#968: Status Puasa Orang yang Pengsan Kerana Dibius

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana status puasa orang yang pengsan kerana dibius. Sebagai contoh, ubat bius disuntik kepada pesakit dan kemudian dia pengsan hampir separuh hari. Adakah puasanya batal? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, kita perlu melihat terlebih dahulu kepada syarat-syarat sah puasa itu sendiri. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, disebutkan bahawa syarat sah puasa itu ada tiga, iaitu:

  • Maka tidak sah puasa yang dilakukan oleh orang kafir.
  • Berakal atau mumayyiz. Maka tidak sah puasa yang dilakukan oleh orang gila dan juga kanak-kanak yang belum mumayyiz.
  • Tiada sebarang keuzuran yang menghalang daripada berpuasa. Misalnya, datang haid dan juga nifas (bagi orang perempuan), pengsan atau gila sepanjang hari.[1]

Selain itu, turut dijelaskan bahawa antara syarat wajib puasa Ramadhan adalah apabila tiadanya sebarang keuzuran yang menghalang daripada berpuasa, atau yang mengharuskannya berbuka. Antara keuzuran yang disebut adalah pitam atau gila sepanjang hari. Jika dia pulih daripada siuman walaupun sekejap, maka wajib baginya untuk imsak (menahan diri) pada sepanjang hari tersebut.[2]

Hal ini turut dijelaskan oleh Syeikh Taqiyuddin al-Hisni, bahawa jika seseorang hilang kesedaran pada keseluruhan hari (daripada terbit fajar sehingga tenggelam matahari), maka tidak sah puasanya. Sekiranya tidak, iaitu sempat sedar pada sebahagian waktu siang, maka sah puasanya. Demikianlah menurut pendapat terkuat daripada perselisihan kuat yang terdapat pada perkataan Imam al-Syafi’i.[3]

Syeikh Ibrahim al-Baijuri turut menjelaskan hal ini, bahawa sekiranya seseorang hilang kesedaran (pada seluruh waktu siang) ketika berpuasa, maka puasanya tidak sah. Namun, jika dia hilang kesedaran, lalu tersedar pada waktu siang hari tersebut, dan dia sempat mendapati waktu siang tersebut walaupun hanya sekejap, maka puasanya adalah sah. Melainkan jika dia tidak sedarkan diri pada seluruh waktu siang (mulai daripada Subuh sehingga tenggelam matahari), maka (dalam situasi tersebut), puasanya tidak sah.[4]

Status Puasa Orang yang Pengsan Kerana Dibius

Berbalik kepada persoalan di atas, perbahasan mengenai hal ini telah wujud dalam kitab-kitab fiqh terdahulu, meskipun sekilas lalu, ia kelihatan menjurus kepada permasalahan kontemporari berkaitan perubatan.

Secara umumnya, kita telah mengetahui bahawa salah satu syarat sah puasa itu adalah seseorang itu mestilah berakal. Oleh itu, puasa tidak diwajibkan ke atas mereka yang gila. Begitu juga, tidak diwajibkan berpuasa bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz.

Dalam situasi persoalan di atas, keadaan mereka yang dibius juga boleh disamakan dengan keadaan mereka yang pengsan, dan dalam isu ini para ulama’ telah mengutarakan perbahasannya yang tersendiri.

Hal ini boleh dilihat apabila mereka membahagikan kategori pengsan itu kepada dua keadaan, di mana kedua-duanya membawa implikasi hukum yang berbeza. Permasalahan ini adalah dengan mengambil kira sama ada seseorang itu dibius, lalu kemudian dia pengsan pada keseluruhan hari tersebut, atau dibius, dan kemudian hanya pengsan dalam tempoh separuh hari sahaja.

Perincian bagi kedua-dua keadaan ini boleh dijelaskan seperti berikut:

Keadaan Pertama: Dibius dan Pengsan pada Keseluruhan Hari Puasa

Orang yang dibius dan pengsan bermula daripada terbit fajar sehingga tenggelamnya matahari, dan dia tidak sedar sepanjang tempoh tersebut, maka ulama’ al-Syafi’iyyah dan al-Hanabilah menyatakan bahawa puasa tersebut tidak sah, kerana puasa itu adalah imsak (menahan diri) berserta niat. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي

Maksudnya: “Setiap amalan baik anak Adam akan digandakan dengan sepuluh seumpamanya sehingga tujuh ratus gandaan. Allah SWT telah berfirman: Kecuali puasa, kerana aku yang akan mengganjarinya, buat mereka yang meninggalkan syahwat, makan minumnya kerana Aku.”[5]

Berdasarkan hadith di atas, maka dapat difahami bahawa orang pengsan itu tidak melakukan imsak (menahan diri) kerana mereka tidak menyedari apa yang sedang berlaku. Justeru, bagi orang yang pengsan di sepanjang hari berpuasa, maka hukumnya adalah dia dikira sebagai tidak berpuasa dan dia wajib menggantikannya (mengqadha’) semula.

Hal ini sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, katanya: “Sekiranya seseorang berniat pada malam hari, kemudian dia pengsan pada keseluruhan siangnya, maka tidak sah puasanya di sisi mazhab.”[6]

Keadaan Kedua: Dibius dan Pengsan Setengah Hari

Adapun bagi mereka yang telah berniat puasa di malam hari, kemudian pengsan pada sebahagian hari waktu berpuasa, maka puasanya sah sekiranya dia tersedar sejuzuk pada siang harinya. Inilah juga seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’, dan ini adalah pendapat yang paling asah (sahih).[7]

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa jika seseorang telah niat berpuasa pada malam hari, kemudian dia terpaksa dibius (atas sebab perubatan), lalu kesan bius itu menyebabkan dirinya pengsan di sepanjang waktu berpuasa, maka puasa tersebut tidak sah. Dia hendaklah mengganti semula puasa tersebut.

Akan tetapi, sekiranya dia dibius, lalu hanya pengsan separuh hari, kemudian tersedar selepas itu pada waktu siangnya, maka sah puasanya pada hari tersebut.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/339

[2] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/339

[3] Lihat Kifayah al-Akhyar, hlm. 251; Hasyiyah al-Baijuri, 1/561s

[4] Lihat Hasyiyah Syeikh Ibrahim al-Baijuri, 1/552

[5] Riwayat Muslim (1151

[6] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/346

[7] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/346

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *