Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bilakah wanita atau isteri berhak untuk tidak melayan kehendak suami bagi nafkah batin?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Perkahwinan bertujuan untuk membangunkan institusi kekeluargaan dan ia sangatlah digalakkan di dalam Islam. Ia juga bertujuan untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, mengembangkan masyarakat Islam serta mewujudkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Galakan Islam terhadap perkahwinan agar mendapat banyak kebaikan dan faedah daripadanya. Ini seperti hadis daripada Abdullah bin Amr RA, sabda Nabi SAW:

الدُّنْيَا مَتَاعٌ، وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia merupakan keseronokan sementara dan keseronokan yang paling baik ialah wanita yang solehah.”

Riwayat Muslim (1467)

Begitu juga, suami isteri merupakan pasangan yang saling melindungi di antara satu sama lain dan saling perlu memerlukan. Ini diperumpamakan di dalam al-Quran, firman Allah SWT:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Syeikh Dr. Mustafa al-Khin di dalam kitab beliau telah menyatakan beberapa hikmah perkahwinan, antaranya:

  • Memenuhi keperluan fitrah manusia
  • Mengembangkan masyarakat Islam dengan keturunan
  • Mewujudkan ketenangan jiwa dan ketenteraman rohani
  • Memelihara akhlak daripada kerosakan dan keruntuhannya.
  • Memelihara generasi manusia yang sejahtera
  • Mengembangkan kekeluargaan dan mengeratkan semangat kerjasama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji 4/13-16)

 

Keadaan Di Mana Isteri Berhak untuk Tidak Melayan Kehendak Suami

Dalam menjawab persoalan di atas, apabila berlaku akad nikah antara suami isteri, antara peranan kedua-duanya adalah untuk menjadi pakaian antara satu sama lain. Firman Allah SWT:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Ibn Abbas menyatakan  bahawa maksud  yang dikehendaki dari ayat di atas adalah “mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka”. Manakala dalam Tafsir al-Tabari menyatakan bahawa maksud ayat ini adalah berkumpulnya dua jasad menjadi satu, iaitu “bersetubuh”. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 3/490)

Kehendak naluri ini perlu dilaksanakan oleh kedua-dua belah pihak. Tetapi bagi wanita, hendaklah melayan kehendak suaminya. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk bersama, lalu isteri itu menolaknya, dan suami itu pun tidur dalam keadaan marah terhadap isterinya, maka para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.”

Riwayat al-Bukhari (3237)(5193)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa haramnya seorang isteri itu menolak ajakan suaminya tanpa keuzuran yang syarak dan haid juga bukanlah satu keuzuran yang boleh menghalang ajakan suami kerana suami mempunyai hak untuk istimta’ (berseronok) dengan apa yang terdapat di atas kain (selain daripada faraj). Hadith ini juga bermaksud laknat daripada malaikat akan berterusan sehingga hilangnya maksiat dengan terbitnya fajar dan dengan suami itu merasa memadai atau dengan taubat si isteri apabila menerima ajakan suami tersebut untuk bersama. ( Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/7-8)

Walaupun begitu, ada masanya Syarak tidak membenarkan suami bersama dengan isterinya yang dikenali sebagai uzur syar’ie, antaranya:

Pertama: Dengan sebab haid. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.”

(Surah al-Baqarah: 222)

Menurut Ibn al-‘Arabi, larangan mendekati membawa maksud tidak dibenarkan untuk mencampuri isteri. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/227)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Apabila perempuan telah mandi (suci daripada haid), maka datangilah mereka pada tempat yang dikehendaki yang telah diberitahu oleh Sunnatullah untuk memeliharanya, iaitu tempat keturunan (peranakan).” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/470)

Kedua: Qiyas kepada haid juga, iaitu nifas.

Darah nifas ialah darah yang keluar selepas bersalin. Tempoh minimum nifas ialah sekelip mata (لحظة). Kadang-kadang ia berterusan hingga beberapa hari dan biasanya hingga 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya pula ialah 60 hari. Berdasarkan kajian Imam al-Syafie, darah yang keluar melebihi tempoh tersebut adalah darah penyakit. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/82)

 

Ketiga: Disebabkan sakit, sehingga tidak mampu dari segi kudrat badan fizikalnya untuk melayan suaminya.

 

Keempat: Boleh membawa mudarat. Hal ini dengan maksud, jika sabit bahawa dengan sebab persetubuhan boleh membawa kemudaratan dan kesakitan bagi perempuan, maka harus baginya untuk tidak menyahut ajakan suaminya.

 

Kelima: Si isteri sedang melaksanakan kewajiban Syarak, seperti sedang solat fardhu, atau puasa fardhu, maka berhak baginya untuk tidak melayan suaminya. Tetapi, berilah alasan dengan penuh kasih sayang dan penghormatan pada suaminya.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita mengingati sebuah hadis Rasulullah SAW:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيْلَ لَهَا أُدْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya: “Jika wanita mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, mentaati suaminya, maka dikatakan kepadanya (pada hari Kiamat): ‘Masuklah ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang kamu mahu.”

Riwayat Ahmad (1664), Ibn Hibban (1296) dan al-Bazzar (7480). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan hadis ini sahih dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (4163)

Semoga rumah tangga yang dibina layak mendapat Baiti Jannati. Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 3 Februari 2022 bersamaan 1 Rejab 1443H

1 thoughts on “#402: Keadaan Isteri Berhak Tidak Melayan Suami

  1. Rynn says:

    Assalamualaikum ustaz saya nak tanya ..jika isteri dah tak de rahim maksud saya rahim da kene buang sebab sakit..adakah wajib isteri melayan nafsu suami… Sebab setiap kali bersama saya merasa sakit sgt2.
    Sya nak bagitau ustaz suami saya ada ambil brg terlarang bila dia ambil brg nafsu dia lain macam smpai saya pun tak larat nak melayannya..Adakah ni boleh membuat kan saya minta cerai…

Leave a Reply