#995 Antara Bacaan Secara Hafalan dan Melihat Mashaf

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Manakah lebih afdhal, membaca al-Quran dengan melihat mashaf atau membacanya secara hafalan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membaca al-Quran termasuk dalam ibadah. Pada setiap ayat dan kalimatnya ada pahala dan ganjaran buat sesiapa yang membacanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

منْ قرأَ حرفًا من كتابِ اللهِ فله به حسنةٌ، والحسنةُ بعشرِ أمثالِها لا أقولُ: آلم حرفٌ، ولكنْ ألِفٌ حرفٌ وميمٌ حرفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya. Tidaklah aku mengatakan: Alif, lam, mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”[1]

Begitu juga terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.[2]

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia.[3]

Selain itu, terdapat riwayat daripada al-Nawwas bin Sam‘an R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

يؤتي بالْقُرْآنُ يوم القيامة وَأَهْلُهُ الَّذِينَ كانوا يَعْمَلُونَ بِهِ، تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ. – وَضَرَبَ لَهُمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةَ أَمْثَالٍ مَا نَسِيتُهُنَّ بَعْدُ. – قَالَ: كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أو ظُلَّتَانِ سَوْدَاوَانِ بَيْنَهُمَا شَرْقٌ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّان عَنْ صَاحِبِهِمَا

Maksudnya: “Didatangkan al-Quran pada hari kiamat bersama ahlinya (pembacanya) yang mengamalkannya (di dunia), didahului oleh Surah al-Baqarah dan Ali Imran. — (Al-Nawwas berkata): Rasulullah SAW membuat perumpamaan untuk keduanya (Surah al-Baqarah dan Ali Imran) dengan tiga perumpamaan yang tidak akan aku lupakan selamanya — Baginda bersabda: Kedua-duanya (akan datang) seperti dua awan tebal atau dua payungan hitam yang mana antara kedua-duanya ada sinaran (atau pancaran) cahaya atau kedua-duanya seperti dua pemisah pada kawanan burung yang membentangkan sayapnya dan berhujah untuk pemiliknya.”[4]

Dapat difahami daripada lafaz “الَّذِينَ كانوا يَعْمَلُونَ بِهِ” dalam hadith di atas bahawa sesiapa yang membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengannya, maka mereka tidak termasuk dalam kalangan ahli al-Quran. Bukan itu sahaja, al-Quran juga tidak akan memberi syafaat kepada mereka, bahkan al-Quran itu pula menjadi hujah ke atas mereka — dan bukannya hujah buat mereka.[5]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut Imam al-Nawawi, membaca al-Quran daripada mashaf lebih utama berbanding membacanya melalui hafalan kerana memandang pada mashaf termasuk dalam perkara ibadah yang diperintahkan, maka terhimpun bacaan dan pandangan itu. Inilah sebagaimana disebutkan oleh al-Qadhi Husain daripada kalangan ulama mazhab Syafi‘i dan Abu Hamid al-Ghazali serta sebahagian ulama salaf. Malah Imam al-Ghazali menukilkan dalam kitabnya al-Ihya’ bahawa ramai dalam kalangan sahabat R.Anhum, mereka membaca daripada mashaf — yakni dengan melihatnya. Mereka juga tidak suka keluar suatu hari tanpa langsung melihat pada mashaf. Selain itu, Ibn Abi Daud ada meriwayatkan berkenaan pembacaan al-Quran dengan melihat mashaf daripada ramai ulama salaf dan tidak ada perselisihan dalam perkara tersebut.

Sekiranya dikatakan, ia adalah berbeza-beza mengikut orang yang membaca. Justeru dipilih pembacaan pada mashaf bagi sesiapa yang sama dari segi kekhusyukkan dan tadabburnya dalam kedua-dua keadaan iaitu membaca dengan melihat mashaf dan membaca melalui hafalan. Begitu juga dipilih pembacaan melalui hafalan bagi sesiapa yang tidak boleh menyempurnakan kekhusyukkannya dengan perkara tersebut — yakni jika membacanya dengan melihat mashaf. Demikianlah juga jika membacanya dengan melihat mashaf dapat menambahkan lagi kekhusyukkan dan tadabburnya, maka inilah pendapat yang baik. Secara zahirnya, kalam ulama salaf dan perbuatan mereka adalah merujuk kepada perincian ini.[6]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa membaca dengan melihat mashaf adalah lebih baik (afdhal) kerana terhimpun padanya dua perkara ibadah iaitu membaca al-Quran dan melihat mashaf. Selain itu, dengan melihat mashaf juga dapat membuatkan mata dan pandangan seseorang itu tertumpu (fokus) pada ayat-ayat al-Quran ketika membacanya dan menjauhkannya daripada perkara-perkara yang menyibukkannya daripada pembacaan al-Quran dan tadabbur.

Walau bagaimanapun, jika seseorang itu lebih dapat menghayati pembacaan al-Quran serta menambahkan kekhusyukkan dan tadabburnya melalui pembacaan secara hafalan, maka inilah yang terbaik buatnya. Namun, jika sama sahaja dari sudut penghayatan dan kekhusyukkan bagi kedua-dua pembacaan; dengan melihat mashaf dan melalui hafalan, maka tidak syak lagi bahawa membacanya dengan melihat mashaf adalah lebih baik (afdhal).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadhan 1443H

[1] Riwayat al-Tirmizi (2910)

[2] Riwayat Muslim (817); riwayat Ibn Majah (218); riwayat Ibn Hibban (772)

[3] Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581

[4] Riwayat Muslim (805); riwayat Ahmad (17637); riwayat al-Tirmizi (2883); riwayat Abu ‘Awanah dalam mustakhrajnya (3934)

[5] Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 4/1461.

[6] Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 100.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *