Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah melabuhkan pakaian melebihi buku lali dapat membatalkan solat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ
Maksudnya: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.”
(Surah al-Mu’minun: 9)
Antara maksud ‘يُحَافِظُونَ’ adalah memelihara solat dalam waktunya. Ibn Mas’ud, Masruq, Ikrimah dan Said bin Jubair berkata: “Yakni, orang-orang yang memelihara solatnya, dan menjaga waktu-waktu solat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/714)
Melabuhkan pakaian melebihi buku lali atau lebih dikenali dalam buku-buku fiqh sebagai isbal merupakan satu perbuatan yang menjadi perselisihan ulama tentang hukumnya untuk kaum lelaki, manakala untuk wanita ia tidak menjadi satu permasalahan, dan kami telah jelaskan tentang hukum isbal dengan terperinci di dalam artikel yang bertajuk: “288: Isbal Bagi Lelaki”, dan kami memilih pendapat Syeikh Dr, Yusuf al-Qaradhawi yang membawa tarjih al-Imam Nawawi dan Ibn Hajar bahawa isbal haram hanya jika disertai dengan kesombongan.
Menurut Mazhab Syafi‘i sebagaimana yang disebutkan oleh pengarang Kitab Safinah al-Naja, ada empat belas pembatal solat namun perbuatan memanjangkan pakaian lebih dari buku lali buat lelaki tidak tergolong sebagai salah satu pembatal solat. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 44-45)
Ada sebuah hadith yang menjadi perselisihan ulama, berkaitan dengan adakah solat orang yang isbal diterima atau tidak, seperti yang diceritakan oleh Abu Hurairah bahawa seorang lelaki solat dalam keadaaan melabuhkan pakaiannya melebihi buku lali, dan Nabi menyuruhnya pergi berwuduk, dan apabila ditanya kenapa, Nabi pun bersabda:
إِنَّهُ كَانَ يُصَلِّي وَهُوَ مُسْبِلٌ إِزَارَهُ وَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى لا يَقْبَلُ صَلاةَ رَجُلٍ مُسْبِلٍ إِزَارَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya dia solat dalam keadaan dia melakukan isbal, dan sesungguhnya Allah tidak menerima solat seorang lelaki yang melabuhkan pakaiannya melebihi buku lali.”
Riwayat Abu Dawud (638) dan al-Bazzar (8762)
Syeikh Muhammad Ziyad al-Tuklah, salah seorang ulama hadith terkemuka dari United Kingdom menjelaskan hadith ini dhaif dalam buku beliau al-Durrah al-Yatimah fi Takhrij Ahadith al-Tuhfah al-Karimah (hlm. 249-252), kerana pada sanad hadith ini ada perawi yang bernama Abu Ja‘far al-Muazzin, dan dia ialah majhul tidak dikenali.
Sekiranya hadith ini sahih sekalipun, ia bermaksud sebagai ancaman dan amaran daripada melakukan isbal (kerana dikhuatiri ada kesombongan), tetapi solatnya sah, cuma Baginda SAW menyuruhnya untuk mengulangi wudhu, bukan mengulangi solat. Dan boleh jadi suruhan Nabi untuk mengulangi wudhu kerana wudhu dapat meringankan dosa, menurut pandangan ulama yang mengatakan isbal itu haram, kerana Imam al-Nawawi telah menukilkan ijmak bahawa solat orang yang melakukan isbal tak perlu diulangi.
Justeru, lakukanlah ibadat solat sebagaimana Rasulullah SAW lakukannya atau arahkannya. Nescaya, ia akan diterima oleh Allah apabila disertai dengan niat yang ikhlas. Benarlah sabda Nabi SAW:
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: “Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”
Riwayat al-Bukhari (631)
Imam al-Nawawi berkata: Hadith ini mengisyaratkan tuntutan agar mengerjakan ibadah mengikut cara bagaimana Rasulullah SAW ajarkan dan juga praktikkan. (Lihat al-Majmu‘, 4/521)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, kami menegaskan sekali lagi di sini bahawa perbuatan lelaki melabuhkan pakaiannya melebihi buku lali atau isbal, tidak membatalkan solat sama sekali.
Kami menutup jawapan kami dengan menasihatkan seluruh umat Islam memilih pakaian terbaik, tidak ada najis, menutup aurat dengan sempurna dan keluar daripada khilaf agar pahala solat kita semua sempurna, kerana perkara yang paling awal ditanya di akhirat kelak ialah solat. Wallahu a‘lam
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”