#967: Penggunaan Tampon Ketika Puasa

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah batal puasa jika seorang wanita menggunakan tampon ketika dia berpuasa? Hal ini kerana dia sering mengalami keputihan faraj. Justeru, pemakaian tampon dapat mengelakkannya daripada keluar ketika melakukan ibadah. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”[1]

Berdasarkan ayat al-Quran ini, antara kewajipan bagi orang yang berpuasa Ramadan ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa setelah berniat puasa. Antaranya ialah memasukkan ain (suatu jirim) ke rongga dalam melalui saluran yang terbuka seperti mulut, hidung telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan.[2]

Secara jelasnya, antara perkara yang membatalkan puasa adalah dengan memasukkan sesuatu ke rongga dalam (ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut) melalui ruang yang sedia terbuka  (manfaz maftuh) iaitu mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. Rongga itu sama ada ia mempunyai kuasa memproses makanan dan ubat ataupun tidak. Sekiranya memasukkan sesuatu melaluinya sehingga sampai ke rongga dalam badan maka terbatal puasanya.[3]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada menyebut bahawa salah satu daripada perkara yang membatalkan puasa ialah “sampainya suatu ain ke jauh (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak[4] atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.”[5]

Maka dapat difahami bahawa antara perkara yang boleh menyebabkan puasa terbatal adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka seperti hidung, telinga, mulut, dubur dan kemaluan. Perkara ini juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, katanya: “Antara perkara yang membatalkan puasa adalah masuknya sesuatu ke bahagian dalam rongga. Para ulama telah menentukan piawaian sesuatu yang masuk (ke dalam rongga) yang membatalkan puasa dengan ain (objek) yang sampai, iaitu (dari) had zahir ke dalam had batin melalui rongga terbuka dengan sengaja dan sedar dalam keadaan berpuasa.”[6]

Justeru, secara umumnya, batal bagi orang yang berpuasa jika memasukkan sesuatu ke dalam rongga tersebut secara sengaja dan ikhtiarnya sendiri. Dan dia mengetahui perbuatan tersebut adalah dilarang ketika berpuasa.[7]

Penggunaan Tampon Ketika Berpuasa

Pada asasnya, seperti yang dijelaskan di atas, bahawa orang yang berpuasa wajib menahan dirinya daripada perbuatan yang boleh membatalkan puasa. Antaranya adalah tidak memasukkan dengan sengaja dan sukarela suatu ain ke dalam rongga badan melalui laluan badan yang terbuka, termasuklah faraj.

Oleh itu, sekiranya seseorang yang berpuasa memasukkan sesuatu ke dalam batin faraj, – iaitu bahagian faraj yang tidak zahir ketika seseorang wanita itu mencangkung dan bukan yang wajib dibasuh ketika istinja’ dan mandi wajib, – maka batallah puasanya menurut mazhab al-Syafi’i. Hal ini sekiranya ia dilakukan antara waktu terbit fajar sehingga tenggelam matahari.

Akan tetapi, sekiranya perkara tersebut dilakukan sebelum terbit fajar dan dikeluarkan sesuatu itu selepas fajar, maka tidak batal puasanya. Syeikh al-Nawawi al-Bantani menyebut: “Sekiranya seseorang memasukan sesuatu ke dalam duburnya atau telinganya sejenis kayu, dan dia berpagian dalam keadaan berpuasa. Kemudian, dia mengeluarkan kayu itu selepas fajar, maka hal itu tidak membatalkan puasa.[8]

Berbalik kepada persoalan di atas, perlu dijelaskan terlebih dahulu, apakah maksud tampon. Berdasarkan Kamus Dewan Bahasa, tampon diertikan sebagai penyumbat daripada kain tiras, kapas dan lain-lain, yang dibubuh pada luka atau ke dalam rongga badan untuk tujuan menahan darah, menyerap kumuhan dan lain-lain.[9]

Tampon

Cara penggunaan tampon adalah dengan diletakkan ke dalam saluran faraj. Kebanyakan tampon mempunyai alat plastik atau kadbod yang digunakan untuk menolak tampon ke dalam saluran faraj. Terdapat tali pendek yang melekat pada hujung tampon dan tergantung keluar dari vagina bagi memudahkan tampon dikeluarkan.[10]

Dalam hal ini, kami nyatakan bahawa hukum memasang tampon ke dalam faraj ketika berpuasa adalah membatalkan puasa, apabila dimasukkannya ke dalam rongga badan melalui saluran yang terbuka (faraj).

Namun, sekiranya ia dilakukan sebelum terbit fajar, dan dikeluarkan selepasnya, maka ia tidaklah membatalkan puasa, kerana berlakunya kemasukan itu sebelum imsak, dan bukan ketika puasa.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 187

[2] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181

[3] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181

[4] Istilah otak di sini merujuk kepada kawasan yang berdekatan dengan otak. Kajian saintifik moden menunjukkan bahawa saluran hidung tidak sampai secara terus kepada bahagian dalam otak. Wallahua’lam.

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/342

[6] Lihat Raudah al-Talibin, 2/356

[7] Lihat Nihayah al-Zain, 1/187

[8] Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 462

[9] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=tampon

[10] Lihat http://www.myhealth.gov.my/penjagaan-haid/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *