#887: Fadhilat Menjamu Orang Berbuka Puasa

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah fadhilat menjamu atau memberi makan kepada orang yang berpuasa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Memberi Makan Suatu Amalan Mulia

Amalan memberi makan adalah amat digalakkan terutamanya kepada mereka yang fakir miskin dan anak yatim. Allah SWT memuji orang-orang yang bersedekah seperti dalam bentuk makanan sebagaimana dalam firman-Nya:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا

Maksudnya: Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.[1]

Dalam menjelaskan ayat ini, Ibn Abbas berkata: Iaitu pada saat bekalan sedikit dan ia diberikan atas dasar kasih sayang kepada mereka.[2]

Ibn Kathir pula berkata: Dhamir (kata ganti) dalam ayat ini kembali ke perkataan al-ta’am (الطَّعَامَ). Maksudnya, mereka memberikan makanan ketika mereka menyukainya dan sangat berselera pada makanan tersebut. Ayat tersebut sama seperti firman-Nya: “وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ” (dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya)[3]

Ada juga pendapat menyatakan, pemberian tersebut atas rasa suka untuk memberi makan, kerana kesukaan mereka untuk melakukan kebaikan. Ini sepertimana disebut oleh Fudhail bin Iyadh. Pendapat lain pula menyebut bahawa dhamir pada lafaz “حُبِّهِ” ini kembali kepada Allah. Justeru, maksudnya adalah mereka memberi makan atas dasar cinta kepada Allah SWT.[4]

Di dalam hadith Nabi SAW, turut dijelaskan berkenaan keutamaan sedekah memberi makan ini. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Salam, ketikamana Nabi SAW sampai ke kota Madinah, Baginda SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلاَمَ ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ ، وَصِلُوا الأَرْحَامَ ، وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ ، تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلاَمٍ

Maksudnya: “Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur. Nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat.”[5]

Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Khattabi berkata: “Nabi SAW menjadikan (memberi makan) sebagai seafdhal amalan di mana ia menjadi penguat kepada badan.”[6]

Sesungguhnya amalan memberi makan menunjukkan hilangnya rasa takut dan kefakiran, sehingga akhirnya menjadikan hati sesama umat Islam akan semakin dekat dan hubungan silaturrahim akan terjalin semakin kuat.[7]

Justeru, jelas bahawa amalan memberi makan ini sangat dianjurkan di dalam Islam dan sesungguhnya ia satu amalan yang mulia yang dijanjikan pahala, lebih-lebih lagi ia dilakukan dalam bulan Ramadhan di mana pahala akan digandakan.

Dalam ayat yang lain, Allah SWT turut menyebut ancaman terhadap orang yang kedekut dan bakhil terhadap harta mereka. Di dalam surah al-Ma’un ayat 1 hingga 3, Allah SWT mengkhabarkan tentang salah satu ciri-ciri orang yang mendustakan agama, di mana firman-Nya:

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ ، فَذَٰلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ ، وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ

Maksudnya: “Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.”[8]

Dalam menjelaskan ayat “وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ”, Imam al-Qurtubi berkata: Yakni seseorang itu tidak mahu berkongsi dan membenci orang lain yang berkongsi akan sesuatu rezeki. Ini disebabkan kebakhilannya dan pendustaannya terhadap balasan dan ganjaran di akhirat nanti.

Pada asasnya, mereka yang dicela oleh ayat ini adalah orang-orang yang memiliki sifat kedekut dan tidak mahu berkongsi. Ayat ini tidaklah ditujukan kepada orang-orang yang tidak berkemampuan kerana mereka sememangnya tidak mampu.[9]

Justeru, mudah-mudahan dengan melazimi amalan bersedekah memberi makan ini, sedikit sebanyak ia dapat menghakis sifat kedekut dan bakhil, sebaliknya digantikan dengan sifat suka memberi, saling mengasihi serta mendahulukan orang lain dalam berkongsi nikmat Allah yang dikurniakan.

Fadhilat dan Galakan Menjamu Makan di Bulan Ramadhan

Dalam bulan Ramadhan, kita sebagai umat Islam digalakkan untuk mengikuti satu sunnah Baginda SAW iaitu memberi makan orang yang berpuasa. Galakan untuk memberi makan orang yang berpuasa ini adalah perkara yang thabit daripada hadith Nabi Muhammad SAW. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.”[10]

Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa menyebut: “Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun.”[11]

Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

Maksudnya“Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.”[12]

Justeru apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.

Imam al-Tabari menerangkan: “Barangsiapa yang menolong seorang mukmin dalam melakukan amal kebaikan, maka orang yang menolong tersebut akan mendapat pahala sama dengan si pelaku kebaikan tadi. Rasulullah SAW memberi khabar bahawa orang yang mempersiapkan segala perlengkapan perang bagi orang yang ingin berperang, maka dia akan mendapatkan pahala orang yang pergi berperang. Begitu pula orang yang memberi makan kepada orang yang berpuasa atau menyumbang tenaga melalui pengagihan makanan bagi orang yang berpuasa, maka dia pun akan mendapatkan pahala orang yang berpuasa.”[13]

Imam al-Munawi menjelaskan bahawa memberi makan orang yang berpuasa di sini boleh jadi dengan makna hidangan makan malam yang lengkap, atau dengan kurma. Jika tidak mampu dengan itu, maka boleh juga dengan seteguk air.”[14]

Kata Imam Ibn Muflih ketika mensyarahkan hadith kelebihan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa di atas: “Yang zahir dari pendapat para ulama adalah apa sahaja makanan sebagaimana zahir khabar (hadith) tersebut. Manakala pahala yang lebih besar sekiranya makanan tersebut memberi kekenyangan kepada orang yang berbuka.”[15]

Oleh yang demikian seseorang itu sekiranya dia memberikan makanan kepada orang yang berbuka puasa sama ada dengan sebiji tamar, segelas air, dan sebagainya maka sudah terhasil baginya pahala memberi makan kepada orang yang berbuka sebagaimana zahir hadith.

Ini adalah jelas seperti yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ عِتْقُ رَقَبَةٍ وَمَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلُّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ قَالَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ أَوْ تَمْرَةٍ أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ

Maksudnya“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah SAW: ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah SAW menjawab: ‘Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman’.”[16]

Kami nyatakan juga di sini antara sikap dan sifat tokoh ulama’ dalam memberi makan orang yang berpuasa:

  • Hasan al-Basri memberi makan saudaranya sedangkan dia berpuasa sunat dan duduk melayan mereka ketika mereka makan.
  • Abdullah bin al-Mubarak memberi makan kepada saudaranya ketika bermusafir dengan makanan yang lazat, sedangkan dia berpuasa.
  • Hammad menjamu setiap malam kepada orang ramai pada bulan puasa seramai 500 orang.
  • Abdullah bin Umar R.Anhuma berpuasa dan tidak berbuka kecuali bersama dengan fakir miskin.

Semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah yang suka menjamu mereka yang berpuasa.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H

 

[1] Surah al-Insan (8)

[2] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/84; Tafsir Fath al-Qadir, 11/820

[3] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/358

[4] Lihat Tafsir Fath al-Qadir, 11/820

[5] Riwayat al-Tirmizi (2485), Ibnu Majah (3251) dan Ahmad (5/451)

[6] Lihat A’lam al-Hadith, 1/149

[7] Lihat Bahjah al-Nazirin Syarh Riyadh al-Salihin, 2/64

[8] Surah al-Ma’un (1-3)

[9] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/144

[10] Riwayat al-Tirmizi (807)

[11] Lihat Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam, hlm. 18

[12] Surah al-An’am (160)

[13] Lihat Syarah Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, 5/51

[14] Lihat Faidh al-Qadir, 6/187

[15] Lihat Al-Furu’ li Ibn Muflih, 3/73

[16] Riwayat Ibn Khuzaimah (1878)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *