Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan daging dubuk atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai hyena? Saya dengar ia ada dijual dahulu antara bukit Safa dan Marwah. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”
(Surah al-Jathiyah: 13)
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499)
Definisi dubuk (hyaenidae)
Dubuk atau dikenali juga sebagai hyena ialah mamalia yang terkenal kerana lolongannya yang aneh seperti hilaian orang yang diserang histeria. Dubuk memburu haiwan sebagai makanannya. Ia juga memakan sisa-sisa bangkai haiwan.[1] Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, dubuk ialah sejenis binatang liar yang memakan bangkai.[2] Di dalam Ensiklopedia Dunia juga telah memberikan definisi yang hampir serupa berkenaan dubuk atau hyena ini. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 6/299)
Menurut Kamaluddin al-Damiri dalam kitabnya Hayah al-Hayawan al-Kubra (2/111-113), Dubuk merupakan haiwan yang cukup dikenali (dalam masyarakat Arab). Dubuk betina tidak disebut sebagai Dab‘ah (ضَبْعَةٌ). Hal ini kerana dubuk jantan disebut sebagai Dib‘an (ضِبْعَان) dan kata jamaknya pula ialah Diba‘in (ضِبَاعِيْن), sebagaimana perkataan sirhan (سِرْحَان) dan sirahin (سِرَاحِيْن). Manakala dubuk betina disebut sebagai Dib‘anah (ضِبْعَانَةٌ) dan kata jamaknya pula ialah Dib‘anat (ضَبْعَانَات) atau Diba‘ (ضِبَاعٌ). Walau bagaimana, Ibn Barri menyebutkan bahawa dubuk betina tidak dikenali dengan nama Dib‘anah (ضِبْعَانَةٌ). Selain itu, dinukilkan daripada Ibn al-Anbari bahawa perkataan Dab‘u terpakai kepada dubuk jantan dan betina.
Terdapat beberapa nama lain bagi dubuk seperti Ja‘ar (جَعَارٌ), Hafsah (حَفْصَةٌ), dan Jil (جِيْلٌ). Manakala gelarannya pula adalah seperti Ummu Khinnaur (أُمُّ خِنَّوْر), Ummu Tariq (أُمُّ طَرِيق), Ummul Qubur (أم القُبُور), Ummu Naufal (أم نَوْفَل), Abu ‘Amir (أبو عامر), Abu Kaladah (أبو كَلَدَة), Abu al-Hinbir (أبو الهِنْبِر). Selain itu, dubuk juga ialah haiwan yang mempunyai haid sepertimana arnab.
Di samping itu juga, dubuk ialah haiwan yang gemar membongkar kubur disebabkan oleh keinginanannya yang kuat terhadap daging manusia. Apabila ia melihat manusia sedang tidur, ia akan membuat lubang di bawah kepala manusia itu, dan menerkam lehernya. Lalu ia membunuh manusia tersebut dan meminum darahnya. Ia ialah haiwan yang keji, tidak ada haiwan lain berkelakuan sepertinya melainkan daripada jenisnya. Dubuk juga disifatkan sebagai haiwan yang bodoh dalam kalangan masyarakat Arab sebagaimana pepatah Arab ada menyebut:
أَحْمَقُ مِنْ ضَبْعٍ
Maksudnya: “Lebih bodoh daripada dubuk.”
Habitat dubuk dan makanannya
Keluarga Hyena terdiri daripada empat spesies dalam tiga genus. Dubuk berbintik (spotted hyena) adalah spesies yang paling biasa ditemui dalam kalangan hidupan liar; manakala spesies dubuk aardwolf, dubuk belang (striped hyena) dan dubuk perang (brown hyena) adalah sukar ditemui disebabkan saiz mereka yang kecil, kebiasaan keluar pada waktu malam, dan tabiat hidup bersendirian.[3] Secara ringkasnya adalah sebagaimana berikut:[4]
Dubuk Perang (Brown Hyena)
Dubuk perang terdapat di selatan Sungai Zambezi, di selatan Afrika. Bulu di belakangnya panjang. Bulunya kasar berwarna kelabu kehitaman dengan belang hanya di kakinya. Dubuk perang mempunyai kebiasaan keluar pada waktu malam, dan tabiat hidup bersendirian, serta mampu berjalan sejauh 25 sehingga 40 kilometer setiap malam untuk mencari makanan. Mereka hidup dalam puak yang kecil yang terdiri daripada beberapa ekor hyena betina, jantan dan anak hyena.
Walaupun Dubuk Perang pada kebanyakannya adalah pemakan bangkai, mereka turut aktif memburu dan memakan sejenis anjing laut berbulu di sepanjang pinggir pantai Namibia. Di kawasan yang lebih tandus, Dubuk Perang juga memakan tumbuh-tumbuhan seperti Tsama (Citrullus lanatus) dan gemsbok cucumbers (Acathosicyos naudinianus).
Gambar di atas: Dubuk Perang (Brown Hyena).[5]
Dubuk Berbintik (Spotted Hyena)
Dubuk berbintik tinggal di selatan Sahara, Afrika. Bulunya kasar berwarna kelabu kekuningan dan berbintik-bintik hitam. Dubuk berbintik mempunyai rahang yang besar, kuat dan gigi yang kuat yang boleh memecahkan tulang yang besar.
Dubuk berbintik hidup dalam kawasan yang didominasi oleh hyena betina yang terdiri daripada dubuk yang berhubungan antara satu sama lain. Dubuk jantan berhijrah dan menjadi nomad, membiak ketika bersua dengan kelompok yang berdekatan. Dubuk berbintik terkenal dengan sifatnya yang memakan baki bangkai haiwan hasil buruan singa, namun ia juga aktif memburu mangsa sebesar kuda belang. Walau bagaimanapun, tidak diketahui sama ada ia turut memakan tumbuh-tumbuhan.
Gambar di atas: Dubuk berbintik (Spotted Hyena).[6]
Aardwolf
Aardwolf pula ialah sejenis dubuk yang luar biasa, yang tinggal di dataran selatan dan timur Afrika. Ia bukan serigala, tetapi dubuk. Ia berwarna perang berjalur-jalur hitam, berkaki hitam dan ekornya berbulu lebat berwarna hitam di hujungnya. Kebanyakan dubuk mempunyai rahang dan gigi yang kuat, tetapi gigi aardwolf adalah kecil, lemah dan berbentuk kon. Ia mempunyai lidah yang lebar dan melekit. Ia mempunyai lima jari pada kaki depannya dan empat jari pada kaki belakangnya. Saiznya juga lebih kecil berbanding dubuk-dubuk yang lain. Di sepanjang belakangnya terdapat bulu tebal, yang akan ditegakkannya supaya ia kelihatan lebih besar. Ia juga boleh menderam dan mengaum apabila ketakutan. Nama aardwolf yang dalam bahasa Afrikaan adalah serigala tanah, diberikan kepada haiwan ini kerana ia tinggal dalam lubang dalam tanah. Aardwolf jarang dilihat kerana ia hanya keluar pada waktu malam.
Dubuk jenis aardwolf adalah hyena yang unik, yang telah beradaptasi dengan satu ciri pemakanan yang khas, iaitu memakan anai-anai tanaman. Anai-anai jenis ini mempunyai kebiasaan melakukan aktiviti pada waktu malam, dan ini menjadikan peluang yang terbaik bagi aardwolf untuk mencari makanan.
Kadang-kadang, ia memakan haiwan seperti tikus, bangkai yang telah membusuk dan juga telur. Aardwolf memilih untuk tinggal di kawasan kering yang terbuka dengan rumput yang pendek, khususnya di kawasan tanah pertanian yang telah kering dan mengeras.
Gambar di atas: Aardwolf.[7]
Dubuk Belang (Striped Hyena)
Dubuk belang hidup di utara Afrika dan dari Turki sepanjang Timur Tengah hingga ke India. Ia lebih kecil daripada dubuk berbintik. Bulunya kekelabuan dengan belang-belang hitam di badan dan kaki. Dubuk Belang adalah hyena yang paling pesat berkembang. Mereka memilih belukar tebal, tanah yang gersang dan pergunungan yang mempunyai pokok-pokok rendah serta kawasan yang dipenuhi dengan semak dan pokok-pokok berduri. Dubuk Belang hanya keluar pada waktu malam, dan ia merupakan haiwan yang paling suka hidup bersendirian. Namun ia pernah dilihat berada dalam kumpulan keluarga yang kecil ketika memburu makanan.
Walaupun dubuk jenis ini adalah kebanyakannya pemakan bangkai, ia juga aktif memburu dan memakan serangga yang berterbangan, binatang seperti tikus kecil, burung dan turut menangkap mangsa yang bersaiz besar seperti arnab Cape (Lepuscapensis) dan rubah bertelinga kelawar (Otocyonmegalotis). Sepertimana Dubuk Perang, Dubuk Belang juga kadang-kadang memakan buah-buahan, khususnya buah daripada pohon kertau (Balanites sp.).
Gambar di atas: Dubuk Belang (Striped Hyena)[8]
Hukum memakan daging dubuk
Pada asasnya, para ulama telah berbeza pandangan mengenai hukum memakan daging dubuk kepada dua pendapat. Ada ulama berpendapat dagingnya halal untuk dimakan dan juga dalam kalangan ulama yang berpendapat ia haram untuk dimakan.
Abu Hanifah menyatakan bahawa dubuk haram untuk dimakan. Ini juga merupakan pendapat Sa‘id bin al-Musayyib dan al-Thauri. Mereka berhujahkan bahawa dubuk ialah haiwan yang memiliki taring dan Nabi SAW telah melarang kita untuk memakan setiap binatang buas yang memiliki taring. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/113)
Begitu juga, al-Zaila‘i al-Hanafi menyebutkan dalam kitabnya, dubuk ialah haiwan yang dagingnya tidak dimakan kerana ia memakan bangkai dan dagingnya menjadi busuk disebabkan oleh pemakanannya itu. Oleh itu, ia termasuk dalam kalangan haiwan yang buruk — yakni jijik. (Lihat Tabyin al-Haqaiq, 5/295)
Firman Allah SWT:
وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf: 157)
Manakala Imam al-Nawawi menyatakan bahawa daging dubuk boleh dimakan dan dijual beli. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/9)
Perkara ini turut disebutkan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitabnya:
وَلُحُومُ الضِّبَاعِ تُبَاعُ عِنْدَنَا بِمَكَّةَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ، لَا أَحْفَظُ عَنْ أَحَدٍ مِنْ أَصْحَابِنَا خِلَافًا فِي إحْلَالِهَا
Maksudnya: “Daging-daging dubuk dijual antara Bukit Safa dan Marwah semasa kami di Makkah. Dan aku tidak ketahui seorang pun dalam kalangan ashab kami, yang berbeza pendapat dalam soal menghalalkannya.” (Lihat al-Umm, 2/273)
Mereka berdalilkan dengan riwayat Ibn Abi Ammar yang bertanya kepada Jabir:
الضَّبُعُ صَيْدٌ هِيَ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ : قُلْتُ: آكُلُهَا؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: قُلْتُ لَهُ: أَقَالَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: نَعَمْ
Maksudnya: “Adakah dubuk termasuk haiwan buruan?” Beliau menjawab: “Ya.” Aku bertanya lagi: “Bolehkah aku memakannya?” Beliau menjawab: “Ya.” Aku bertanya lagi: “Adakah Rasulullah SAW pernah mengatakannya?” Beliau menjawab: “Ya.”
Riwayat al-Tirmizi (1791)
Imam al-Tirmizi menyebutkan bahawa hadith ini adalah hasan sahih, dan sebahagian ulama telah berpendapat bahawa tidak mengapa memakan daging dubuk. Ini juga merupakan pendapat Imam Ahmad dan Ishaq. Selain itu, terdapat juga riwayat hadith yang menyatakan bahawa makruh memakan daging dubuk. Akan tetapi sanadnya tidak kuat. Oleh yang demikian, terdapat sebahagian ulama menghukumkan sebagai makruh untuk memakan daging dubuk seperti pendapat Ibn al-Mubarak. (Lihat Sunan al-Tirmizi, 4/252)
Tambahan lagi, terdapat hadith daripada riwayat Jabir bin Abdullah yang lain, beliau menyebutkan:
سألْتُ رسولَ اللهِ ﷺ عنِ الضَّبُعِ، فقال: هو صيدٌ، ويجعلُ فيه كَبشٌ إذا صادَهُ المــُحرمُ
Maksudnya: “Aku telah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai dubuk. Lalu Baginda SAW menjawab: ‘Ia ialah haiwan buruan dan dijadikan padanya denda (dam) seekor kambing, sekiranya orang yang berihram memburunya.’”
Riwayat Abu Dawud (3801)
Hadith di atas merupakan dalil yang jelas menunjukkan keapda kita bahawa daging dubuk adalah halal untuk dimakan kerana ia termasuk dalam kategori haiwan buruan.
Selain itu, Kamaluddin al-Damiri al-Syafi‘i juga ada menyebutkan bahawa antara dalil yang mengharuskan memakan dubuk adalah kerana dubuk tidak memakan makanan yang berjangkit dan ia boleh hidup tanpa menggunakan taringnya — yakni untuk memburu haiwan yang lain. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/113)
Di samping itu, Syeikh Daud al-Fatani telah menyenaraikan dubuk termasuk dalam binatang darat yang halal dimakan. (Lihat Matla‘ al-Badrain, (susunan PMWP), hlm. 26)
Akan tetapi dubuk yang dimaksudkan di sini adalah yang bertaring tetapi tidak memburu binatang pada kelazimannya kerana terdapat juga jenis dubuk yang bertaring dan memburu. (Lihat Matla’ al-Badrain, (susunan PMWP), nota kaki no. 13, hlm. 26)
Tambahan pula, Imam al-Nawawi juga telah menyebutkan nama-nama para ulama yang berpegang kepada keharusan memakan daging dubuk. Di antaranya adalah seperti Imam Ahmad, Daud, Ibn Abi Talib, Ishaq bin Rahuyah, dan Abu Thaur serta ramai dalam kalangan sahabat dan tabiin.[24] Manakala dalam kalangan sahabat yang mengharuskan untuk memakan dubuk dan menjadikannya sebagai haiwan buruan pula adalah seperti Sa‘ad bin Abu Waqqas, Ali bin Abu Talib, Ibn Umar dan lain-lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/9)
Sebab pengharaman haiwan bertaring serta pengecualian dubuk
Pada asasnya, Nabi SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Tha‘labah bahawa:
نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السَّبُعِ
Maksudnya: “Nabi SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring.”
Imam al-Syafi‘i menjelaskan lagi perkara ini dengan menyebutkan bahawa haiwan bertaring yang haram untuk dimakan ialah haiwan yang memburu makanan dengan taringnya. (Lihat al-Umm, 2/272)
Selain itu, Syeikh Soleh al-Fauzan menyebutkan bahawa tiada pertembungan antara dua hadith iaitu; hadith yang mengharuskan untuk memakan dubuk dan hadith yang mengharamkan semua haiwan bertaring. Hal ini kerana hadith yang mengharamkan semua haiwan bertaring adalah bersifat umum manakala hadith yang mengharuskan memakan dubuk pula adalah bersifat khas. Maka, didahulukan hadith yang khusus berbanding hadith yang umum.(Lihat al-At‘imah, hlm. 40)
Dalam erti kata lain, hadith yang menyebut mengenai keharusan untuk memakan dubuk telah mengkhususkan hadith mengenai larangan daripada memakan haiwan yang bertaring, yang bersifat umum. Justeru, dapat difahami bahawa semua haiwan buas yang bertaring itu adalah haram untuk dimakan kecuali dubuk.
Tambahan lagi, Ibn Qayyim al-Jauziyyah ada menjelaskan lagi bahawa haiwan itu haram dimakan apabila ia merangkumi dua ciri ini; iaitu mempunyai taring dan merupakan haiwan pemangsa secara tabiat semulajadinya seperti singa, serigala, dan harimau. Adapun dubuk pula memiliki salah satu daripada dua ciri tersebut iaitu bertaring. Akan tetapi tabiat semulajadinya bukan daripada haiwan pemangsa — yakni memburu binatang sebagai makanan — dan tidak syak lagi bahawa haiwan pemangsa adalah lebih khusus daripada haiwan-haiwan yang bertaring. Haiwan pemangsa haram dimakan disebabkan oleh sifatnya yang ganas memburu. Juga tidak syak lagi bahawa sifat ganas memburu yang ada pada serigala, singa dan harimau, tidak ada pada dubuk sehingga mesti menyamakan antara kedua-duanya dari segi pengharaman. Selain itu, dubuk juga tidak dianggap termasuk dalam kategori haiwan pemangsa sama ada dari segi bahasa mahupun adat setempat.(Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 2/90)
Oleh itu, kemungkinan spesies dubuk yang dimaksudkan ialah Aardwolf kerana ia adalah satu-satunya dubuk yang mana giginya lemah dan tidak kuat. Manakala Dubuk Belang dan Dubuk Perang pula, kita boleh kelaskan kedua-kedua spesies ini sebagai haiwan omnivor kerana di samping memakan bangkai ia juga memakan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Selain itu, kedua-dua spesies itu juga aktif memburu haiwan yang lain sebagai makanan. Jadi, berkemungkinan jenis dubuk yang boleh dimakan daripada dua spesies ini hanyalah yang memakan bangkai dan tumbuh-tumbuhan atau buah-buahan serta tidak memburu haiwan lain sebagai makanannya. Manakala Dubuk Berbintik pula tidak termasuk langsung kerana memang tabiat semulajadinya adalah memburu dan memiliki taring yang kuat.
Kesimpulannya
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan untuk memakan daging dubuk sebagaimana pendapat majoriti ulama ulama seperti Imam Ahmad, Daud, Ishaq bin Rahuyah, Abu Thaur, Imam al-Syafi‘i, Imam Nawawi dan lain-lain. Begitu juga dalam kalangan para sahabat seperti Sa‘ad bin Abu Waqqas, Ali bin Abu Talib, Ibn Umar dan lain-lain.
Akan tetapi tidak dinyatakan jenis atau spesies dubuk yang mana secara jelas. Namun, terdapat para ulama yang menyatakan bahawa dubuk yang dimaksudkan itu adalah daripada jenis yang bertaring tetapi taringnya adalah lemah serta tabiat semulajadinya tidak memburu binatang lain sebagai makanan utamanya. Hal ini adalah sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya, I‘lam al-Muwaqqi‘in.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 28 Januari 2022 bersamaan 25 Jamadil Akhir 1443H
[1] Lihat : http://prpmv1.dbp.gov.my/Search.aspx?k=aneh&d=8.
[2] Lihat : http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=dubuk&d=73528&.
[3]Lihat https://www.sciencedirect.com/topics/immunology-and-microbiology/hyena.
[4] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 1/3-4 dan 6/299; Lihat juga https://www.sciencedirect.com/topics/immunology-and-microbiology/hyena.
[5] Gambar diambil daripada https://static.wikia.nocookie.net/creatures-of-the-world/images/d/db/663ba848928d7f7880fab85bf7219007.jpg/revision/latest?cb=20170523192534.
[6] Gambar ini diambil daripada https://en.wikipedia.org/wiki/Spotted_hyena#/media/File:Spotted_hyena_(Crocuta_crocuta).jpg
[7] Gambar diambil daripada https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/0/0b/Proteles_cristatus1.jpg
[8] Gambar diambil daripada https://en.wikipedia.org/wiki/Striped_hyena#/media/File:Striped_hyena_(Hyaena_hyaena)_-_cropped.jpg