#958: Swab Test Melalui Hidung dan Mulut Ketika Puasa

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum penggunaan swab test melalui hidung dan mulut pada bulan puasa? Adakah terbatal puasa? Dan adakah perbuatan ini boleh diqiyaskan dengan istinsyaq? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Nasopharyngeal Swab dan Oropharyngeal Swab

Sepertimana yang dijelaskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Garis Panduan yang dikeluarkan, terdapat dua kaedah saringan dalam menentukan individu positif COVID-19, iaitu melalui Nasopharyngeal swab dan Oropharyngeal swab.

Kaedah Nasopharyngeal swab ialah alat swab akan dimasukkan ke dalam rongga hidung individu sehingga ke kawasan nasopharynx (rongga hidung paling atas) dengan kedalaman lebih kurang 4.8 cm bagi kanak-kanak dan 8-12 cm bagi orang dewasa untuk mengambil sampel mukus.

Manakala kaedah Oropharyngeal swab pula ialah alat swab dimasukkan ke dalam mulut hingga ke kawasan oropharynx iaitu di belakang anak tekak bagi mengambil sampel mukus.

Perkara yang Membatalkan Puasa

Antara perkara yang membatalkan puasa adalah dengan memasukkan sesuatu ke rongga dalam (ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut) melalui ruang yang sedia terbuka  (manfaz maftuh) iaitu mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. Rongga itu samada ia mempunyai kuasa memproses makanan dan ubat ataupun tidak. Sekiranya memasukkan sesuatu melaluinya sehingga sampai ke rongga dalam badan maka terbatal puasanya.[1]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada menyebut bahawa salah satu daripada perkara yang membatalkan puasa ialah “sampainya suatu ain ke jauh (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak[2] atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.”[3]

Saluran yang terbuka itu termasuklah telinga, hidung, mulut, dubur dan kemaluan. Perkara ini dijelaskan oleh Ibn Al-Muqri’: “Piawaian had zahir dihadkan dengan makhraj huruf Ha’, kemudian dalam mulut dan hidung sehingga penghujung anak tekak dan juga rongga hidung.”[4]

Justeru, secara umumnya, batal bagi orang yang berpuasa jika memasukkan sesuatu ke dalam rongga tersebut secara sengaja dan ikhtiarnya sendiri. Dan dia mengetahui perbuatan tersebut adalah dilarang ketika berpuasa.[5]

Hukum Swab Test Melalui Hidung atau Mulut Ketika Puasa

Berkenaan persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Laqith bin Sobirah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَبَالِغْ فِي الاِسْتِنْشَاقِ إِلاَّ أَنْ تَكُونَ صَائِمًا

Maksudnya: “Hendaklah kamu berlebihan dalam beristinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung) kecuali jika kamu sedang berpuasa.”[6]

Dalam hadis di atas, apa yang dilarang adalah daripada berlebih-lebihan dalam beristinsyaq ketika berpuasa.[7]

Imam al-Nawawi menjelaskan: “Pendapat para ulama’ Syafi’iyyah dan Imam al-Syafi’i adalah bahawa tetap disunatkan bagi orang yang berpuasa ketika berwudhuk untuk berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung (istinsyaq), sepertimana orang yang tidak berpuasa disunatkan demikian. Akan tetapi, bagi orang berpuasa, disyaratkan tidak berlebih-lebihan (mubalaghah). Yang berlaku perselisihan, ketika masuk air dalam rongga tubuh ketika berkumur-kumur atau memasukkan air ke dalam hidung. Namun, jika tidak berlebihan, maka tidaklah batal.[8]

Al-Khatib al-Syirbini pula berkata: “Menurut mazhab Syafi’i, jika seseorang berlebih-lebihan dalam berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung (istinsyaq), lalu air tersebut masuk ke dalam tubuh, maka puasanya terbatal. Ini kerana orang yang berpuasa dilarang daripada berlebih-lebihan ketika berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung. Namun, sekiranya tidak secara berlebih-lebihan, lalu kemudian air masuk, maka ia tidak membatalkan puasa kerana bukan termasuk dalam hal disengajakan.”[9]

Jika dilihat, kaedah Nasopharyngeal swab tidaklah menyebabkan alat swab dimasukkan sehingga sampai ke rongga (jauf) di bahagian dalam. Ia hanya sampai ke kawasan nasopharynx iaitu rongga hidung paling atas. Justeru, hal ini tidak menyebabkan puasa seseorang terbatal.

Manakala kaedah Oropharyngeal swab pula, alat swab akan dimasukkan ke dalam rongga mulut hingga ke kawasan oropharynx iaitu belakang anak tekak dan ia tidaklah sampai melepasi bahagian halkum. Selain itu, ia juga tidaklah termasuk perbuatan yang menggambarkan perkara yang boleh mengenyangkan dan menghilangkan dahaga sebaliknya ia adalah bagi keperluan perubatan. Oleh itu, kami berpandangan bahawa kaedah saringan seperti ini adalah tidak membatalkan puasa. [10]

Hal ini juga selaras dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Kali Ke-3 yang bersidang pada 21 April 2020 yang jelas menyebut bahawa kedua-dua kaedah seperti ini tidaklah menyebabkan puasa seseorang terbatal. Muzakarah antara lain menyatakan: “Prosedur saringan bagi mengesan penyakit Covid-19 adalah dengan mengambil sampel lendir (mukus) yang berada di dalam hidung sehingga ke kawasan nasopharynx (rongga hidung paling atas) dan rongga mulut hingga ke kawasan oropharynx (anak tekak) adalah tidak membatalkan puasa.”

Al-Majma’ al-Fiqh al-Islami juga pernah mengeluarkan satu keputusan pandangan hukum berkaitan beberapa isu perubatan yang tidak membatalkan puasa. Keputusan ini menyebut bahawa termasuk perkara yang tidak membatalkan puasa adalah perbuatan “memasukkan gastroscope (teropong perut) ke dalam perut tanpa sebarang bendalir dan seumpamanya.”[11]. Maka, ujian saringan yang dilakukan ketika ini dengan hanya memasukkan alat swab ke dalam rongga hidung dan mulut bagi tujuan memperoleh sampel sudah tentu terlebih lagi tidak membatalkan puasa.

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa mereka yang perlu melalui saringan melalui kaedah Nasopharyngeal swab (swab rongga hidung) atau Oropharyngeal swab (swab kerongkong), maka puasa mereka masih sah dan tidaklah terbatal.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H

[1] Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181

[2] Istilah otak di sini merujuk kepada kawasan yang berdekatan dengan otak. Kajian saintifik moden menunjukkan bahawa saluran hidung tidak sampai secara terus kepada bahagian dalam otak. Wallahua’lam.

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/342

[4] Lihat Raudh al-Talib, 1/335-336

[5] Lihat Nihayah al-Zain, 1/187

[6] Riwayat Abu Daud (142), al-Tirmizi (788), al-Nasa’ie (87), Ibn Majah (407) dan Ahmad (17846)

[7] Lihat Majmu’ah al-Fatawa, 25/266

[8] Lihat al-Majmu’, 6/230

[9] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/629

[10] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/629

[11] Lihat Majalah al-Majma’, 10/453-455

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *