Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah wanita diberi pahala sekiranya mereka berpuasa walaupun didatangi haid?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, para ulama dari kalangan salaf dan khalaf bersepakat bahawa wanita yang didatangi haid adalah haram untuk berpuasa, dan tidak sah sekiranya mereka tetap meneruskan berpuasa. Imam al-Nawawi menyebutkan secara jelas berkenaan ini di dalam al-Majmu‘ (2/354): “Umat bersepakat berkenaan pengharaman puasa bagi wanita yang didatangi darah haid dan nifas, begitu juga tidak sah puasa mereka.”

Apabila diketahui bahawa puasa itu diharamkan ke atas wanita yang haid, maka bagaimana mungkin mereka diganjarkan pahala dengan melakukannya. Haram itu sendiri dari segi bahasa bermaksud dilarang. Kata Imam al-Haramain al-Juwaini: “Ia adalah apa yang ditegah oleh syara‘ dan dicela jika melakukannya.” (Lihat al-Burhan, 1/108)

Disebutkan dalam hadith Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabat:

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ؟ قُلْنَ: بَلَى، قَالَ: فَذَلِكِ مِنْ نُقْصَانِ دِينِهَا

Maksudnya: “‘Tidakkah apabila seorang wanita berhaid, dia tidak solat dan puasa?’ Mereka menjawab: ‘Ya benar.’ Baginda bersabda: ‘Itulah sebahagian daripada kekurangan agamanya’.”

Riwayat al-Bukhari (304) dan Muslim (80)

Imam al-Nawawi juga telah menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh saudari ini, seraya berkata, tidak sah puasa wanita yang didatangi haid dan nifas, dan ia tidak diwajibkan ke atas mereka tetapi diwajibkan ganti. Semua ini telah disepakati. Adapun isu berkenaan wanita haid semasa sedang berpuasa, terdapat dua keadaan:

  • Sekiranya wanita yang haid itu tetap menahan diri dari makan dan minum tanpa niat untuk meneruskan puasa, maka dia tidaklah berdosa.
  • Sekiranya dia berniat untuk terus berpuasa, sekalipun dia tahu ia tidak sah, dia berdosa. (Lihat al-Majmu‘, 6/257)

Kesimpulan

Ringkasnya, wanita yang didatangi haid tidak dibenarkan untuk berpuasa, dan tiada pahala baginya jika diteruskan puasa tersebut. Sebaliknya, dia dihukumkan berdosa kerana melakukan perkara yang melanggar hukum syara‘.

Masih banyak lagi amalan lain yang boleh dilakukan oleh wanita dalam keadaan datang bulan, dan kami telah menggariskannya dalam artikel bertajuk: “1002: Amalan Wanita Haid dalam Bulan Ramadhan.”

Semoga wanita Muslim beroleh manfaat dari perbahasan ini seterusnya dapat beramal seiring dengan ketetapan syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Wallahu a‘lam