Soalan

Assalamualaikum ustaz. Seorang imam terlupa membaca al-Fatihah ketika rakaat kedua, sebaliknya terus membaca surah. Meskipun ditegur oleh makmum, imam itu tetap meneruskan bacaan surah, dan kemudian rukuk. Bagaimana solat tersebut.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat mempunyai rukunnya yang tersendiri. Ianya terbahagi kepada rukun fi’li yang berkaitan dengan perbuatan, rukun qauli yang bersangkutan dengan percakapan, rukun qalbi dan rukun maknawi. Kesemua rukun-rukun ini wajib dilakukan barulah solat yang ditunaikan menjadi sah.

Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli. Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat (tidak solatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.”[1]

Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Nawawi menyebut: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefardhuan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ianya juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardhu mahupun solat sunat.”[2]

Hal ini memberi maksud bahawa tidak sah solat jika surah al-Fatihah tidak dibaca semasa menunaikan solat. Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah dirumuskan oleh jumhur ulama yang bermazhab Syafie. Inilah juga yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.[3]

Dalam isu ini juga, terdapat tiga keadaan jika seseorang itu terlupa membaca al-Fatihah:

  • Jika dia terlupa membaca al-Fatihah dan teringat bahawa dia tidak membaca al-Fatihah dan pada ketika itu  dia rukuk, maka dia perlu bangun dan membaca semula surah al-Fatihah.
  • Jika dia teringat setelah dia bangun untuk rakaat seterusnya, maka bacaan al-Fatihah pada ketika itu, menjadi ganti untuk rakaat yang dia terlupa untuk membaca al-Fatihah. Sebelum salam, dia perlu bangun dan menambah rakaat serta sujud sahwi.
  • Jika dia teringat selepas memberi salam dalam waktu yang tidak terlalu lama, maka dia perlu bangun untuk menambah rakaat sebagai ganti rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah dan disusuli dengan sujud sahwi. Adapun jika berlalu waktu yang terlalu lama kemudian dia teringat bahawa ada satu rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah, maka dalam keadaan ini dia perlu solat semula.[4]

Bagi imam yang terlupa membaca al-Fatihah, solatnya tidaklah batal dan dia perlu menambah rakaat sebelum salam. Ini kerana rakaat yang dia terlupa untuk membaca al-Fatihah dianggap tidak bernilai. Oleh itu sebelum salam, dia perlu bangun dan tambah rakaat sebagai ganti kepada rakaat yang mana dia terlupa untuk al-Fatihah di dalamnya. Adapun, jika dia tidak bangun menambah rakaat sesudah salam dan berlalu dalam tempoh masa yang lama, maka solat yang dilakukannya sebelum itu tidak sah dan perlu mengulang semula solatnya.

Bagi makmum pula, mereka mempunyai dua pilihan jika imam terlupa membaca al-Fatihah :

  • Terus mengikut imam dengan harapan dan anggapan bahawa imam akan menganti semula rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah. Jika Imam tidak mengganti rakaat pada akhir solat iaitu sebelum salam, makmum boleh berniat mufaraqah dan mengganti sendiri rakaat tersebut.
  • Makmum terus berniat mufaraqah dan meneruskan solatnya secara sendiri.

Seeloknya hendaklah mengikut imam. Ini supaya tidak menimbulkan kekacauan dan kekecohan. Jika imam tidak juga mengganti rakaat  sebelum salam maka dibenarkan kepada makmum untuk berniat mufaraqah.

Marilah sama-sama kita sentiasa mempelajari agama terutamanya membabitkan rukun-rukun Islam yang perlu kita amalkan agar berbetulan dengan Syariat.

Wallahu a’lam.

Bertarikh:  12/11/21 bersamaan 7 Rabiul Akhir 1443H

[1] Riwayat Ibnu Majah (828)

[2] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283

[3] Lihat al-Majmu’, 3/288

[4] Lihat al-Majmu’, 2/288

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *