#984 Isti‘azah dalam Solat Jahriyyah; Dibaca Kuat atau Perlahan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Dalam solat jahriyyah (dibaca kuat), disunatkan untuk membaca isti‘azah secara perlahan atau kuat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, digalakkan untuk membaca isti‘azah bagi orang yang sedang solat di sisi jumhur ulama dalam kalangan sahabat dan tabi‘in serta ulama selepas mereka. Di antaranya, Ibn Umar, Abu Hurairah, ‘Ata’ bin Abu Rabah, al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin, al-Nakha‘i, al-Auza‘i, al-Thauri, Abu Hanifah dan seluruh ashab al-ra’y, Ahmad, Ishaq, Daud dan lain-lain. Manakala Malik pula berpendapat, tidak dibaca ta‘awwuz. Seterusnya, dari sudut hukumnya pula adalah sunat dan bukannya wajib. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi‘i dan mazhab jumhur ulama. Namun, al-‘Abdari menukilkan daripada ‘Ata’ dan al-Thauri bahawa kedua-duanya mewajibkannya, manakala daripada Daud terdapat dua riwayat, salah satunya adalah wajib berdasarkan kepada zahir ayat — yakni surah al-Nahl ayat 98.[1]

Mereka yang berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat berhujah dengan hadith yang menceritakan berkenaan seorang lelaki yang ditegur oleh Rasulullah SAW kerana buruknya solat yang dilakukannya, maka Baginda bersabda kepadanya:

إِذَا قُمتَ إِلَى الصَّلاةِ فَكَبِّر ثُمَّ اقرَأ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ القُرآنِ ثُمَّ اركَع

Maksudnya: “Apabila kamu hendak menunaikan solat, maka bertakbirlah, kemudian bacalah apa-apa ayat yang mudah yang kamu hafal daripada al-Quran, kemudian rukuklah.”[2]

Jika dilihat daripada hadith di atas, kita akan mendapati bahawa Rasulullah SAW tidak menyuruh lelaki tersebut untuk membaca isti‘azah. Justeru, ini menunjukkan bahawa membacanya bukanlah suatu yang wajib.

Selain itu firman Allah SWT:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan Syaitan yang kena rejam.”[3]

Al-Tabari menafsirkan ayat di atas sebagaimana katanya, firman Allah ini bukanlah merupakan suatu perintah yang wajib. Akan tetapi ia hanyalah pemberitahuan dan juga menyatakan hukum sunat. Hal ini kerana tidak ada khilaf di sisi majoriti bahawa sesiapa yang membaca al-Quran dan tidak membaca ta‘awwuz sebelum membacanya atau setelah membacanya, maka dia tidak mengabaikan suatu pun yang fardhu lagi wajib.[4]

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi menyebutkan, bacaan ta‘awwuz disyariatkan pada rakaat pertama, iaitu seseorang itu akan mengucapkan — selepas doa iftitah — “أَعُوذُ بِاَللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”. Inilah pendapat masyhur yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dan diputuskan oleh jumhur ulama. Namun terdapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i yang berpendapat disunatkan untuk membaca “أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”. Pendapat ini telah ditegaskan oleh al-Bandaniji dan dinukilkan oleh al-Rafi‘i. Ia adalah pendapat yang gharib. Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm dan begitu juga para ashab berpendapat, ta‘awwuz itu dapat diperoleh dengan setiap apa yang meliputi makna memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan. Akan tetapi afdhalnya “أَعُوذُ بِاَللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”.[5]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jika solat itu ialah solat sirriyyah (dibaca perlahan), maka tiada khilaf mengenainya — yakni turut dibaca perlahan. Namun, jika solat itu ialah solat jahriyyah (dibaca kuat), maka padanya terdapat dua jalan (pendapat). Jalan pertama, dan ia merupakan pendapat Abu Ali al-Tabari dan pengarang al-Hawi iaitu disunatkan untuk dibaca perlahan secara sepakat seperti mana doa iftitah. Manakala jalan kedua pula, dan ia adalah sahih lagi masyhur, serta padanya terdapat tiga pendapat. Pendapat yang paling sahih adalah disunatkan untuk dibaca secara perlahan. Pendapat kedua menyatakan, disunatkan untuk dibaca secara kuat kerana ia mengikuti hukum bacaan — yakni yang dibaca kuat itu. Justeru, ia menyerupai ta’min (lafaz amin), sebagaimana kalau seseorang itu membaca al-Quran di luar solat, maka dia akan menguatkan bacaan isti‘azah secara pasti. Pendapat ketiga menyatakan, boleh memilih untuk membacanya secara kuat atau perlahan, tanpa ditarjihkan — mana-mana pendapat. Ini merupakan zahir daripada nas Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm sebagaimana dinukilkan oleh pengarang al-Muhazzab.[6]

Kemudian, di penghujung perbahasan dalam permasalahan ini, Imam al-Nawawi menegaskan, adapun berkenaan menguatkan bacaan isti‘azah dalam solat jahriyyah, pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i ialah tidak membacanya secara kuat. Ini juga merupakan pendapat Ibn Umar dan Abu Hanifah. Sedangkan Abu Hurairah berpendapat, dibaca secara kuat. Manakala Ibn Abi Laila pula berpendapat, membacanya secara kuat mahupun perlahan adalah sama sahaja, kedua-duanya adalah baik.[7]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan untuk memperlahankan bacaan ta‘awwuz dalam solat jahriyyah sebagaimana pendapat dalam mazhab Syafi‘i.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam

Bertarikh: 20 April 2022 bersamaan 18 Ramadhan 1443H

[1] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/325-326.

[2] Riwayat al-Bukhari (6667)

[3] Surah al-Nahl: 98

[4] Lihat Tafsir al-Tabari, 17/293-294.

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/323.

[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/324.

[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/326.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *