#954 Mengambil Pil Penahan Haid Sempena Ramadhan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bolehkah seseorang perempuan itu mengambil pil penahan haid kerana ingin berpuasa penuh di bulan Ramadan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Pada asasnya, organ reproduktif wanita tidak seperti lelaki mengalami perubahan berkala setiap bulan, bagi persediaan kepada proses persenyawaan dan kehamilan. Haid ialah campuran darah bersama-sama bahan daripada lapisan dalaman rahim yang luruh apabila persenyawaan tidak berlaku. Kitaran haid adalah merujuk kepada perubahan berkala berlaku kepada rahim dan ovari bagi tujuan reproduktif (pembiakan). Bila haid berlaku secara berkala setiap bulan, ia dipanggil kitaran haid. Jangkamasa kitaran ini dikira dari hari pertama perdarahan haid hingga ke hari pertama haid yang akan datang. Jangkamasa kitaran haid wanita berbeza antara seorang wanita dengan seorang wanita yang lain diantara 25 – 35 hari, dimana puratanya adalah 28 hari. Biasanya tempoh perdarahan ini berlaku selama lebih kurang 2-8 hari. Kitaran haid ini dikawal oleh perubahan hormon yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari di otak dan juga ovari.[1]

Manakala puasa pula adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[2]

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri‘tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[3]

Hukum Pengambilan Pil Pencegah Haid

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami lampirkan terlebih dahulu pendapat para fuqaha berkenaan isu ini:

Al-Bahuti berpendapat bahawa seorang perempuan boleh mengambil ubat-ubatan yang harus hukumnya bagi menghentikan haid selama mana ia selamat daripada sebarang kemudaratan.[4]

Begitu juga, Dr. Ali Juma‘ah ketika ditanya berkenaan adakah dibolehkan seseorang perempuan mengambil pil bagi melambatkan kedatangan haidnya supaya dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan? Beliau menjawab, perkara itu adalah diharuskan menurut syarak, dengan syarat syarat diakui oleh pakar perubatan bahawa ubat itu tidak mendatangkan sebarang mudarat ke atas perempuan itu. Namun, jika perempuan tersebut mengikut sahaja kehendak Allah dan berserah kepada ketentuan-Nya pada apa yang telah ditetapkan ke atasnya dari sudut kitaran haid, lalu dia tidak boleh berpuasa ketika kedatangannya — yakni haid itu. Maka, baginya pahala dan lebih banyak ganjaran.[5]

Selain itu, Da’irah al-Ifta’ al-Am al-Urduniyyah juga ada mengeluarkan pendapat bahawa dibolehkan untuk seorang wanita itu meminum ubat-ubatan yang dapat melewatkan kitaran haidnya. Khususnya apabila terdapat keperluan dari sudut syarak untuk mengambilnya seperti takut penemannya semasa proses haji dan umrah tidak dapat menunggu dirinya apabila dia terlewat disebabkan kedatangan haid, serta sebab berkeinginan untuk menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadhan — secara penuh.[6]

Di samping itu, Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga pernah ditanya berkenaan perkara ini. Beliau berpendapat bahawa sebaik-baiknya wanita itu mengikut sifat kejadian semula jadinya. Haid adalah sesuatu yang tabi‘i dan tidak dapat dielakkan. Ia datang daripada Allah. Sekiranya wanita itu hendak memakan ubat bagi melewatkan haidnya agar ia tidak datang di dalam bulan Ramadan, hukumnya tidak mengapa, dengan syarat ubat itu tidak memudaratkan dirinya. Mereka boleh meminta nasihat daripada pakar, atau doktor mengenai ubat itu sehingga dapat dipastikan bahawa menelan pil-pil itu tidak memberikan sebarang mudarat. Apabila sudah dipastikan perkara tersebut dan mereka menelan pil itu. Lalu kedatangan haid mereka dapat dilewatkan dan membolehkan mereka untuk berpuasa — genap sebulan Ramadhan. Maka, puasa-puasa mereka itu akan diterima Allah, insya-Allah.[7]

Selain daripada itu, Bekas Mufti Besar Arab Saudi, ‘Abd al-‘Aziz bin Baz pernah ditanya mengenai penggunaan pil-pil pencegah haid bagi kaum perempuan, agar dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan. Beliau menjawab, tidak ada masalah (tidak mengapa) jika seseorang perempuan mengambil pil-pil bagi menahan haid mereka sehingga membolehkan mereka solat dan berpuasa bersama orang ramai — di bulan Ramadhan. Namun, dengan syarat perkara itu adalah selamat dan tidak memudaratkannya. Begitu juga, hal itu mestilah setelah berbincang dan mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan, serta mendapat persetujuan daripada pihak suami (yakni bagi yang sudah berkahwin), supaya ia tidak memudaratkan dirinya, mahupun menyebabkannya berdosa ke atas suaminya — jika suaminya tidak bersetuju.[8] Begitu juga, Syeikh Abdullah bin ‘Abd al-‘Aziz al-‘Uqail juga memberikan pendapat yang serupa, iaitu harus bagi perempuan untuk mengambil pil penahan haid bagi membolehkannya berpuasa bersama orang ramai dalam bulan Ramadhan, dengan syarat tidak memberi kemudaratan kepada dirinya dan mendapat keizinan suaminya — jika dia sudah berkahwin.[9]

Di samping itu, Ibn Hajar al-Haitami juga seolah-oleh memberi isyarat akan keharusan penggunaan ubat bagi perempuan untuk menahan haidnya, supaya dia dapat menyempurnakan ibadah hajinya dengan pergi melakukan tawaf ifadhah sekalipun darah haidnya kembali semula selepas musafir.[10]

Penggunaan pil pencegah haid bagi kaum perempuan adalah termasuk di dalam perkara-perkara keduniaan. Bahkan perkara tersebut membantu dan memudahkan lagi mereka dalam menyempurnaan beberapa ibadah seperti ibadah haji dan puasa. Dalam aspek hal-hal keduniaan, prinsip asasnya ialah hukum asal bagi sesuatu perkara itu adalah harus selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).[11]

Selain itu, penggunaan pil itu juga dilihat bertepatan dengan seruan agama yang menginginkan kemudahan kepada penganut-penganutnya, agar dapat menyempurnakan ibadah mereka. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”[12]

Walau bagaimanapun, sekiranya terbukti dari sudut perubatan bahawa penggunaan pil-pil seumpama ini akan memudaratkan penggunanya baik dari sudut jangka masa pendek atau panjang, maka hukumnya berubah daripada harus kepada haram. Hal ini adalah berdasarkan keumuman sabda Nabi SAW:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya:Tidak ada mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”[13]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan bagi seseorang perempuan untuk mengambil pil penahan haid bagi membolehkannya berpuasa penuh di bulan Ramadhan, dengan syarat pengambilan pil tersebut tidak memberi sebarang mudarat kepadanya dan mendapat keizinan daripada suami jika dia sudah berkahwin. Meskipun begitu, perempuan tersebut hendaklah mendapatkan nasihat pakar perubatan terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Walau bagaimanapun, kami berpendapat mengikut sunnatullah dengan tidak mengambil pil dan mengikut sifat kejadian semula jadinya dari segi kitaran haid adalah lebih baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 15 April 2022 bersamaan 13 Ramadhan 1443H

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/fisiologi-kitaran-haid/. Diakses pada 14 April 2022.

[2] Riwayat al-Bukhari (38); Muslim (760)

[3] Lihat Fath al-Bari, 4/115.

[4] Lihat Kassyaf al-Qina‘, 1/218.

[5] Lihat https://amrkhaled.net/Story/1001772/ آخذ-أدوية-لتأخير-الدورة-الشهرية-في-رمضان. Diakses pada 14 April 2022.

[6] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=863#.YcsxGGhBy3C. Diakses pada 14 April 2022.

[7] Lihat https://www.al-qaradawi.net/node/3752. Diakses pada 15 April 2022.

[8] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/7776/ حكم-استعمال-حبوب-منع-العادة-الشهرية-في-رمضان-وغيره. Diakses pada 14 April 2022.

[9] Lihat https://ar.islamway.net/fatwa/32448/ حكم-تناول-حبوب-منع-الحيض-لأجل-صيام-رمضان. Diakses pada 14 April 2022.

[10] Lihat Hasyiah Ibn Hajar al-Haitami ‘ala Syarh al-Idhah fi Manasik al-Haj, hlm. 387-388.

[11] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60.

[12] Surah al-Baqarah: 185.

[13] Riwayat Ibn Majah (2341)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *