#903 Bacaan Zikir Selepas Solat Witir

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah terdapat zikir yang sabit boleh dibaca dan diamalkan selepas solat witir terutamanya dalam bulan Ramadhan ini? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Zikir ialah satu istilah yang suci daripada Ilahi. Hal ini adalah seperti yang didefinisikan oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya.[1]

Secara khususnya pula, zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Quran, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT.[2] Selain daripada itu, Ibn ‘Allan pula menyimpulkannya sebagai apa yang kita ibadahkan berdasarkan lafaz-lafaz yang ditentukan oleh pembuat syariat (Allah SWT) bertujuan bagi mengagungkan Allah SWT dan memuji-muji-Nya.[3]

Ini bermakna, zikir pada asasnya adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam agama. Bahkan ayat-ayat al-Quran banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada Allah SWT. Ada antara perintah tersebut berbentuk wajib seperti berzikir mengingati Allah SWT melalui solat lima waktu sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya:Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.”[4]

Manakala ayat-ayat yang menyebut tentang perintah berzikir tanpa menyebut bentuk ibadah tertentu adalah tersangat banyak. Cukup dinyatakan di sini ayat 41 dalam surah al-Ahzab yang memerintahkan kita supaya memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT secara umum. Allah SWT berfirman dalam ayat tersebut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”[5]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut Imam al-Nawawi, selepas seseorang itu selesai menunaikan solat witir, dia digalakkan (sunat) untuk membaca sebanyak tiga kali zikir:

سُبْحَانَ الـمَلِكِ القُدُّوسِ

Maksudnya:Maha Suci (Allah) Yang Maha Menguasai Lagi Maha Suci.”

Kemudian mengucapkan atau berdoa:

اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ لَا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ

Maksudnya:Ya Allah, dengan keredhaan-Mu, aku mohon perlindungan daripada kemurkaan-Mu. Dengan keampunan-Mu, aku mohon perlindungan daripada hukuman-Mu. Dan dengan hikmah-Mu, aku mohon perlindungan daripada takdir yang buruk. Tidak terhitung pujian untuk-Mu. Engkau sebagaimana pujian yang Engkau pujikan kepada Diri-Mu.

Kemudian, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa kedua-dua zikir ini adalah berdasarkan kepada dua hadith yang sahih, yang terdapat dalam sunan Abi Daud dan selainnya,[6] seperti mana riwayat daripada Ubai bin Ka‘ab,  beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْوِتْرِ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى، وَفِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ بِقُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ، وَفِي الثَّالِثَةِ بِقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَلَا يُسَلِّمُ إِلَّا فِي آخِرِهِنَّ، وَيَقُولُ – يَعْنِي بَعْدَ التَّسْلِيمِ -: «سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ»، ثَلَاثًا

Maksudnya:Rasulullah SAW membaca dalam witirnya (pada rakaat pertama) dengan surah ‘سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى’, pada rakaat kedua dengan surah ‘قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ،’, dan pada rakaat ketiga dengan surah ‘قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ’. Baginda tidak memberi salam melainkan pada rakaat yang terakhir dan mengucapkan — yakni selepas memberi salam —: ‘سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ’ sebanyak tiga kali.”[7]

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولُ اللهِ – صلى اللهُ عليه وسلَّم – يَقُولُ فِي آخِرِ وِتْرِهِ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ وَأَعُوذُ بِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ , وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ , لَا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ

Maksudnya:Rasulullah SAW berdoa pada akhir witir Baginda: ‘Ya Allah, dengan keredhaan-Mu, aku mohon perlindungan daripada kemurkaan-Mu. Dengan keampunan-Mu, aku mohon perlindungan daripada hukuman-Mu. Dan dengan hikmah-Mu, aku mohon perlindungan daripada takdir yang buruk. Tidak terhitung pujian untuk-Mu. Engkau sebagaimana pujian yang Engkau pujikan kepada Diri-Mu.’”[8]

Kesimpulannya

Oleh itu, jelaslah bahawa sememangnya terdapat hadith yang menyebutkan mengenai zikir secara khusus yang boleh dibaca selepas solat witir iaitu kita digalakkan dan disunatkan selepas selesai solat witir untuk membaca sebanyak tiga kali zikir, “سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ”, kemudian mengucapkan atau berdoa selepasnya dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ وَأَعُوذُ بِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ , وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ , لَا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 6 April 2022 bersamaan 4 Ramadhan 1443H

 

[1] Lihat al-Riyadh al-Nadhirah, hlm. 245.

[2] Lihat al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20.

[3] Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah Syarh al-Azkar al-Nawawiyyah, 1/396.

[4] Surah Taha: 14

[5] Surah al-Ahzab: 41-42

[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/16; Lihat juga Tuhfah al-Muhtaj, 2/227.

[7] Riwayat al-Nasa’i (1701)

[8] Riwayat Abu Dawud (1427); al-Tirmizi (3566); al-Nasa’i (1747); Ibn Majah (1179) dan Ahmad (1295). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (1259) menyatakan hadith ini sanadnya adalah kuat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *