Soalan

Apakah hukum penghutang tidak mampu membayar hutang yang dipinjam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Hutang adalah hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. [1]

Kami ingin tegaskan bahawa hukum melangsaikan hutang adalah wajib ke atas setiap penghutang. Bahkan Allah akan memudahkannya dengan memberi jalan untuk membayar hutang sekiranya dia berniat untuk membayar balik ketika berhutang. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan tujuan untuk membayarnya (mengembalikannya), maka Allah akan tunaikan untuknya. Dan sesiapa yang mengambilnya untuk tujuan tidak melunasinya, maka Allah akan membinasakannya.” [2]

Berdasarkan soalan di atas, hukum melambatkan atau menangguhkan pembayaran hutang bagi mereka yang berkemampuan adalah haram. Perkara ini adalah seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ وَإِذَا أُتْبِعَ أَحَدُكُمْ عَلَى مَلِيءٍ فَلْيَتْبَعْ

Maksudnya: “Menangguh pembayaran (hutang) bagi orang yang mampu adalah kezaliman, jika salah seorang dari kamu memindahkan hutang itu pada orang yang kaya, maka terimalah ia (pemindahan hutang).”[3]

Bagi mereka yang tidak mampu pula, adalah sebaiknya bagi pemiutang menangguhkan serta melambatkan proses melangsaikan hutang tersebut. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”[4]

Imam al-Maraghi menjelaskan ayat ini: “Sekiranya penghutang sedang mengalami kesulitan, hendaklah pemiutang menunggu atau memberi tempoh sampai ada kelapangan sehingga memungkinkan dia melunaskan hutang. Namun begitu, bersedekah kepada orang yang berhutang yang sedang menanggung kesulitan dengan membebaskan sebahagian atau seluruh hutangnya adalah lebih baik bagi pemiutang dan lebih besar pahalanya di sisi Allah SWT daripada menunda masa pembayaran mereka.”[5]

Di sini kami bawakan hadis berkenaan dengan doa agar dimudahkan melangsaikan hutang, antaranya:

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah masuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!” Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya:Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”[6]

Kami tegaskan bahawa hutang adalah wajib untuk dilangsaikan bagi setiap penghutang. Namun begitu, sekiranya penghutang tidak mampu untuk membayar hutang disebabkan menanggung kesulitan dan sebagainya, pemberi hutang disarankan untuk melambatkan tempoh untuk hutang tersebut dibayar ataupun lebih baik sekiranya dia menghalalkan sahaja hutang tersebut jika dia mampu dan tidak membebankannya. Semoga dengan penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam memahami syariat Islam dengan lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 12 November 2021 M bersamaan  7 Rabiul Akhir 1443 H

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, (6/82), Mughni al-Muhtaj, (2/117) dan al-Taqrirat al-Sadidah, Qism al-Buyu’, (hlm. 45)

[2] Riwayat al-Bukhari (2387)

[3] Riwayat al-Bukhari (2287) dan Muslim (1564)

[4] Surah al-Baqarah: 280

[5]  Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/649

[6] Riwayat Abu Dawud (1555)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *