#942 Berita Israiliyyat

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah itu Israiliyyat?  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Israiliyyat ialah kata jamak bagi perkataan Israiliyyah yang dinisbahkan bagi Bani Israil. Israil ialah Yaaqub A.S yang bermaksud hamba Allah SWT. Bani Israil ialah anak-anak Nabi Yaaqub A.S dan keturunan seterusnya yang lahir daripada mereka sehingga ke zaman Nabi Musa A.S dan para nabi seterusnya sehingga zaman Nabi Isa A.S dan zaman Nabi Muhammad SAW. Mereka telah dikenali sebagai orang Yahudi sejak dari zaman dahulu lagi. Mereka yang beriman kepada Nabi Isa A.S telah diberikan nama sebagai orang Nasrani. Manakala mereka yang beriman kepada penyudah segala nabi pula telah termasuk ke dalam lingkungan orang Islam dan dikenali sebagai ahli-ahli Kitab yang beriman.

Allah SWT banyak mengistilahkan mereka sebagai Bani Israil dalam al-Quran kerana hendak memperingatkan mereka kepada bapa mereka iaitu nabi yang soleh supaya mereka menjadikannya sebagai ikutan dan berakhlak dengan akhlaknya. Ia juga bertujuan supaya mereka meninggalkan keingkaran terhadap nikmat Allah SWT yang diberikan kepada mereka dan kepada bapa-bapa mereka serta menghindarkan diri daripada sifat kufur, keji dan khianat yang ada pada mereka. Begitu juga Allah SWT menyebutkan mereka sebagai orang Yahudi dalam lebih daripada satu ayat. Kitab orang Yahudi yang termasyhur ialah kitab Taurat. Selain itu, di antara kitab mereka juga ialah kitab Zabur iaitu kitab Nabi Daud A.S dan lembaran-lembaran para nabi yang datang selepas Nabi Musa A.S. Taurat dan seluruh lembaran serta lain-lainnya dinamakan sebagai Perjanjian Lama.

Di samping kitab Taurat yang berbentuk tulisan, orang Yahudi mempunyai Talmud iaitu Taurat yang berbentuk lisan. Talmud ialah kumpulan kaedah, pesanan dan syariat agama dan akhlak, syarah-syarah, tafsiran-tafsiran dan ajaran-ajaran yang riwayatnya dipindahkan dan dipelajari menerusi lisan dari satu ketika ke satu ketika yang lain. Ruang lingkup mempelajarinya menjadi semakin luas hingga ke satu tahap yang sangat besar sehingga susah untuk dihafal dalam ingatan. Oleh kerana pengajian dan pembelajaran terhadap kitab ini memakan masa yang panjang, untuk memelihara pelbagai pendapat dan nas-nas yang mempunyai susunan yang bermacam-macam serta kerana takut lupa dan keluputannya lantaran masa yang berlalu terutama ketika masa kesempitan dan kekacauan maka mereka yang bertugas sebagai penulis telah menulis sebagai satu cara pemeliharaan terhadap Taurat.

Antara penghuraian Taurat, kandungan-kandungan lembaran, syarah Talmud, dongengan-dongengan, khurafat-khurafat dan cerita-cerita batil yang mereka ada-adakan atau yang mereka pindahkan daripada orang lain, ada yang menjadi budaya dan pengetahuan orang-orang Yahudi. Semua ini merupakan punca-punca asli bagai Israiliyyat yang banyak terdapat dalam sesetengah kitab-kitab tafsir, buku sejarah, kisah-kisah dan peringatan-peringatan. Sesetengah pengkaji meluaskan lagi ruang lingkup yang terkandung dalam buku-buku pengetahuan orang Yahudi dan Nasrani yang berkisar sekitar penghuraian kitab-kitab Injil, sirah perjalanan rasul dan sebagainya. Hanya ia dinamakan sebagai Israiliyyat kerana kebanyakannya adalah datang daripada ilmu pengetahuan Bani Israil, daripada kitab-kitab mereka atau daripada cerita dongengan dan batil yang mereka ada-adakan.[1]

Justeru, secara umumnya Israiliyyat ialah berita-berita atau perkhabaran yang dinukilkan daripada Bani Israil dalam kalangan Yahudi dan ia adalah banyak, atau dalam kalangan Nasrani. Seterusnya, Israiliyyat ini juga terbahagi kepada tiga jenis:

Pertama, Israiliyyat yang diakui dan dibenarkan oleh Islam, maka ia adalah suatu kebenaran. Misalnya, apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

جَاءَ حَبْرٌ مِنَ الأَحْبَارِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ إِنَّا نَجِدُ: أَنَّ اللَّهَ يَجْعَلُ السَّمَوَاتِ عَلَى إِصْبَعٍ وَالأَرَضِينَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَالشَّجَرَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَالمَاءَ وَالثَّرَى عَلَى إِصْبَعٍ، وَسَائِرَ الخَلاَئِقِ عَلَى إِصْبَعٍ، فَيَقُولُ أَنَا الـمَلِكُ، فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ تَصْدِيقًا لِقَوْلِ الحَبْرِ، ثُمَّ قَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ، وَالأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ القِيَامَةِ، وَالسَّمَوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ، سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksudnya: “Salah seorang pendeta Yahudi datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya kami mendapati bahawa Allah menjadikan langit di atas satu jari, bumi di atas satu jari, pohon-pohon di atas satu jari, air dan pasir di atas satu jari, dan semua manusia berada di atas satu jari, lalu Dia berkata: Aku adalah Raja.’ Maka Nabi SAW tertawa hingga tampak gigi gerahamnya membenarkan perkataan pendeta itu. Kemudian Rasulullah SAW membaca: ‘(Firman Allah SWT yang bermaksud): Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepada-Nya, sedang bumi seluruhnya — pada hari kiamat — dalam genggaman kuasa-Nya, dan langit tergulung dengan kekuasaan-Nya. Maha Sucilah Dia dan Tertinggi keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan. [Surah al-Zumar: 67].’[2]

Keduanya, Israiliyyat yang diingkari dan didustakan oleh Islam, maka ia adalah suatu kebatilan. Contohnya, apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Jabir R.A, beliau berkata:

كَانَتِ اليَهُودُ تَقُولُ إِذَا جَامَعَهَا مِنْ وَرَائِهَا جَاءَ الوَلَدُ أَحْوَلَ، فَنَزَلَتْ: نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi pernah berkata: ‘Jika seseorang menggauli isterinya dari belakangnya, maka anaknya akan dilahirkan juling.’ Maka turunlah ayat: {نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ} (Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.”) [Surah al-Baqarah: 223].”[3]

Ketiganya, Israiliyyat yang tidak diakui, mahupun diingkari oleh Islam, maka wajib bertawaqquf — yakni tidak membenarkan berita tersebut mahupun mengingkarinya. Hal ini adalah berdasarkan kepada apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

كَانَ أَهْلُ الكِتَابِ يَقْرَءُونَ التَّوْرَاةَ بِالعِبْرَانِيَّةِ، وَيُفَسِّرُونَهَا بِالعَرَبِيَّةِ لِأَهْلِ الإِسْلَامِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الكِتَابِ وَلا تُكَذِّبُوهُمْ، وَقُولُوا: آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا

Maksudnya: “Para Ahli Kitab membaca Kitab Taurat dengan bahasa ‘Ibrani, dan mereka menafsirnya menggunakan bahasa Arab bagi orang-orang Islam, lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah kamu membenarkan para ahli kitab dan janganlah pula kamu mendustakan mereka,’ dan katakanlah (wahai orang yang beriman akan firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Kami beriman kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami — yakni al-Quran. [Surah al-Baqarah: 136].’[4]

Walau bagaimanapun, menyampaikan atau membicarakan berkenaan perkara daripada jenis ini adalah dibolehkan, selagi mana tidak dibimbangi terjerumus dalam perkara haram, berdasarkan kepada riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat. Ceritakanlah tentang bani Israil dan tidak menjadi satu kesalahan padanya. Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka.”[5]

Lebih-lebih lagi, kebiasaannya apa yang yang diriwayatkan daripada mereka berkenaan perkara tersebut — yakni daripada berita-berita Israiliyyat — langsung tidak memberi apa-apa manfaat mahupun faedah kepada agama seperti penentuan warna anjing ashab al-Kahfi dan seumpamanya.[6]

Kesimpulannya

Oleh itu, jelaslah bahawa Israiliyyat ialah berita-berita atau perkhabaran yang dinukilkan daripada Bani Israil dalam kalangan Yahudi dan Nasrani. Kemudian, cara berinteraksi dengannya pula hendaklah dilihat dari sudut statusnya, sama ada ia diakui oleh Islam maka ia dikira sebagai suatu kebenaran, atau ia diingkari oleh Islam maka ia adalah suatu kebatilan, atau ia tidak dibenarkan mahupun diingkari maka dalam situasi ini, kita hendaklah bertawaqquf dan boleh menyampaikannya selama mana tidak bimbang terjerumus ke dalam perkara yang haram atau dilarang.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 April 2022 bersamaan 11 Ramadhan 1443H

[1] Lihat Isra’iliyyat dan Hadith Palsu dalam Kitab-kitab Tafsir, (Terbitan JAKIM), hlm. 1-4.

[2] Riwayat al-Bukhari (4811)

[3] Riwayat al-Bukhari (4528)

[4] Riwayat al-Bukhari (4485)

[5] Riwayat al-Bukhari (3461)

[6] Lihat Usul fi al-Tafsir, hlm. 67-69.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *