Soalan

Bagaimana status saya yang telah tersilap membeli emas yang merupakan item ribawi dengan bayaran dahulu, dan emasnya dapat kemudian. Adakah saya dikira berdosa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Semua urusan jual beli dan muamalat adalah diharuskan di dalam syara’, namun terdapat urusniaga yang harus diberi perhatian yang melibatkan item ribawi (barang-barang yang dikira hukum riba jika tidak mengikut panduan syara’) supaya tidak terjerumus ke dalam kancah riba.

Item-item ribawi ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah Bin al-Somit RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya:Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta.

Riwayat Muslim (1587)

Berdasarkan hadis di atas, jual beli item ribawi seperti emas perhiasan mestilah dilakukan secara serta-merta dan bukan secara bertangguh. Jual beli tersebut hendaklah dilakukan secara serta merta di dalam satu majlis, sama ada penyerahan dilakukan secara hakiki ataupun secara hukmi (contohnya diberikan resit pembayaran). Tidak boleh bertangguh lewat daripada itu.

Sekiranya terdapat syarat menangguhkan bayaran atau penyerahan barang, maka ia tergolong di bawah kategori Riba al-Nasiah, iaitu riba yang berlaku disebabkan tempoh bayaran bertangguh. Bahkan, lebih dahsyat pengharamannya apabila penangguhan bayaran tersebut disertakan bersama caj tambahan. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 3/110-111).

Berdasarkan persoalan di atas, kami menasihatkan agar perkara yang lepas, biarkan ianya dijadikan iktibar. Yang penting, kita tidak tidak melakukan lagi perkara tersebut pada masa akan datang. Lakukan taubat dan juga berdoa kepada Allah untuk beroleh kemaafan dan petunjuk. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ فَمَن جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهَىٰ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَمَنْ عَادَ فَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ

Maksudnya:Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Begitu juga firman-Nya SWT:

عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ ۚ وَمَنْ عَادَ فَيَنتَقِمُ اللَّهُ مِنْهُ ۗ

Maksudnya:Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya.”

(Surah al-Ma’idah: 95)

Sentiasalah ingat pesanan Rasulullah SAW berkenaan dosa besar daripada perbuatan riba. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: «الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ»

Maksudnya:Jauhilah kalian daripada tujuh dosa besar. Mereka bertanya: Wahai Utusan Allah! Apakah dosa-dosa itu? Baginda berkata: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah tanpa alasan yang hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, berpaling medan perang dan menuduh wanita mukmin yang suci dengan zina.”

Riwayat al-Bukhari (6857)

Firman Allah SWT:

فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya:Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”

(Surah al-Baqarah: 279)

Antara cara yang dicadangkan ulama juga ialah memperbanyakkan sedekah khususnya untuk perkara yang melibatkan maslahah awam umat Islam. Kami mengambil kesempatan untuk menasihatkan kepada khalayak masyarakat yang ingin mengadakan pembelian atau perdagangan amat perlu mempelajari agama agar tidak terjebak dalam isu ribawi. Benarlah pesanan saidina Umar RA:

لَا يَبِيعُ فِى سُوقِنَا هَذَا إِلَّا مَنْ تَفَقَّهَ فِى الدِّينِ

Maksudnya:Jangan ada yang menjual di dalam pasar kami ini kecuali mereka yang telah mendalami agama.”

Riwayat al-Tirmizi (487)

Wallahua`lam.

Bertarikh 12 November 2021 M bersamaan  7 Rabiul Akhir 1443 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *