayat hati:
Aku menangisi Zaid, sedang aku tidak tahu apa yang telah terjadi padanya.
Adakah dia masih hidup dan diharap kembali, atau maut telah lebih dahulu menjemputnya?
Demi Allah, aku benar-benar tidak tahu, meskipun aku bertanya.
Adakah engkau ditelan oleh tanah datar atau ditimpa oleh gunung?
Alangkah baiknya jika aku tahu, adakah engkau akan kembali suatu hari nanti?
Cukuplah dunia bagiku jika engkau kembali kepadaku dengan selamat.
Setiap kali matahari terbit, ia mengingatkanku padanya.
Dan saat bayangan matahari mendekati bukit, kenangannya hadir semula.
Apabila angin bertiup, ia membangkitkan kenanganku terhadapnya.
Alangkah lamanya dukaku atas dirinya dan kegelisahanku yang tidak reda.
Aku akan memerah tenaga dan mengerah unta berjalan merentas bumi dalam pencarianku.
Aku tidak akan jemu berkelana, biarpun unta penat atau enggan meneruskan perjalanan.
Aku akan teruskan selagi hayat masih ada, atau maut menjemputku.
Setiap insan pasti binasa walaupun dipujuk oleh harapan.
Aku akan berpesan kepada Qais dan ʿAmr, kedua-duanya.
Dan aku akan berpesan juga kepada Yazid, kemudian kepada Jabal.
Dalam syair ini, yang dimaksudkan dengan “Jabal” ialah Jabalah bin Harithah, abang kepada Zaid yang lebih tua daripadanya. Sementara “Yazid” juga ialah salah seorang saudara Zaid. Saudara Zaid seibu ialah Yazid bin Kaab bin Syarahil.
Pada suatu ketika, sekumpulan orang dari kabilah Kalb telah menunaikan haji, lalu mereka melihat Zaid dan mengenalinya, dan Zaid juga mengenali mereka. Maka Zaid berkata kepada mereka: “Sampaikan kepada keluargaku bait-bait syair ini, kerana aku yakin mereka sedang dalam kesedihan yang mendalam disebabkan kehilangan aku:”
Aku rindu kepada kaumku, meskipun aku berada jauh dari mereka.
Kerana kini aku menetap di rumah (Mekah), berdekatan dengan tempat-tempat ibadah.
Maka redakanlah kesedihan yang telah mengusik hati kalian,
Dan janganlah kamu berkelana ke seluruh bumi seperti unta-unta yang lesu mencari-cari.
Sesungguhnya, segala puji bagi Allah, aku berada dalam keluarga terbaik,
Keluarga mulia dari keturunan Maaadd, mulia satu demi satu secara berterusan.
Lalu rombongan daripada kabilah Kalb pun pulang dan menyampaikan berita tersebut kepada bapa Zaid, iaitu Harithah, serta menggambarkan lokasi anaknya dan dengan siapa dia tinggal. Maka keluarlah Harithah bersama saudaranya Kaab bin Syarahil ke Mekah untuk menebus Zaid.
Mereka berdua masuk menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai anak ʿAbd al-Muttalib, wahai anak Hasyim, wahai anak pemimpin kaummu! Kami datang kepadamu kerana anak kami yang ada bersamamu. Maka berilah kurniaan kepada kami dan berbuat baiklah dengan menebusnya kembali kepada kami.”
Rasulullah SAW bertanya: “Siapakah anak kamu itu?” Mereka menjawab: “Zaid bin Harithah.”
Lalu Baginda bersabda: “Bagaimana kalau kita lakukan sesuatu yang lain?” Mereka bertanya: “Apa itu?”
Baginda menjawab: “Panggil dia dan berikan pilihan kepadanya. Jika dia memilih kamu, maka dia milik kamu. Tetapi jika dia memilih aku, maka demi Allah, aku tidak akan memilih seseorang pun atas dirinya.”
Kedua-duanya berkata: “Sungguh, itu lebih baik daripada keadilan separuh. Engkau telah berbuat baik.”
Lalu Rasulullah SAW memanggil Zaid dan bertanya kepadanya: “Adakah engkau mengenali mereka ini?” Zaid menjawab: “Ya, ini ayahku dan ini bapa saudaraku.”
Baginda berkata: “Aku pula, engkau telah mengenaliku dan tahu bagaimana aku bersamamu. Maka pilihlah antara aku dan mereka.”
Zaid menjawab: “Aku tidak mahu mereka. Aku tidak akan memilih sesiapa pun atas dirimu. Engkau bagi diriku seperti ayah dan bapa saudara.”
Mereka berdua menjerit: “Celaka engkau wahai Zaid! Engkau memilih perhambaan atas kebebasan? Engkau memilih orang lain atas ayahmu dan keluargamu?”
Zaid menjawab: “Ya! Aku telah melihat sesuatu daripada lelaki ini (Rasulullah SAW) yang membuatkan aku tidak akan memilih sesiapa pun atasnya selama-lamanya.”
Apabila Rasulullah SAW melihat keteguhan hati Zaid, Baginda keluar ke al-Hijr (di sekitar Kaabah) lalu berseru kepada orang ramai: “Wahai sekalian yang hadir! Saksikanlah bahawa Zaid adalah anakku. Dia mewarisi daripadaku dan aku mewarisi daripadanya.”
Apabila bapanya dan bapa saudaranya menyaksikan hal itu, mereka pun berasa reda dan pulang dengan hati yang tenang.
Mu’ammar telah meriwayatkan daripada al-Zuhri, katanya: “Kami tidak mengetahui ada seorang pun yang memeluk Islam lebih awal daripada Zaid bin Harithah.”
ʿAbd al-Razzaq berkata: “Tiada siapa yang meriwayatkan kenyataan ini selain al-Zuhri.”
Abu ʿUmar pula menyatakan: “Terdapat riwayat lain daripada al-Zuhri melalui pelbagai jalur bahawa orang yang pertama memeluk Islam ialah Khadijah.”
Ibn Ishaq berkata: “Selepas Khadijah, yang memeluk Islam ialah ʿAli, kemudian Zaid, dan selepas itu Abu Bakar.”
Sementara menurut pendapat lain pula: Abu Bakar, kemudian ʿAli, kemudian Zaid R.Anhum.
Zaid bin Harithah telah menyertai Perang Badar, dan beliau jugalah yang membawa khabar kemenangan dan kejayaan ke Madinah selepas peperangan tersebut.
Rasulullah SAW telah mengahwinkan Zaid dengan hamba perempuan Baginda yang dibebaskan, iaitu Ummu Ayman, dan hasil perkahwinan itu lahirlah Usamah bin Zaid.
Zaid juga pernah menjadi suami kepada Zainab binti Jahsh, iaitu sepupu Rasulullah SAW. Setelah perpisahan antara mereka, Rasulullah SAW mengahwini Zainab, yang menyebabkan timbul desas-desus dan kecaman masyarakat ketika itu.
Daripada Wa’il bin Dawud, katanya: Aku mendengar al-Bahiyy meriwayatkan bahawa ʿA’isyah berkata: “Tidaklah Rasulullah SAW pernah mengutus Zaid bin Harithah dalam mana-mana ekspedisi (sariyyah), melainkan Baginda akan melantiknya sebagai ketua pasukan. Sekiranya beliau masih hidup, nescaya Baginda akan melantiknya sebagai pengganti Baginda.”
Apabila Rasulullah SAW mengirim pasukan ke Syam (dalam Perang Mu’tah), Baginda bersabda: “Pemimpin kamu ialah Zaid bin Harithah. Jika Zaid terbunuh, maka gantinya ialah Jaafar bin Abi Talib. Jika Jaafar terbunuh, maka gantinya ialah ʿAbd Allah bin Rawahah.” Zaid akhirnya syahid dalam Perang Mu’tah, di kawasan Syam.
Rasulullah SAW telah bersaksi atas kesyahidan Zaid secara langsung. Dan tiada seorang pun daripada kalangan sahabat Nabi SAW atau sahabat para nabi yang lain yang disebut secara jelas namanya dalam al-Quran, melainkan Zaid bin Harithah sahaja.
Antara gambaran fizikal Zaid, adalah bahawa beliau seorang lelaki yang berkulit putih kemerah-merahan (أبيض أحمر), manakala anaknya Usamah pula berkulit gelap dan sangat sawo matang (آدم شديد الآدمة).
Al-Zirikli pula dalam kitab al-A’lam (3/57) menyebut: Zaid bin Harithah bin Syarahil (atau Syurahbil) al-Kalbi merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW yang teristimewa dan memiliki kedudukan yang unik dalam sejarah Islam. Beliau berasal daripada kabilah Kalb, dan telah diculik semasa kecil pada zaman Jahiliah. Kemudian beliau dibeli oleh Khadijah binti Khuwaylid, isteri Rasulullah SAW, yang menghadiahkannya kepada Nabi SAW selepas perkahwinan mereka. Baginda SAW kemudian membebaskan Zaid dan menjadikannya sebagai anak angkat, bahkan mengahwinkannya dengan sepupu Baginda. Disebabkan hal ini, masyarakat ketika itu memanggil beliau Zaid bin Muhammad, sehingga turunnya ayat: {ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّهِ} “Panggillah mereka dengan nama bapa-bapa mereka; itulah yang lebih adil di sisi Allah.” (Surah al-Ahzab: 5) Zaid merupakan antara sahabat terawal yang memeluk Islam, dan satu-satunya sahabat yang disebut namanya secara jelas dalam al-Quran.
Nabi SAW amat menyayangi Zaid, dan tidak pernah mengutus pasukan (sariyyah) melainkan Zaid akan dilantik sebagai ketua. Bahkan disebut oleh ʿA’ishah رضي الله عنها: “Jika Zaid masih hidup, nescaya Baginda SAW akan melantiknya sebagai pengganti (khalifah) selepasnya.”
Zaid telah dilantik sebagai panglima dalam Perang Mu’tah, bersama Jaafar bin Abi Talib dan ʿAbd Allah bin Rawahah. Dalam peperangan tersebut, Zaid telah gugur syahid pada bulan Jumada al-Ula, tahun ke-8 Hijrah, di kawasan Mu’tah, Syam. Apabila berita kesyahidan Zaid dan Jaafar sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda SAW menangis dan bersabda: “Mereka berdua adalah saudaraku, penemanku, dan tempatku bermuzakarah.” (Lihat al-A’lam oleh al-Zirikli, 3/57)
Manakala dalam kitab Sullam al-Wusul ila Tabaqat al-Fuhul (2/117) oleh Haji Khalifah, dijelaskan seperti berikut: Zaid bin Harithah al-Kalbi merupakan bekas hamba Rasulullah SAW, yang syahid dalam Perang Mu’tah pada bulan Jumada al-Ūla, tahun ke-8 Hijrah. Baginda Nabi SAW telah mengangkat Zaid sebagai ketua panglima, meletakkannya di hadapan para pemimpin lain, kerana kecintaan Baginda yang mendalam terhadapnya. Zaid telah ditawan dalam zaman Jahiliah ketika beliau masih kecil. Hakim bin Hizam telah membelinya untuk diberikan kepada ibu saudaranya, Khadijah binti Khuwaylid. Setelah Khadijah berkahwin dengan Rasulullah SAW, beliau menghadiahkan Zaid kepada suaminya. Nabi SAW kemudian mengambil Zaid sebagai anak angkat di Makkah ketika Zaid berusia lapan tahun, dan menjadikannya milik Baginda.
Kemudian, beberapa orang daripada kalangan keluarga Zaid datang ke Makkah, termasuk ayah dan bapa saudaranya, untuk menebusnya. Namun Nabi SAW memberi pilihan kepada Zaid, sama ada untuk kembali bersama keluarganya atau terus tinggal bersama Baginda. Mereka merayu agar Zaid kembali, namun Zaid menolak dan memilih untuk tetap bersama Rasulullah SAW. Keputusan ini menzahirkan kecintaannya kepada Nabi SAW melebihi keluarganya sendiri. Maka turunlah ayat al-Quran berkaitan: {وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِي أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ} “Dan (ingatlah) ketika engkau berkata kepada orang yang telah Allah beri nikmat kepadanya, dan engkau juga telah memberi nikmat kepadanya…” (Surah al-Ahzab: 37) Nabi SAW mengahwinkan Zaid dengan Zainab binti Jahsh, sepupunya sendiri. Namun, apabila Zaid memahami bahawa Nabi SAW memiliki keinginan untuk mengahwini Zainab, beliau menceraikannya dengan rela, lebih mengutamakan Baginda berbanding dirinya sendiri.
Maka turunlah ayat al-Quran:
فَلَمَّا قَضَى زَيْدٌ مِّنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا
Maksudnya: “Tatkala Zaid telah selesai terhadap keperluannya daripadanya (menceraikannya), Kami nikahkan engkau dengannya…”
(Surah al-Ahzab: 37)
Peristiwa ini menjadi asas pembatalan amalan anak angkat seperti anak kandung dalam Islam, dan menjelaskan bahawa Rasulullah SAW tidak dianggap sebagai ayah kepada sesiapa dari kalangan lelaki dewasa umat Islam.
Zaid bin Harithah merupakan contoh kesetiaan, keikhlasan dan pengorbanan. Beliau ialah satu-satunya sahabat Nabi SAW yang disebut namanya secara jelas dalam al-Quran, dan gugur syahid sebagai panglima tertinggi dalam salah satu pertempuran terpenting di zaman kenabian. (Lihat Sullam al-Wusul ila Tabaqat al-Fuhul, 2/117)
Kewafatannya: Ibn Sa’d menyebut: “Zaid terbunuh pada hari itu (yakni dalam Perang Mu’tah) ketika usianya lima puluh lima tahun.” (Lihat al-Tabaqat, 3/34)
Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Waqidi, katanya: Permulaan siri ekspedisi yang dipimpin oleh Zaid ialah ke kawasan al-Qardah, kemudian ke al-Jumum, diikuti ke al-‘Isy, kemudian ke al-Tarf, kemudian ke Hasma, seterusnya ke Um Qirfah. Setelah itu, beliau dilantik sebagai ketua dalam Perang Mu’tah, lalu beliau gugur syahid dalam peperangan tersebut ketika berusia lima puluh lima tahun. (Lihat al-Isabah, 2/497)
Kesimpulan
Berdasarkan sumber sejarah yang sahih dan teks di atas: Ummu Salamah tidak pernah menjadi hamba. Beliau dilahirkan dalam keluarga bangsawan Quraisy daripada kabilah Bani Makhzum — antara kabilah yang paling mulia dan berpengaruh di Makkah. Ayahnya, Abu Umayyah (Zad al-Rakib), terkenal sebagai seorang hartawan dan sangat pemurah kepada para musafir, menunjukkan bahawa Ummu Salamah berasal daripada keluarga yang merdeka dan terhormat. Maka tidak terdapat sebarang riwayat atau dalil sahih yang menunjukkan bahawa Ummu Salamah pernah menjadi hamba atau dibebaskan daripada perhambaan.
Manakala berkenaan Zaid bin al-Harithah R.A, beliau pernah menjadi hamba pada zaman kanak-kanaknya, setelah ditawan dalam satu serangan oleh kabilah lain dan dijual di pasar Ukaz. Beliau kemudian dibeli oleh Hakim bin Hizam dan dihadiahkan kepada Khadijah binti Khuwaylid, isteri Nabi SAW, sebelum Nabi menerima wahyu.
Zaid dibebaskan oleh Rasulullah SAW sebelum dijadikan anak angkat Baginda, sekitar usia lapan tahun. Maka ketika kenabian bermula, Zaid sudah pun seorang yang merdeka, dan menjadi antara orang pertama yang memeluk Islam.
Antara ayat al-Quran berkaitan Zaid:
- Surah al-Ahzab, ayat 5:
ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّهِ
Maksudnya: “Panggillah mereka (anak angkat itu) dengan nama bapa-bapa mereka; itulah yang lebih adil di sisi Allah.” (Surah al-Ahzab: 5)
Ayat ini menghapuskan hukum pengambilan anak angkat sebagai anak kandung. Sebelum ayat ini diturunkan, Zaid dikenali sebagai Zaid bin Muhammad. Selepas itu, beliau kembali dikenali sebagai Zaid bin Harithah.
- Surah al-Ahzab, ayat 37:
فَلَمَّا قَضَى زَيْدٌ مِّنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا
Maksudnya: “Tatkala Zaid telah selesai terhadap keperluannya daripadanya (yakni menceraikannya), Kami nikahkan engkau dengannya…” (Surah al-Ahzab: 37)
Ayat ini menyebut nama Zaid secara jelas dalam al-Quran — satu-satunya sahabat yang disebut namanya dalam al-Quran — dan berkaitan dengan perkahwinan Rasulullah SAW dengan Zainab binti Jahsh, bekas isteri Zaid.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”