Soalan

Adakah boleh menggunakan yuran yang dikenakan kepada peserta pertandingan sebagai hadiah untuk pemenang?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, judi ialah permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan seperti permainan ceki, permainan dadu dan lain-lain.

Judi dalam Bahasa arab disebut al-Maisir (المَيْسِرْ), menurut Al-Fayyumi makna al-Maisir sebagaimana di dalam al-Misbah al-Munir[1] adalah:

قِمَارُ الْعَرَبِ بِالأزْلاَمِ

Maksudnya: Pertaruhan orang arab dengan mengundi nasib menggunakan batang anak panah

Definisi ini tidak jauh dengan makna pertaruhan (qimar), seperti yang ditakrif oleh Imam al-Jurjani sebagai: Setiap permainan yang mensyaratkan peserta yang kalah memberikan sesuatu (seperti duit) kepada peserta yang menang.[2]

Perbuatan ini dilarang di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.[3]

Imam al-Tabari dalam tafsirnya ayat ini menyatakan orang yang bertaruh juga dipanggil orang yang berjudi. (Lihat Jami’ al-Bayan, 4/322).

Dalam ayat lain, Allah SWT juga berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.[4]

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga menyebut dalam kitabnya yang telah kami terjemahkan, Halal & Haram dalam Islam:

“Tetapi sekiranya hadiah tersebut (atau benda pertaruhannya) dikeluarkan dari kedua-duanya sekali dan mereka yang bertaruh dengan syarat siapa yang menang antara keduanya, maka dia berhak mengambil kedua-duanya (taruhan) sekali. Maka jelaslah ini merupakan perjudian yang diharamkan oleh Islam.”[5]

Menghuraikan permasalah di atas, kami menyimpulkan bahawa:

  • Apa-apa pertandingan pada asasnya adalah diharuskan.
  • Pertandingan yang berasaskan hadiah dan wang penyertaan pihak penganjur mesti mengelakkan daripada melakukan penipuan, pertaruhan, eksplotasi dan pembaziran
  • Pertandingan mestilah tidak menguntungkan sebelah pihak dan menzalimi pihak yang lain.
  • Wang penyertaan tidak boleh dijadikan hadiah bagi sesuatu pertandingan melainkan mengikut panduan yang ditetapkan syarak.

Oleh itu penganjur mana-mana pertandingan mesti berhati-hati ketika menganjurkan sesuatu pertandingan dalam menggunakan wang penyertaan serta mendapat khidmat nasihat daripada pihak yang berautoriti. Manakala peserta juga mesti meneliti terma dan syarat sesuatu pertandingan. Hal ini bertujuan untuk mengelak daripada terdapat unsur judi yang jelas ditegah syarak.

Justeru, mengambil yuran peserta bagi tujuan hadiah kepada para pemenang ialah satu bentuk pertaruhan yang diharamkan kerana mengakibatkan kerugian melalui main nasib atas pihak yang kalah. Maka, dicadangkan agar penganjur mencari penaja untuk menaja hadiah para pemenang. Sekiranya yuran peserta digunakan untuk belanja pentadbiran seperti sewaan padang, dan peralatan, maka itu dibenarkan kerana semua peserta berkongsi manfaat bersama.

Wallahua`lam.

Bertarikh 12 November 2021 M bersamaan  7 Rabiul Akhir 1443 H

 

[1] Lihat al-Misbah al-Munir, 2/680

[2] Lihat al-Ta’rifat, hlm. 179

[3] Surah al-Baqarah: 219

[4] Surah al-Ma’idah: 90

[5] Lihat Terjemahan Halal dan Haram dalam Islam, hlm. 558

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *