Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah pandangan syarak tentang mendidik golongan dewasa dan keperluan untuk menghapuskan buta huruf mereka. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
(Surah al-Taubah:122)
Pada ayat ini, Allah S.W.T dengan jelas menyatakan suruhan untuk sebahagian umat Islam mempelajari ilmu agama dan kemudiannya mengajarkannya pada orang ramai. Syeikh al-Sa’di ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah S.W.T menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.355)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, mendidik golongan dewasa dan membasmi buta huruf merupakan suatu usaha yang amat dituntut oleh syarak. Tujuan utama pembasmian buta huruf ialah memberi kemahiran membaca dan menulis kepada mereka yang tidak tahu huruf, sehingga mereka mencapai tahap penguasaan yang baik. Manakala pendidikan dewasa pula bermatlamat untuk membekalkan ilmu pengetahuan yang secukupnya kepada golongan ini agar dapat meningkatkan tahap budaya, sosial dan kemahiran mereka, seterusnya membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan perkembangan masyarakat serta membuka ruang untuk meneruskan pembelajaran pada peringkat yang lebih tinggi.
Ramai dalam kalangan para imam dan ulama besar umat ini tidak memulakan usaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu melainkan setelah mereka berusia lanjut. Namun, mereka tidak berasa malu dengan usia tua mahupun kedudukan mereka ketika itu. Mereka mengambil inspirasi daripada hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa beliau berkata:
مَنْهُومَانِ لَا يَشْبَعَانِ طَالِبُ عِلْمٍ وَطَالِبُ دُنْيا
Maksudnya: “Dua golongan yang sentiasa merasa tidak puas: orang yang menuntut ilmu dan orang yang mengejar dunia”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (26118). Sayuti menilai hadith ini sebgai Dhaif dalam al-Durar al-Muntasirah (Hlm.130)
Apa yang dimaksudkan dengan “النَّهْمَةُ” ialah keinginan atau ketamakan yang sangat terhadap sesuatu perkara, dan dari makna inilah datangnya istilah “نَهِم” yang digunakan bagi orang yang sangat lapar. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/245)
Semangat menuntut ilmu tanpa batasan umur ini juga dapat dilihat dalam kisah-kisah ulama terdahulu. Para ulama telah meriwayatkan pelbagai kisah dan peristiwa berkenaan sebahagian besar imam dan ulama terkemuka umat Islam yang menuntut ilmu setelah mencapai usia lanjut. Antaranya ialah Abu Bakar ‘Abdullah bin Ahmad bin ‘Abdullah al-Marwazi, yang lebih dikenali sebagai al-Qaffal, seorang tokoh besar dalam mazhab al-Syafi‘i pada zamannya dan wafat pada tahun 417H sebagaimana yang dikisahkan oleh Imam Ibn Qadhi Syuhbah dalam kitab Tabaqat al-Syafi‘iyyah, (1/184).
Justeru, berdasarkan nas-nas syarak serta kisah-kisah para ulama terdahulu, mendidik golongan dewasa dan menghapuskan buta huruf serta mengangkat kejahilan adalah perkara yang dituntut oleh syarak. Tuntutan ini adalah berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang menunjukkan kepentingan ilmu dan pengajaran serta kemuliaan kedudukan para penuntut ilmu. Tuntutan untuk menuntut ilmu tidak terhad kepada peringkat usia atau jantina; tiada perbezaan dalam hal ini antara orang muda dan orang tua, lelaki mahupun wanita — semuanya adalah sama dalam kewajipan dan keutamaan menuntut ilmu. Yang demikian sebagaimana yang dinyatakan dalam fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah.
Kesimpulan
Usaha mendidik golongan dewasa dan membasmi buta huruf adalah suatu keperluan syarak yang berpaksikan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah terhadap kewajipan menyebarkan ilmu dan mengangkat kejahilan. Pendidikan dapat membentuk akal dan sahsiah, malah membuka peluang kepada individu untuk menyumbang secara aktif dalam masyarakat. Oleh itu, para ibu bapa, masyarakat dan institusi pendidikan seharusnya bekerjasama mewujudkan ruang dan peluang bagi setiap lapisan masyarakat termasuk golongan dewasa untuk mendapatkan ilmu, dengan pendekatan yang hikmah, penuh belas ihsan dan tanpa diskriminasi. Tiada istilah terlalu lambat dalam menuntut ilmu, kerana setiap langkah menuju kefahaman agama dan ilmu yang bermanfaat adalah jalan ke arah kebaikan yang berpanjangan. Firman Allah SWT:
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”
(Surah al-Zumar:9)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua’lam