Soalan

Assalamualaikum. Adakah disunnahkan imam menyebut assolatul jami’ah kepada makmum antara selepas iqamah dan sebelum solat fardhu didirikan?. Hal ini mengelirukan saya kerana setahu saya, solat fardhu ini didirikan hanya dengan panggilan azan dan iqamah. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pertama sekali, Azan disyariatkan untuk memanggil orang-orang Islam untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah di Masjid. Pensyariatan azan ini berlaku pada tahun pertama hijrah.[1] Manakala asal usul lafaz azan ini disyariatkan apabila terdapat dua orang sahabat pada zaman Nabi SAW yang telah bermimpi yang perkara yang sama mengenai lafaz azan ini, iaitu Abdullah bin Zaid R.A dan Umar bin al-Khattab R.A. Hal ini sepertimana yang diriwayatkan dalam satu hadis yang panjang, daripada Abdullah bin Zaid R.A katanya:

لَمَّا أَمَرَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِالنَّاقُوسِ يُعْمَلُ لِيُضْرَبَ بِهِ لِلنَّاسِ لِجَمْعِ الصَّلاَةِ طَافَ بِي وَأَنَا نَائِمٌ رَجُلٌ يَحْمِلُ نَاقُوسًا فِي يَدِهِ ، فَقُلْتُ : يَا عَبْدَ اللهِ أَتَبِيعُ النَّاقُوسَ ؟ قَالَ : وَمَا تَصْنَعُ بِهِ ؟ فَقُلْتُ : نَدْعُو بِهِ إِلَى الصَّلاَةِ ، قَالَ : أَفَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى مَا هُوَ خَيْرٌ مِنْ ذَلِكَ ؟ فَقُلْتُ لَهُ: بَلَى ، قَالَ : فَقَالَ : تَقُولُ : اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ…رُ

قَالَ : ثُمَّ اسْتَأْخَرَ عَنِّي غَيْرَ بَعِيدٍ ، ثُمَّ ، قَالَ : وَتَقُولُ : إِذَا أَقَمْتَ الصَّلاَةَ ، اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ…رُ

Maksudnya:Ketika Nabi SAW meminta loceng supaya orang boleh memukulnya bagi menghimpunkan (orang ramai) untuk solat, tiba-tiba saya teringat ketika sedang tidur, seorang lelaki mengelilingi saya (dalam mimpi) dengan memegang loceng di tangannya. Lalu saya berkata: “Wahai hamba Allah, adakah kamu mahu menjual loceng tersebut? Katanya: “Apakah kamu hendak lakukan?” Saya menjawab: “Untuk menyeru orang ramai supaya menunaikan solat.” Dia berkata kembali: “Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan cara yang lebih baik?” Saya jawab: “Sudah tentu.” Katanya: “Sebutkanlah ‘: اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ’……. (sehingga akhir azan).

Tidak lama selepas itu, dia berkata lagi: “Ketika kamu berdiri untuk mengerjakan solat, sebutkan ‘، اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ’ …. (hingga akhir iqamat).

Setelah terjaga, saya segera menemui Rasulullah SAW dan menceritakan mimpi ini. Lalu Baginda SAW bersabda:

إِنَّهَا لَرُؤْيَا حَقٌّ إِنْ شَاءَ اللَّهُ ، فَقُمْ مَعَ بِلاَلٍ فَأَلْقِ عَلَيْهِ مَا رَأَيْتَ ، فَلْيُؤَذِّنْ بِهِ ، فَإِنَّهُ أَنْدَى صَوْتًا مِنْكَ فَقُمْتُ مَعَ بِلاَلٍ ، فَجَعَلْتُ أُلْقِيهِ عَلَيْهِ ، وَيُؤَذِّنُ بِهِ ، قَالَ : فَسَمِعَ ذَلِكَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ ، وَهُوَ فِي بَيْتِهِ فَخَرَجَ يَجُرُّ رِدَاءَهُ ، وَيَقُولُ : وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ يَا رَسُولَ اللهِ ، لَقَدْ رَأَيْتُ مِثْلَ مَا رَأَى ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : فَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Maksudnya: Dengan izin Allah, ia adalah mimpi yang benar. Berdirilah bersama bilal dan sampaikan kepadanya apa yang kamu lihat supaya dia boleh melaungkan azan kerana suaranya lebih baik daripada kamu. Lalu saya bangun bersama Bilal dan menyampaikan kepadanya. Lantas dia pun melaungkan azan. Umar al-Khattab yang berada di rumahnya mendengar laungan azan tersebut, lalu keluar sambil menarik jubahnya. Katanya: “Demi Tuhan yang mengutus engkau dengan kebenaran wahai Rasulullah, saya juga melihat seperti apa yang dilihatnya (Abdullah). Baginda menjawab: “Segala puji bagi Allah.”[2]

Kedua, lafaz al-Solah al-Jami’ah (الصَّلَاةُ الْجَامِعَة), adalah panggilan untuk solat sunat yang disunnahkan untuk berjemaah. Hal ini berdasarkan peristiwa gerhana yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru R.Anhuma:

لَمَّا كَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نُودِيَ إِنَّ الصَّلاَةَ جَامِعَةٌ

Maksudnya: Ketika berlakunya gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW pengumuman telah dibuat untuk menunaikan solat jama’ah.[3]

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أنَّ الشَّمْسَ خَسَفَتْ على عَهْدِ رَسولِ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، فَبَعَثَ مُنادِيًا: الصَّلاةُ جامِعَةٌ

Maksudnya: Ketika gerhana matahari berlaku pada zaman Rasulullah SAW, Seseorang memanggil solat: al-Solah al-Jami’ah (الصَّلَاةُ الْجَامِعَة).[4]

Berdasarkan hadith ini, Tidak disunatkan untuk azan bagi memanggil orang ramai untuk menunaikan solat sunat gerhana. Cukup hanya dengan melaungkan: al-Solah al-Jami’ah (الصَّلَاةُ الْجَامِعَة).

Berdasarkan persoalan di atas, tidak disunnahkan imam menyebut assolatul jami’ah antara selepas iqamah dan sebelum solat fardhu didirikan. Hal ini kerana solat fardhu sudah ditetapkan panggilannya dengan azan dan iqamah, manakala panggilan assolatul jami’ah hanya dilakukan untuk solat sunat gerhana sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Tetapi yang sunat bagi imam ialah untuk menyuruh makmum membetulkan saf dan merapatkannya. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ؛ فإنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِن تَمامِ الصَّلاةِ.

Maksudnya: Luruskan Saff kamu semua, sesungguhnya saff yang lurus merupakan kesempurnaan Solat.[5]

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Anas RA juga, katanya:

أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ فَأقْبَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – بِوَجْهِهِ ، فَقَالَ : أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ وَتَرَاصُّوا ؛ فَإنِّي أرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي

Maksudnya: Iqamah solat telah dilaungkan, lantas Rasulullah SAW menghadap kami kemudian mengarahkan kami: ‘Luruskanlah saff-saff kamu, kerana aku dapat melihat kamu dari belakangku.[6]

Wallahua`lam.

Bertarikh 12 November 2021 M bersamaan  7 Rabiul Akhir 1443 H

 

 

[1] Lihat Fiqh al-Manhaji, 1/338

[2] Riwayat Abu Dawud (449)

[3] Riwayat al-Bukhari (1045)

[4] Riwayat Muslim (901)

[5] Riwayat al-Bukhari (723) dan Muslim (433)

[6] Riwayat al-Bukhari (719) dan Muslim (434)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *