#964: Anak bawah Tanggungan Ingin Bayar Sendiri Zakat Fitrah

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah dibolehkan bagi anak yang berada di bawah tanggungan bapanya untuk dia membayar sendiri zakat fitrah yang diwajibkan? Dan benarkah sememangnya wajib ke atas bapa untuk mengeluarkan zakat fitrah terhadap anak-anaknya? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan takrif zakat fitrah iaitu kadar yang tertentu daripada harta yang wajib dikeluarkan oleh setiap mukallaf bagi dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya setelah matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat tertentu.[1]

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar R.A, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya“Rasulullah SAW telah mewajibkan Zakat Fitrah, iaitu segantang tamar atau segantang gandum (pada bulan Ramadhan) atas setiap orang Islam, sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan.”[2]

Zakat fitrah diwajibkan dengan tiga syarat:

Pertama: Islam.

Zakat fitrah diwajibkan atas orang Islam sahaja. Tidak wajib zakat fitrah atas orang kafir sebagai kewajipan yang dituntut di dunia.

Kedua: Terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan.

Sesiapa yang meninggal dunia selepas matahari terbenam pada hari tersebut, wajib zakat fitrah atasnya sama ada meninggal dunia setelah dia mampu mengeluarkannya atau sebelumnya. Namun tidak wajib zakat atas bayi yang baru dilahirkan selepas matahari terbenam, dan sesiapa sahaja yang meninggal dunia sebelum matahari terbenam. Sementara bayi yang dilahirkan sebelum matahari terbenam wajib dikeluarkan zakat fitrahnya.

Ketiga: Memiliki harta yang melebihi keperluan untuk makan bagi diri dan tanggungannya pada siang dan malam raya, serta keperluan tempat tinggal dan khadam jika perlu.

Seseorang tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah jika hartanya tidak mencukupi untuk perbelanjaan pada malam dan siang hari raya bagi diri dan tanggungannya. Bagaimanapun sekiranya dia mempunyai harta yang mencukupi untuk perbelanjaan pada siang dan malam raya sahaja dan tidak pada hari-hari berikutnya, maka zakat fitrah tetap wajib atasnya tanpa mengambil kira perbelanjaan pada hari-hari selepas raya.[3]

Antara hikmah diwajibkan zakat fitrah adalah, sepertimana disebut oleh Waki’ bin al-Jarrah: “Zakat fitrah pada bulan Ramadhan itu seperti sujud sahwi ketika solat. Zakat fitrah itu menutup kekurangan ketika berpuasa sepertimana sujud sahwi menutup kekurangan solat.”[4]

Peranan dan fungsi zakat fitrah juga antaranya boleh dilihat melalui hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

فَرَضَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ ، مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ ، فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ ، وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ ، فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ

Maksudnya“Rasulullah SAW telah fardhukan zakat fitrah sebagai penyucian bagi orang yang berpuasa daripada perkara yang lagha dan percakapan yang buruk. Ia juga adalah makanan bagi orang miskin. Sesiapa yang membayarkan sebelum solat (Aidilfitri) maka zakatnya diterima. Sesiapa yang membayarkan selepas daripada solat maka ia hanya dianggap sebagai sedekah.”[5]

Isu Anak bawah Tanggungan Ingin Bayar Sendiri Zakat Fitrah

Pada asasnya, zakat fitrah merupakan salah satu ibadah daripada ibadah-ibadah yang wajib ditunaikan sendiri oleh seorang Muslim atau melalui wakilnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar R.A, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya“Rasulullah SAW telah mewajibkan Zakat Fitrah, iaitu segantang tamar atau segantang gandum (pada bulan Ramadhan) atas setiap orang Islam, sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan.”[6]

Terdapat tiga syarat wajib zakat fitrah iaitu:

  • Islam
  • Waktu, iaitu selepas Maghrib hari terakhir Ramadhan dan bermulanya malam raya.
  • Berkemampuan (al-yasar).[7]

Pada asasnya, adakah bapa wajib membayar zakat fitrah untuk anak-anaknya?

Dalam isu ini, jika anak-anak belum baligh dan mereka mempunyai harta, maka zakat fitrahnya diambil dari harta mereka. Namun, jika mereka tidak mempunyai harta, maka zakat fitrahnya ditanggung oleh bapa mereka.

Imam al-Nawawi berkata: Jika seorang kanak-kanak tidak mempunyai harta, maka zakat fitrahnya dibayar oleh bapanya. Bapanya wajib membayarkannya berdasarkan ijma’ oleh para ulama’ sepertimana dinukilkan oleh Ibn al-Munzir dan lain-lain. Namun, jika anak tersebut mempunyai harta, maka zakat fitrahnya diambil daripada hartanya. Demikian juga pendapat Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq dan Abu Thaur.[8]

Imam Nawawi turut menyebut: Sekiranya seorang kanak-kanak itu kaya, maka nafkah dan zakat fitrahnya diambil daripada hartanya, tidak daripada ayah atau datuknya. Demikian juga pendapat Abu Hanifah, Muhammad, Ahmad dan Ishaq.[9]

Satu kaedah menyebut:

كُلُّ مَن تَلْزَمُهُ نَفْقَةُ غَيْرِهِ تَلْزَمُهُ فِطْرَتُهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang wajib menafkahi seseorang, wajib juga menunaikan zakat fitrahnya.”

Oleh itu, jika seseorang itu menafkahi (menanggung) seseorang atas sebab nikah (isteri, anak-anak), kaum kerabat (ibu ayah, saudara) dan khidmat (hamba) maka wajib juga seseorang itu membayarkan zakat fitrah bagi tanggungannya.[10]

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

  • Pada asasnya, bapa hendaklah mengeluarkan zakat fitrah kepada anak-anak yang masih di bawah tanggungannya. Ini melainkan kanak-kanak tersebut memiliki harta, maka boleh diambil daripada harta tersebut.
  • Dalam isu di atas, jika anak tersebut ingin membayar sendiri, maka boleh untuknya membayar sendiri zakat fitrah tersebut sekiranya memiliki harta dan berkemampuan. Bagi mengelakkan berlaku pembayaran dua kali, maklumkan juga kepada bapanya terlebih dahulu.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/553

[2] Riwayat al-Bukhari (1433) dan Muslim (984)

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji1/553-554

[4] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/96

[5] Riwayat Abu Daud (1609)

[6] Riwayat al-Bukhari (1433) dan Muslim (984)

[7] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/97-98

[8] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/141

[9] Lihat al-Majmu’, 6/120

[10] Lihat al-Taqrirat al-Sadidahhlm. 419

Leave A Comment