#90 Melaungkan Iqamat Sambil Berjalan

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah boleh melaungkan iqamat sambil berjalan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan. 

Iqamat merupakan sunat muakkad sama seperti azan pada solat Jumaat dan solat lima waktu (solat fardhu). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 229). Antara dalil disunatkan melaungkan iqamat sebelum mendirikan solat adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أُمِرَ بِلاَلٌ أَنْ يَشْفَعَ الأَذَانَ، وَأَنْ يُوتِرَ الإِقَامَةَ

Maksudnya: “Bilal diperintah (oleh Nabi SAW) agar mensyafa’kan (mengulang dua kali) pada azan dan mewitirkan (membaca sekali sahaja) pada iqomah.”

Riwayat al-Bukhari (607) dan Muslim (378)

Iqamat merupakan hak imam di mana muazzin tidak boleh melakukan iqamat sebelum izin imam. Imam al-Nawawi menyebut: “Ulama yang semazhab dengan kami berkata, ‘Waktu azan diserahkan kepada pandangan muazzin. Dia tidak perlu bertanya dahulu kepada imam. Adapun waktu iqamat diserahkan kepada imam, sehingga muazzin tidak boleh mengumandangkan iqamat melainkan dengan isyarat/perintah daripada imam.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/128).

Dalam persoalan di atas, secara asalnya sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab Mazhab al-Syafie adalah disunatkan bagi orang yang melaungkan azan dan mendirikan solat (iqamah) agar mereka mengadap ke arah kiblat serta berdiri tegak. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 3/107).

Selain itu, para fuqaha’ (ahli feqah) bersepakat bahawa sunat bagi orang yang mendirikan solat (iqamah) agar berdiri tegak dan makruh iqamah secara duduk dengan tanpa keuzuran. Namun, jika ada keuzuran, maka ia tidak mengapa. Hal ini juga, sama keadaannya makruh mengiqamahkan solat dalam keadaan berjalan, menunggang dan selain daripadanya dengan tanpa keuzuran. Ini kerana, para fuqaha’ mengatakan ia makruh berdasarkan satu athar daripada Bilal RA bahawa beliau azan dalam keadaan menunggang, kemudian beliau turun lalu mengiqamahkan solat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 6/11).

Justeru itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa iqamah dalam keadaan berjalan adalah makruh jika seseorang itu melakukannya tanpa keuzuran kerana ia menyelisihi sunnah. Tambahan pula, anak kepada Imam Ahmad pernah bertanya kepada ayahnya (Imam Ahmad) berkaitan seorang lelaki melakukan iqamah dalam keadaan berjalan. Lalu Imam Ahmad mengatakan bahawa beliau lebih suka lelaki tersebut melakukan iqamah pada tempatnya. (Lihat Masa’il Imam Ahmad, 1/185).

Semoga Allah memberi kefahaman agama kepada kita. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 12/11/21 bersamaan 7 Rabiul Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *