#894 Solat Sunat Selepas Solat Witir

Soalan

Solat witir biasanya dilakukan di akhir malam sebagai penutup segala ibadah kita pada hari tersebut,. Adakah perlu dilakukan solat witir sekali lagi ketika bangun untuk melakukan solat malam secara bersendiri walaupun ia telah dilakukan bersama imam ketika solat Tarawih?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat witir merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut dalam agama kita. Menurut mazhab Syafi‘i, kita disunatkan untuk solat sunat witir secara berjemaah di dalam bulan Ramadhan. Hal ini kerana fadhilat dan kelebihannya yang besar sebagaimana yang dinyatakan dalam beberapa hadith. Di antaranya riwayat daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُومَ آخِرَهُ فَلْيُوتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُودَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ

Maksudnya: “Sesiapa yang takut tidak terbangun pada saat akhir malam, dia hendaklah mendirikan solat witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam dia hendaklah mendirikan solat witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam disaksikan — yakni dihadiri oleh malaikat — dan itulah yang paling baik (afdhal).[1]

Tambahan pula, Nabi SAW pernah mewasiatkan kepada Abu Hurairah R.A untuk melazimi solat sunat witir ini sebelum tidur. Ini dinyatakan sendiri oleh Abu Hurairah R.A:

أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: “Kekasihku SAW mewasiatkan tiga perkara kepadaku, iaitu supaya berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mendirikan dua rakaat solat Dhuha, dan solat sunat witir sebelum aku tidur.[2]

Solat Witir boleh dilakukan selepas Isyak sehingga menjelang fajar (subuh) dan ia juga sebagai penutup segala solat. Berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

اجْعَلُوْا آخِرَ صَلَاتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا

Maksudnya: “Akhirilah solat malammu itu dengan Solat Witir”.[3]

Solat Sunat Selepas Solat Witir

Dalam isu ini terdapat dua pendapat, iaitu:

Pertama: Dibolehkan untuk melakukan solat sunat yang lainnya meskipun telah melakukannya bersama imam ketika solat tarawih sebelumnya dan tidak perlu untuk mengulangi solat witir tersebut.

Ini adalah mazhab kebanyakan para ulama dari kalangan Hanafiah, Malikiyyah, Hanabilah dan pendapat yang masyhur di sisi Syafi`eyyah. Ini juga adalah pendapat al-Nakha`ie, al-Auza`ie, `Alqamah dan ianya diriwayatkan juga daripada Abu Bakar, Sa’ad, ‘Ammar, Ibn `Abbas dan `Aisyah R.Anhum. Hal ini berdasarkan hadith Ummu Salamah R.Anha, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَرْكَعُ رَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْوِتْرِ، وَهُوَ جَالِسٌ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW ruku` dua rakaat selepas witir dan Baginda dalam keadaan duduk”.[4]

Ini juga adalah pendapat al-Imam Ibn Hazm yang mana beliau menyebutkan bahawa bagi mereka yang telah melakukan witir diawalnya dan solat sunat selepas witir itu dibolehkan dan tidak perlu untuk mengulangi witir.[5] Pendapat ini juga sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Tirmizi dan menyandarkannya kepada Sufyan al-Thauri, Ibn al-Mubarak dan ini juga adalah pendapat yang paling asah (sahih) menurut beliau.[6]

  • Kedua: Tidak boleh melakukan solat sunat setelah melakukan solat sunat witir kecuali telah dibatalkan witirnya, dia solat (sunat) dan kemudian berwitir.

Membatalkan witir di sini membawa makna dengan memulakan solat sunat satu rakaat, menjadikan witir yang dilakukan sebelum ini genap bilangan rakaatnya. Kemudian lakukanlah solat sunat yang lain dan kemudian diakhiri dengan witir sekali lagi.

Ini adalah pendapat sebahagian Syafi`eyyah dan ini juga diriwayatkan daripada `Uthman, `Ali, Usamah, Ibn `Umar, Ibn Mas`ud dan Ibn `Abbas R.Anhum. Hujah yang digunakan adalah berdasarkan hadith Nabi SAW:

اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا

Maksudnya: Jadikan akhir solat (sunat) kalian pada waktu malam dengan melakukan solat sunat witir.[7]

Syeikh Ibn Jibrin pernah ditanya berkenaan hal ini, beliau menjawab: Seandainya seseorang witir bersama imam, dan menyelesaikan solat bersama imam. Dia tidak perlu lagi melakukan witir di akhir malam. Seandainya dia terjaga di akhir malam, solatlah sebagaimana yang ditulis oleh Allah untuknya, sebanyak dua rakaat, dua rakaat, dan tidak perlu mengulangi witir. Sesungguhnya tidak ada dua witir di dalam satu malam. Sebahagian ulama’ berpendapat lebih baik menjadikan witir bersama imam menjadi dua rakaat (iaitu dengan menambah satu rakaat lagi), iaitu dengan bangun selepas imam memberi salam, dan melakukan satu rakaat lagi, kemudian memberi salam. Kemudian dia melakukan witir di akhir tahajjudnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: Apabila kamu takut datangnya waktu Subuh, maka solatlah satu rakaat untuk sebagai witir bagi solat kamu.” Begitu juga dengan hadith: “Jadikan witir akhir solat kalian di waktu malam”. [8]

Manakala, al-Lajnah al-Daimah mencadangkan supaya dilakukan cara yang kedua, iaitu menambah rakaat ketika solat witir bersama Imam menjadikannya dua rakaat serta mengakhirkan witir pada akhir malam.[9]

Kesimpulan

Sebagai Kesimpulan, cukup untuk kami mengatakan bahawa cukup hanya sekali melakukan witir pada satu malam, berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Talq bin Ali RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا وِتْرَانَ فِيْ لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Tidak ada dua witir dalam satu malam”.[10]

Berdasarkan hujah dan dalil-dalil di atas, terdapat dua cara yang boleh dilakukan:

  • Pertama: Solat witir bersama imam, kemudian apabila bangun Qiamullail, lakukan solat sunat tanpa solat witir. Ini berdasarkan dalil larangan dua witir dan dalil bolehnya solat sunat selepas witir di atas. Dalam masa yang sama dia akan mendapat pahala solat bersama imam hingga selesai.
  • Kedua: Tidak witir bersama imam. Makmum ini akan ikut imam hingga selesai. Apabila imam bangun mendirikan witir, makmum tadi niat untuk solat sunat dua rakaat. Apabila imam memberi salam, makmum tidak memberi salam sebaliknya bangun menambah satu lagi rakaat. Apabila bangun Qiamullail, makmum tadi menjadikan solat terakhirnya adalah witir. Dengan itu, makmum tadi akan dapat memenuhi arahan Nabi SAW untuk mengakhirkan solat witir, dan mendapat juga ganjaran pahala solat bersama imam hingga selesai.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 6 April 2022 bersamaan 4 Ramadhan 1443H

 

[1] Riwayat Muslim (755)

[2] Riwayat al-Bukhari (1981)

[3] Riwayat al-Bukhari (998) dan Muslim (751)

[4] Riwayat al-Imam Ahmad di dalam Musnadnya (26553) dan al-Tirmizi (471).

[5] Lihat al-Muhalla, 2/91

[6] Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/330

[7] Riwayat al-Bukhari (998) dan Muslim (751)

[8] Lihat Fatawa Ramadhan, hlm 826

[9] Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 7/207

[10] Riwayat Abu Daud (1439), al-Tirmizi, (479), dan al-Nasa’ie, (1661)

One thought on “#894 Solat Sunat Selepas Solat Witir

  1. Nurul Zulkifli says:

    Assalamualaikum ustaz,

    mohon berkenaan solat witir.. sy di fahamkan apabila kita buat solat witir..kita kena buat solat pembuka..iaitu solat wudhuk.. baru buat solat sunat waktu subuh..dan solat sunat yg lain dan tutup dgn solat witir..
    Betul ke?
    Mohon sgt pencerahan.. sbb sy dah tak buat witir sbb sy x buat solat sunat wudhuk.. 😭

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *