# 944 Berbekam Ketika Puasa

Soalan

Apakah dibolehkan berbekam ketika puasa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]

Imam al-Nawawi pula berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas.[3]

Berbekam Ketika Puasa

Berbekam ataupun dalam bahasa arabnya al-Hijamah (الْحِجَامَةُ) diambil daripada kata perbuatan Hajam (حَجَمَ) yang bermaksud bermaksud menyedut, dan bekam bermaksud menyedut darah dan mengeluarkannya daripada badan.[4]

Rasulullah SAW pernah berbekam dan Baginda bersabda:

خَيْرُ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الْحِجَامَةُ

Maksudnya:Sebaik-baik pengubatan yang kalian gunakan adalah bekam.”[5]

Rasulullah SAW pernah berbekam dan ia dilakukan oleh Abu Taibah. Kemudian Rasulullah SAW memberinya 2 gantang makanan.

Berkenaan berbekam ketika puasa sama ada ia membatalkan puasa ataupun tidak, para ulama’ berbeza pendapat:

Pertama: Membatalkan Puasa

Ulama’ terdahulu yang mengatakan terbatalnya puasa dengan berbekam adalah seperti Imam Ahmad, Ibn Sirin, Ato’, al-Auza’ie, Ishak, Ibn al-Munzir, Ibn Khuzaimah dan ini juga adalah pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Manakala daripada kalangan sahabat pula adalah seperti Saidina Ali RA, Abu Hurairah RA dan ‘Aisyah R.Anha.[6]

Ulama’ dari kalangan salaf dan khalaf yang mengatakan terbatalnya puasa dengan sebab berbekam menggunakan dalil dari sebuah hadith riwayat

أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ

Maksudnya: “Terbatal (puasa) orang yang membekam dan yang di bekam”.[7]

Antara ilmuan dalam dalam kalangan ulama’ kontemporari pula yang menyatakan batalnya puasa bagi orang yang berbekam ialah Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, Syeikh Soleh al-Munajjid dan juga Syeikh Soleh Fauzan. 

Kedua: Tidak Membatalkan Puasa

Ini merupakan pendapat jumhur ulama’[8] iaitu pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik,  Imam al-Syafi’ie dan selainnya. Manakala daripada kalangan sahabat yang berpendapat bahawa tidak terbatalnya puasa adalah Ibn Mas’ud, Ibn Umar, Ibn Abbas, Anas bin Malik, Abu Sa’id al-Khudri R.Anhum dan sekumpulan daripada kalangan salaf yang lain.[9]

Hujah yang digunakan mereka bagi mengatakan berbekam tidak membatalkan puasa adalah sebagaiamana riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang mana mengatakan:

احْتَجَمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ صَائِمٌ‏

Maksudnya: Rasulullah SAW telah berbekam dan Baginda sedang berpuasa.[10]

 Zahir perbahasan melihat bahawa terdapat dua hadith sahih yang saling bercanggah. Sebuah hadith mengatakan batalnya puasa kerana berbekam dan sebuah hadith lagi sebaliknya. Bagi mereka yang berpendapat bahawa tidak terbatalnya puasa dengan berbekam, mereka mengatakan bahawa hadith (( أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ )) telah dimansukhkanIa dimansukhkan dengan hadith Abi Sa’id al-Khudri RA:

“أَرْخَص النّبيّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الحِجَامَةِ لِلصَّائِمِ

Maksudnya: Nabi SAW memberikan rukhsah bagi orang yang berpuasa untuk berbekam.[11]

Ibn Hazm pula menyebutkan bahawa: “Sanad-sanad hadith ini sahih, dan wajib berpegang dengannya kerana datangnya rukhsah setelah adanya ‘azimah dan ianya menunjukkan kepada mansukhnya hukum terbatal puasa kerana berbekam bagi yang membekam dan yang di bekam”.

Ini juga adalah pendapat al-Imam al-Syafi’e, al-Baihaqi dan juga Ibn ‘Abd al-Bar yang mana mengatakan hadith (( أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ )) telah mansukh.[12]

Difahami juga melalui hadith (( أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ )) ini, sebahagiannya dengan takwilan yang mana tegahan berbekam ketika berpuasa itu adalah ditakuti melemahkan badan seterusnya menyebabkan seseorang itu berbuka puasa kerana banyaknya darah yang keluar. Ini seperti mana riwayat Anas bin Malik RA yang ditanyakan tentang berbekam:

أَكُنْتُمْ تَكْرَهُونَ الْحِجَامَةَ لِلصَّائِمِ قَالَ لاَ‏.‏ إِلاَّ مِنْ أَجْلِ الضَّعْفِ

Maksudnya: “Adakah kamu membenci berbekam bagi orang yang berpuasa?” Berkata Anas bin Malik RA: “Tidak, kecuali jika ia melemahkan (tubuh badan)”.[13]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur yang mana mengatakan bahawa berbekam itu tidak membatalkan puasa sebagaimana hujah yang dikemukakan. Ini juga adalah keputusan yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta Jordan[14] yang mana mengatakan ianya tidak membatalkan puasa kerana berbekam bukanlah dengan erti memasukkan sesuatu bahkan ianya mengeluarkan sesuatu. Ia zahir dari perkataan Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang menyebutkan:

إِنَّمَا الفطر مِمَّا دَخَلَ وَلَيْسَ مِمَّا خَرَجَ

Maksudnya: “Adalah yang membatalkan puasa itu sesuatu yang masuk ke dalam dan bukannya sesuatu yang keluar”[15]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 14 April 2022 bersamaan 12 Ramadhan 1443H

[1]  Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

[2] Lihat Fath al-Bari, 4/115

[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39

[4]  Lihat Lisan al-Arab, 3/67-68

[5] Riwayat Ahmad (12045)

 

[6] Lihat al-Insaf (3/302)al-Furu’ (3/48) & Majmu’ al-Fatawa (25/255).

[7] Riwayat Abu Dawud (2369), Al-Tirmizi (774) & Ibn Majah (1679)

[8] Lihat al-Fatawa al-Hindiyyah (1/199), Tabyiin al-Haqaiq (1/329), Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid (1/281) & al-Majmu’ (6/349).

[9] Lihat al-Mabsut (3/56), al-Qawanin al-Fiqhiyyah (hlm. 105), al-Majmu’ (6/349) & Fath al-Bari (4/209).

[10] Riwayat Al-Bukhari (1939), Abu Daud (2372) & Al-Tirmizi (776)

[11] Riwayat Al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra  (3224) dan Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya (1967)

[12] Lihat Fath al-Bari, 4/178

[13] Riwayat Al-Bukhari (1940)

[14] Lihat https://aliftaa.jo/ShowContent.aspx?Id=103#.YlaBeMjP3IU

[15] Riwayat al-Baihaqi (1937)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *