Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan berkenaan dengan seseorang yang diberi rukhsah untuk bertayammum disebabkan ketiadaan air atau kerana sakit yang menghalangnya daripada menggunakan air; adakah disyaratkan baginya untuk mengulangi tayammum bagi setiap solat fardhu, atau dibolehkan baginya untuk menunaikan lebih daripada satu solat fardhu dengan satu tayammum, sepertimana halnya dengan wuduk? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Asas syariat Islam dibina atas dasar memudahkan dan menghilangkan kesusahan.

Syariat Islam bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Terdapat pelbagai dalil-dalil daripada al-Quran mahupun hadith yang menunjukkan keadaan tersebut. Antaranya ialah firman Allah SWT:

مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Ayat di atas bermaksud Allah SWT tidak ingin menyusahkan kamu dalam ketentuan hukum-hakam-Nya dengan mewajibkan kamu tetap bersuci dengan menggunakan air sedangkan ia membahayakan kamu. Oleh itu, Dia menetapkan syariat baru sebagai penggantinya ketika ada kesulitan dalam menggunakan air kerana sakit atau tidak ada air. Hal itu dalam rangka menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur atas nikmat yang telah Allah berikan kepada kamu, dan tidak mengingkarinya. (Lihat al-Mukhtasar fi al-Tafsir, hlm. 108).

Tayammum merupakan salah satu keistimewaan umat Nabi Muhammad SAW

Tayammum merupakan antara keistimewaan yang Allah SWT anugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW berbanding para nabi yang lain, dan sebagai satu bentuk kurniaan khusus buat umat baginda daripada kalangan umat-umat terdahulu. Rasulullah SAW bersabda:

أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنَ الأَنْبِيَاءِ قَبْلِي: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ، وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا، وَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ فَلْيُصَلِّ، وَأُحِلَّتْ لِي الغَنَائِمُ، وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً، وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً، وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ

Maksudnya: “Aku diberikan lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku. (Pertama) Aku diberi pertolongan dengan dicampakkan perasaan takut dalam hati musuh sejauh sebulan perjalanan. (Kedua) Bumi ini telah dijadikan untuk aku bersujud dan bersuci. Oleh itu sesiapa sahaja daripada kalangan umatku, hendaklah menunaikan solat di mana sahaja apabila telah masuk waktunya. (Ketiga) Harta ghanimah (rampasan perang) dihalalkan buat aku. (Keempat) Seseorang nabi itu selalunya diutuskan untuk kaumnya sahaja, sedangkan aku diutuskan untuk manusia seluruhnya. Dan (kelima) Aku diberi hak keistimewaan untuk memberi syafaat (kepada umatku).”

Riwayat al-Bukhari (438) dan Muslim (521)

Al-‘Allamah Ibn Nujaim al-Hanafi menyebutkan dalam al-Bahr al-Ra’iq (1/146): “Ketahuilah bahawa tayammum tidak disyariatkan kepada selain umat ini, bahkan ia disyariatkan sebagai rukhsah (keringanan) khusus untuk kita.”

Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa ia adalah rukhsah dan satu keutamaan yang dikhususkan kepada umat ini yang tidak diberikan kepada umat-umat lain, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh hadith-hadith sahih yang masyhur. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/206).

Hukum Bertayammum Sekali untuk Lebih daripada Satu Solat Fardhu

Para fuqaha telah bersepakat tentang pensyariatan tayammum, namun mereka berbeza pandangan dalam isu: adakah satu tayammum mencukupi untuk lebih daripada satu solat fardhu selagi orang yang bertayammum itu tidak berhadas, sebagaimana keadaan dalam ganti asalnya iaitu wuduk? Atau adakah disyaratkan tayammum baharu untuk setiap solat fardhu, kerana tayammum merupakan rukhsah (keringanan) yang menyelisihi hukum asal, dan seseorang tidak dibenarkan menggunakannya melainkan apabila hilang sebab asal (yakni ketiadaan air)?

Adapun ijma‘ tentang pensyariatan tayammum, maka ia telah dinukilkan oleh ramai dalam kalangan fuqaha, antaranya seperti Imam Ibn al-Munzir dalam al-Ijma‘ (hlm. 36), al-‘Allamah al-Kasani dalam Bada’i‘ al-Sana’i‘ (1/44), dan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (2/206).

Adapun perbezaan pendapat dalam isu keharusan (boleh) menunaikan lebih daripada satu solat fardhu dengan satu tayammum, ia terbahagi kepada tiga pandangan:

Pandangan pertama: Tayammum adalah seperti wuduk; maka dibolehkan bagi orang yang bertayammum untuk menunaikan sebanyak mana solat fardhu yang dia mahu dengan satu tayammum, dalam waktu solat dan selepasnya, selagi dia tidak menjumpai air atau tidak berhadas. Ini kerana satu hadas tidak memerlukan dua kali bersuci, dan ini merupakan pendapat mazhab Hanafī serta salah satu pendapat Imam Ahmad.

Ini adalah seperti mana disebutkan oleh al-‘Allamah al-Kasani al-Hanafi, jika seseorang bertayammum dalam waktu solat, maka dia boleh menunaikan sebanyak mana solat fardhu dan sunat yang dia mahu, selagi dia belum menemui air atau belum berhadas. (Lihat Bada’i‘ al-Sana’i‘ , 1/55).

Begitu juga al-‘Allamah Badr al-Din al-‘Aini al-Hanafī juga ada menyebutkan, “(Dan dia boleh solat dengan tayammumnya), yakni dengan satu tayammum sahaja (sebanyak mana solat fardhu dan sunat yang dia kehendaki), kerana ia adalah bentuk bersuci yang mutlak seperti wuduk.” (Lihat Minhah al-Suluk, hlm. 79).

Imam Ibn Qudamah al-Hanbali turut menyatakan, terdapat riwayat daripadanya (Imam Ahmad): seseorang itu boleh bersolat dengan tayammumnya sehingga dia berhadas; berdasarkan qiyas ke atas bersuci dengan air. (Lihat al-Kafi fi Fiqh al-Imam Ahmad, 1/125).

Dalilnya ialah hadith daripada Abu Zar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الصَّعِيدُ الطَّيِّبُ وَضُوءُ الْمُسْلِمِ وَإِنْ لَمْ يَجِدِ الْمَاءَ عَشْرَ سِنِينَ

Maksudnya: “Tanah yang bersih adalah wuduk bagi seorang Muslim, walaupun dia tidak menemui air selama sepuluh tahun.”

Riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya (1313); Abu Dawud (332) dan al-Tirmizi (124)

Pandangan kedua: Seseorang diwajibkan untuk mencari air bagi setiap solat fardhu. Jika dia tidak menemui air, barulah dia dibenarkan untuk bertayammum. Maka tidak dibenarkan untuk menghimpunkan dua solat fardhu dengan satu tayammum, walaupun kedua-duanya berada dalam waktu solat yang sama; sama ada kedua-duanya solat yang sama jenisnya, seperti satu solat tunai dan satu lagi solat qadha’, atau berbeza jenis, seperti antara solat dan tawaf. Begitu juga jika seseorang itu bertayammum untuk solat sunat, maka dia tidak boleh menunaikan solat fardhu dengan tayammum tersebut. Ini merupakan pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafi‘i.

Ini adalah seperti mana yang dinyatakan oleh Imam al-Mawardi al-Syafi‘i bahawa tidak boleh menghimpunkan dua solat fardhu dengan satu tayammum, namun seseorang boleh menunaikan sebanyak mana solat sunat dengan tayammum yang dibuat untuk solat fardhu. (Lihat al-Iqna‘, 1/209).

Di samping itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, mazhab kami berpendapat bahawa tidak boleh menghimpunkan dua solat fardhu dengan satu tayammum. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/293).

Beliau juga turut menyebutkan dalam Raudhah al-Talibin (1/116) berkenaan isu apa yang boleh dilakukan dengan satu tayammum bahawa tidak boleh seseorang menunaikan kecuali satu solat fardhu sahaja dengan satu tayammum, tidak kira sama ada kedua-dua fardhu itu jenis yang sama atau berbeza, seperti dua solat fardhu, dua tawaf, atau satu solat (fardhu) dan satu tawaf; atau seperti dua solat Zuhur, atau antara solat fardhu dan solat nazar, atau dua solat nazar.

Demikianlah juga turut dinyatakan dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (2/242) bahawa jika seseorang bertayammum untuk solat sunat dalam waktunya, maka dia hanya dibenarkan menunaikan solat sunat itu dan mana-mana solat sunat lain yang dia mahu, namun dia tidak dibenarkan menunaikan solat fardhu dengannya menurut mazhab dan sebagaimana yang dinaskan dalam kitab al-Umm.

Pandangan ketiga: Seseorang diwajibkan bertayammum untuk setiap waktu solat fardhu. Maka jika dia bertayammum setelah masuk waktu solat, dibenarkan baginya untuk menunaikan seberapa banyak solat fardhu dengan tayammum tersebut selagi waktu solat itu masih belum berakhir. Apabila waktu tersebut telah tamat, maka dia wajib bertayammum semula untuk waktu solat yang berikutnya, jika dia masih dalam keadaan tidak mempunyai air. Begitulah yang dilakukan untuk setiap kali masuk waktu solat. Inilah pendapat mazhab Maliki dan zahir mazhab Hanbali.

Hal ini adalah seperti mana yang dinyatakan oleh Imam Ibn ‘Abd al-Barr al-Qurtubi al-Maliki dalam al-Kafi fī Fiqh Ahl al-Madinah bahawa seseorang wajib bertayammum bagi setiap solat fardhu; kerana dia diwajibkan untuk mencari air apabila masuk waktu solat. Maka jika dia tidak menjumpai air, maka dia termasuk dalam kalangan yang diarahkan untuk bertayammum berdasarkan firman Allah:

فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci.

(Surah al-Nisa’: 43)

Seseorang tidak boleh menunaikan dua solat fardhu atau beberapa solat fardhu dengan satu tayammum, kecuali jika semuanya dilakukan dalam satu waktu. Namun, jika dia telah meninggalkan beberapa solat dan baru mengingatinya di luar waktunya, maka diharuskan (boleh) baginya menunaikan kesemua solat tersebut dengan satu tayammum. (Lihat al-Kafi fī Fiqh Ahl al-Madinah, 1/183).

Selain itu, Imam Ibn Qudamah al-Hanbalī juga ada menyatakan: “(Jika seseorang bertayammum, maka dia menunaikan solat yang telah masuk waktunya, dan boleh menunaikan solat-solat fardhu yang tertinggal jika ada, serta solat sunat, sehinggalah masuk waktu solat yang lain). Mazhab menyatakan bahawa tayammum menjadi batal dengan tamatnya waktu solat atau masuknya waktu solat yang lain.” (Lihat al-Mughni, 1/193).

Tambahan lagi, beliau turut menyebut dalam al-Kafi fi Fiqh al-Imam Ahmad (1/125) bahawa jika seseorang bertayammum untuk solat fardhu dalam waktunya, maka dibolehkan baginya menunaikan solat tersebut dan apa-apa solat sunat sebelum dan selepasnya, serta mengqadha’kan solat yang tertinggal, dan menghimpunkan dua solat, kerana tayammum itu adalah bentuk bersuci yang membolehkan satu solat fardhu, maka ia juga membolehkan semua perkara lain seperti wuduk. Namun apabila waktu solat itu tamat, maka tayammumnya menjadi batal menurut zahir mazhab, kerana tayammum adalah bentuk bersuci kerana keuzuran dan darurat, maka tempohnya terhad dengan waktu solat seperti hukum wanita istihadhah.

Selain daripada itu, al-‘Allamah al-Zarkasyi al-Hanbali juga ada menyatakan, menurut mazhab, seseorang boleh menunaikan solat yang dia bertayammum untuknya, juga solat nazar, qadha’, menghimpunkan dua solat, solat sunat dan solat jenazah, sehinggalah masuk waktu solat yang berikutnya, maka tayammumnya menjadi batal. (Lihat Syarh Mukhtasar al-Khiraqi, 1/362).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perkara yang telah dijelaskan dan merujuk kepada situasi yang diajukan dalam soalan, kami berpendapat bahawa seseorang yang diberi rukhsah (keringanan) untuk bertayammum – sama ada disebabkan kehilangan air secara hakiki (dengan tiadanya air) atau secara hukum (seperti kerana sakit dan seumpamanya) – wajib bertayammum bagi setiap solat fardhu yang ingin dia tunaikan, walaupun masih dalam waktu tayammum sebelumnya. Inilah pendapat yang dilihat sebagai mengambil langkah berhati-hati (ihtiyat), di samping ia merupakan pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i yang merupakan mazhab pegangan rasmi negara kita.

Namun, jika dia menghadapi kesukaran untuk bertayammum bagi setiap solat fardhu apabila dua atau lebih solat berkumpul padanya, maka diharuskan (boleh) baginya menunaikan beberapa solat fardhu dengan satu tayammum, selagi waktu solat yang pertama (yang dia bertayammum untuknya) belum tamat, atau dia masih belum menjumpai air. Begitu juga jika waktu-waktu solat datang berturutan dan dia mengalami kesukaran untuk bertayammum bagi setiap waktu, maka dibolehkan baginya menunaikan semua solat fardhu yang dia mampu dengan satu tayammum, tanpa terikat dengan waktu tertentu, sehingga dia berhadas atau menemui air, sebagaimana keadaan wuduk.

Pendekatan bertahap ini dalam meringankan beban bagi orang yang mendapat rukhsah tayammum adalah selaras dengan kaedah syarak yang menyebut:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1)

Dan juga kaedah yang menyatakan:

مَنْ ٱبْتُلِيَ بِشَيْءٍ مِنَ ٱلْمُخْتَلَفِ فِيهِ فَلْيُقَلِّدْ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya: “Sesiapa yang diuji dengan sesuatu yang diperselisihkan hukumnya, maka hendaklah dia mengikut pendapat yang membenarkannya.

Maka dalam keadaan itu, dia tidak berdosa serta tidak menanggung apa-apa kesalahan dalam hal tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”