#948 Sebab Nuzul Ayat 187 Surah al-Baqarah

Soalan

Apakah sebab nuzul ayat 187 Surah al-Baqarah berkenaan dengan puasa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ ۖ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ ۚ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Maksudnya: Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”[1]

Sebab Nuzul Ayat

Diriwayatkan daripada al-Bara’ RA, katanya:

كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ الرَّجُلُ صَائِمًا، فَحَضَرَ الإِفْطَارُ، فَنَامَ قَبْلَ أَنْ يُفْطِرَ لَمْ يَأْكُلْ لَيْلَتَهُ وَلاَ يَوْمَهُ حَتَّى يُمْسِيَ. وَإِنَّ قَيْسَ بْنَ صِرْمَةَ الأَنْصَارِيَّ كَانَ صَائِمًا، فَلَمَّا حَضَرَ الإِفْطَارُ أَتَى امْرَأَتَهُ، فَقَالَ لَهَا: أَعِنْدَكِ طَعَامٌ؟ قَالَتْ: لاَ وَلَكِنْ أَنْطَلِقُ فَأَطْلُبُ لَكَ، وَكَانَ يَوْمَهُ يَعْمَلُ، فَغَلَبَتْهُ عَيْنَاهُ، فَجَاءَتْهُ امْرَأَتُهُ، فَلَمَّا رَأَتْهُ قَالَتْ: خَيْبَةً لَكَ، فَلَمَّا انْتَصَفَ النَّهَارُ غُشِيَ عَلَيْهِ، فَذُكِرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ: {أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ}[البقرة: 187] فَفَرِحُوا بِهَا فَرَحًا شَدِيدًا، وَنَزَلَتْ: {وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الخَيْطِ الأَسْوَدِ}[البقرة: 187]

Maksudnya: Para sahabat Muhammad SAW, apabila salah seorangnya berpuasa dan tiba waktu berbuka, lalu dia tidur sebelum berbuka puasa, maka dia tidak boleh makan pada malam itu dan juga hari esoknya sehingga waktu petang (ketika berbuka). Sesungguhnya Qais bin Sirmah al-Ansari berpuasa. Apabila tiba waktu berbuka, dia pergi menemui isterinya, lalu bertanya kepadanya: “Adakah engkau mempunyai makanan?” Isterinya menjawab: “Tidak, tetapi aku akan pergi mencarinya untukmu.” Dia telah bekerja seharian (pada hari itu). Oleh itu, matanya terlelap (tertidur). Setelah itu, isterinya datang dan apabila melihatnya tertidur, lalu dia berkata: “Rugilah engkau.” Ketika waktu tengah hari (keesokan harinya) dia telah jatuh pengsan. Kejadian itu diceritakan kepada Nabi SAW, lalu turunlah ayat ini: “أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُم ” (Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu.”)[Surah al-Baqarah: 187] Maka mereka pun berasa sangat gembira disebabkan oleh turunnya ayat itu, lalu turunlah ayat: “وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الخَيْطِ الأَسْوَد” (Maksudnya: “dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam).”) [Surah al-Baqarah: 187].[2]

Dalam riwayat lain, al-Bara’ berkata lagi:

لَمَّا نَزَلَ صَوْمُ رَمَضَانَ كَانُوا لاَ يَقْرَبُونَ النِّسَاءَ رَمَضَانَ كُلَّهُ، وَكَانَ رِجَالٌ يَخُونُونَ أَنْفُسَهُمْ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ:{عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ}

Maksudnya:Ketika turun (ayat tentang kewajipan) puasa Ramadhan, mereka tidak mendekati isteri-isteri mereka sepanjang bulan Ramadhan. Ada beberapa orang lelaki yang mengkhianati (tidak dapat menahan) diri mereka sendiri. Maka Allah menurunkan ayat: {عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ} (Maksudnya: “Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu”). [Surah al-Baqarah: 187][3]

Berdasarkan hadith ini, menunjukkan bahawa pada awal pensyariatan puasa, para sahabat dibenarkan untuk berbuka dengan makan dan minum sehingga sebelum mereka tidur, dan tidak dibenarkan untuk makan setelahnya sehingga terbenamnya matahari pada keesokan harinya. Justeru, Allah SWT menurunkan ayat ini dengan membenarkan untuk melakukan semua perbuatan yang membatalkan puasa bermula dari terbenam matahari sehingga terbitnya fajar.

Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan riwayat Ibn Jarir al-Tabari daripada al-Suddi, katanya: “Diwajibkan bagi kaum al-Nasara (Nasrani) berpuasa dan diwajibkan kepada mereka untuk tidak makan, tidak minum dan tidak berjima’ setelah daripada tidur. Hal ini diwajibkan juga kepada orang Islam pada awalnya sehingga berlakunya kisah lelaki daripada golongan Ansar, iaitu Qais al-Ansariy yang tidur sebelum waktu berbuka kerana kepenatan”[4]

Beliau (Ibn Hajar) menukilkan pula riwayat daripada Ibrahim al-Taimi yang menyatakan: “Kaum muslimun pada awal Islam melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh ahli kitab, iaitu, apabila seseorang itu tidur, maka dia tidak boleh makan sehingga waktu berbuka ketika tenggelam matahari.[5]

Disebabkan itulah Nabi SAW menyatakan tentang perbezaan puasa orang Islam dan juga orang Nasrani sebagaimana riwayat daripada Amr bin al-‘As bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya: “Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.”[6]

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, maknanya ialah perbezaan yang paling ketara antara puasa orang Islam dengan puasa ahli kitab adalah bersahur. Hal ini kerana mereka tidak bersahur, sedangkan orang Islam disunatkan untuk bersahur.[7]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 14 April 2022 bersamaan 12 Ramadhan 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 187

[2] Riwayat al-Bukhari (1915), Abu Dawud (2314), al-Tirmizi (2968) dan Ahmad (18611)

[3] Riwayat al-Bukhari (4508)

[4] Lihat Fath al-Bari, 4/127

[5] Ibid

[6] Riwayat Muslim (1096)

[7] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/207.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *