#997 Membayar Wang Pelincir bagi Mendapatkan Hak yang Tertahan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah hukumnya jika saya membayar wang pelincir untuk mendapatkan hak saya yang tertahan setelah berusaha dengan pelbagai cara bagi mendapatkan hak saya itu, tetapi semuanya tidak berhasil, sedangkan saya sangat memerlukannya. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”[1]

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan atau mengambil harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu — untuk melakukannya.[2]

Memahami makna rasuah

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, rasuah ialah pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap).[3] Selain itu, rasuah juga diertikan sebagai sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan.[4] Dr. Yusuf al-Qaradhawi pula menyebut bahawa termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Dalam erti kata lain, wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya.[5]

Menurut undang -undang Malaysia yang terkandung dalam Seksyen 3(a), (b) dan 4(a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) menafsirkan rasuah sebagai: “menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya.” Manakala suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah; “Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran beharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya.”

Justeru, dapat disimpulkan bahawa perbuatan memberi wang pelincir adalah termasuk di dalam perbuatan memberi rasuah. Pada asasnya, pengharaman rasuah jelas dinyatakan dalam al-Quran dan Sunnah. Firman Allah SWT:

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ

Maksudnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).[6]

Imam al-Baghawi ketika menjelaskan ayat di atas menyebutkan, ayat ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka‘ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka.[7]

Selain itu, terdapat riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.”[8]

Selain daripada itu juga, tidak dapat dinafikan bahawa amalan rasuah akan menatijahkan kesan dan kesudahan yang sangat buruk seperti menghancurkan keadilan dalam sesebuah negara, pengurusan pentadbiran menjadi lambat dan kucar-kacir, muncul orang jahat yang bertambah jahat, menyebabkan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang dan lain-lain lagi.

Terpaksa memberi rasuah bagi mendapatkan hak yang tertahan

Berbalik kepada soalan yang diajukan, al-Sindi ketika mensyarahkan hadith rasuah menyebutkan, terdapat pendapat menyatakan bahawa laknat Allah ini adalah bagi sesiapa yang melakukannya untuk perkara batil. Adapun sesiapa yang terpaksa memberinya bagi mengangkat kezaliman ke atas dirinya atau mendapatkan kembali haknya yang tertahan, maka dia tidak termasuk dalam laknat tersebut.[9]

Selain itu, Dr. Yusuf al-Qaradawi menjelaskan lagi perkara ini dalam kitabnya bahawa sesiapa yang mempunyai sebarang hak yang diabaikan dan tiada lagi jalan lain bagi mendapatkannya kembali melainkan dengan memberi rasuah, ataupun dia ditimpa suatu kezaliman, yang mana tidak dapat melepaskan dirinya melainkan dengan memberi rasuah, maka yang paling utama baginya ialah bersabar sehingga Allah memudahkan baginya sebaik-baik jalan untuk melepaskannya daripada kezaliman atau untuk mendapatkan kembali haknya itu. Tetapi, jika dia memilih jalan memberi rasuah untuk mengatasi masalahnya itu, dosanya adalah ke atas siapa yang menerima rasuah tersebut dan bukan ke atas yang memberi rasuah, kerana dia telah mencuba pelbagai cara, namun tidak berhasil — sehingga tiada lagi jalan lain — bagi menolak kezaliman atau mendapatkan semula haknya tanpa bertindak terhadap hak orang lain.[10]

Walau bagaimanapun, seseorang itu tidak boleh bermudah-mudah dalam hal ini, melainkan setelah tiada lagi jalan lain kerana rasuah tetap kekal hukumnya sebagai haram. Malah kelonggaran tersebut mestilah sekadar cukup bagi dia untuk menolak kezaliman dan mendapatkan kembali haknya sahaja serta tidak lebih daripada itu. Ini bertepatan dengan kaedah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ وَتُقَدَّر بِقَدَرِهَا

Maksudnya: “Keadaan darurat mengharuskan perkara-perkara yang asalnya haram dan mengambilnya cukup hanya sekadar yang perlu sahaja.”

Oleh yang demikian, jika dia melakukan perkara yang haram lebih daripada had yang dibenarkan (ketika dalam keadaan darurat), maka dia telah berdosa.

Kemudian, Dr. Yusuf al-Qaradawi menambah lagi, terdapat sebahagian ulama membuat alasannya dengan hadith-hadith Nabi SAW yang memberitakan tentang sekumpulan orang yang datang menggesa Baginda SAW untuk memberikan kepada mereka sedekah, iaitu zakat sehingga Baginda SAW terpaksa memberikan kepada mereka, iaitu riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِن أحدكُم ليخرج بِصَدَقَتِهِ من عِنْدِي متأبطها وَإِنَّمَا هِيَ لَهُ نَار قال عمر: يَا رَسُول الله! كَيفَ تعطيه وَقد علمت أَنَّهَا لَهُ نَار؟ قَالَ: فَمَا أصنع؟ يأبون إِلَّا مَسْأَلَتي، ويأبى الله عز وَجل لي الْبُخْل

Maksudnya: “Ada dalam kalangan kamu akan pergi membawa sedekah yang aku berikannya kepada mereka, dengan mengepitnya (sedekah tersebut) di bawah ketiaknya, sedangkan ia itu adalah bara api neraka. Lantas Umar R.A bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Bagaimana kamu memberinya sedang kamu tahu bahawa pemberian itu adalah bara api neraka?’ Baginda SAW menjawab: ‘Jadi, apa yang mesti aku lakukan? Mereka terus mendesak meminta-minta kepadaku, sedangkan Allah ‘Azza wa Jalla enggan aku menjadi bakhil.’[11]

Jika terdesak dengan permintaan seseorang, Nabi SAW terpaksa memberikan peminta sedekah itu apa yang diketahuinya bakal menjadi bara api neraka apabila diambilnya, maka bagaimana pula caranya sekiranya terdesak dengan keperluan untuk menolak suatu kezaliman atau mengambil kembali hak yang diabaikan?![12]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, dengan mengambil kira situasi dan keadaan pihak yang bertanya, kami menyimpulkannya kepada beberapa perkara:

  • Islam mengharamkan orang Muslim untuk memberikan rasuah mahupun menerimanya atau terlibat di dalam perkara-perkara yang telah diharamkan atau menjadi wasilah kepada perkara yang haram. Hal ini bertepatan dengan kaedah:

كُلُّ مَا أَدَّى إِلَى الحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap perkara yang membawa kepada perkara haram, hukumnya adalah haram.”

  • Namun, jika seseorang itu terpaksa terlibat di dalam perkara haram, seperti memberi wang pelincir bagi mendapatkan haknya yang tertahan atau bagi melepaskan dirinya daripada kezaliman, dia tidak berdosa sekiranya sudah tiada lagi jalan lain melainkan dengan perbuatan tersebut. Walau bagaimanapun diingatkan bahawa perbuatan itu mestilah cukup sekadar yang perlu sahaja, dan tidak boleh lebih daripada itu. Akan tetapi, sekiranya dia dapat bersabar, maka itulah yang lebih utama dan lebih baik baginya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan kekuatan bagi melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan perkara-perkara yang haram. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadhan 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 188

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29.

[3] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=rasuah. Diakses pada 20 April 2022.

[4] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/219.

[5] Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 379.

[6] Surah al-Ma’idah: 42

[7] Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 3/58.

[8] Riwayat Ahmad (6984); riwayat Ibn Majah (2313)

[9] Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah, 2/49-50.

[10] Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 382-383.

[11] Riwayat Ahmad (11123)

[12] Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 383.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *