Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada terbaca dalam satu laman sesawang yang menceritakan mengenai sejenis haiwan prasejarah yang dikenali sebagai mamot. Justeru, timbul persoalan, jika ia masih ada pada masa kini, apakah hukum memakan dagingnya? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Maidah: 87)

Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas. ( Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122)

Definisi mamot

Mamot ialah haiwan prasejarah yang berkait rapat dengan gajah yang ada pada hari ini. Mamot merupakan haiwan yang besar dan berat.[1] Sesetengahnya mempunyai ketinggian melebihi 4.5 meter pada paras bahu. Mamot mempunyai belalai dan gading. Haiwan ini kebanyakannya mempunyai gading sepanjang empat meter. Gadingnya membengkok ke bawah daripada rahang atasnya dan kemudian membengkok ke atas di antara belalainya. Sebahagian mamot yang disebut mamot berbulu, mempunyai bulu panjang di badannya yang membantu melindungi badannya daripada sejuk yang melampau pada Zaman Ais.

Fosil mamot adalah antara yang paling banyak ditemui. Badan mamot yang telah ditemui tersimpan dengan baik dalam ais di Siberia. Orang tempatan mulanya menyangka bahawa tinggalan itu ialah mol gergasi. Ahli sains yang mengkaji mamot mendapati bahawa haiwan tersebut memakan daun pain dan pucuk pokok. Fosil mamot telah ditemui di Eropah dan Amerika Syarikat. Tulang mamot yang tertua yang diketahui berumur emapt juta tahun dan ditemui di Afrika. Mamot kemudiannya tersebar di benua-benua lain dan sampai ke Amerika Utara pada kira-kira satu setengah juta tahun lalu, iaitu semasa Zaman Ais. Manusia prasejarah memburunya untuk dijadikan makanan. Gambar mamot yang dilukis oleh penghuni gua boleh dilihat di dinding-dinding gua di bahagian selatan Perancis. Mamot mungkin masih wujud sekitar 4000 tahun yang lalu.

Dari segi pengelasan saintifiknya, mamot tergolong dalam famili gajah, Elephantidae. Ia membentuk genus Mammuthus. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 13/245.)

Hukum makan daging mamot

Oleh kerana mamot merupakan haiwan yang sangat berkait rapat dengan gajah, bahkan tergolong dalam famili gajah. Para ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa gajah haram dimakan mazhab Syafi‘i, Abu Hanifah, al-Kufiyyun dan al-Hasan. Manakala al-Sya‘bi, Ibn Syihab dan Malik pula membenarkannya untuk dimakan. (Lihat al-Majmu’, 9/17)

Bahkan Imam al-Syafi‘i menyebutkan dalam kitabnya al-Umm bahawa tidak diperkenankan berwuduk dan minum dengan menggunakan tulang bangkai dan tulang haiwan yang disembelih yang tidak boleh dimakan dagingnya, seperti tulang gajah, harimau dan sejenisnya. Hal ini kerana tulang haiwan tidak dapat disucikan dengan dibasuh atau dengan proses penyamakan. Abdullah bin Dinar meriwayatkan bahawa dia pernah mendengar Abdullah bin Umar yang tidak suka berminyak dengan minyak daripada tulang gajah kerana ia merupakan bangkai. (Lihat al-Umm, 2/30.)

Ulama yang mengharamkan daging gajah ini berpendapat sedemikian kerana ia tergolong dalam binatang bertaring.  Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani R.A, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ أَكْلِ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ

Maksudnya:Nabi SAW telah melarang kami daripada memakan setiap haiwan yang bertaring daripada jenis binatang-binatang buas.”

Riwayat al-Bukhari (5530, 5780) dan Muslim (1932)

Gajah memiliki taring

Kemudian timbul persoalan, benarkah gajah memiliki taring atau sebenarnya ia adalah gading? Sebenarnya, gajah sememangnya memiliki taring. Hal ini kerana gading gajah didefinisikan sebagai taring gajah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat.[2]

Gading juga hanya dimiliki oleh spesies mamalia tertentu, yang akan menumbuhkan gigi hadapan yang menonjol keluar dan sentiasa tumbuh. Jenis gigi yang tumbuh menonjol ini bergantung kepada spesies haiwan. Walrus dan babi akan tumbuh pada gigi taring mereka manakala gading gajah tumbuh dari gigi kacip. Kedua-dua jantina spesies boleh menumbuhkan gading sendiri, di mana gading jantan lebih besar sebagai senjata berlawan. Gigi hadapan ini mempunyai banyak kegunaan ia bergantung kepada spesies yang memilikinya. Gajah menggunakan gading mereka untuk menggali dan membuat lubang untuk mencari makanan. Haiwan jantan kerap menunjukkan taring atau gading mereka sebagai tanda tunjuk kuasa (dominance) atau bagi mempertahankan diri daripada haiwan lain yang menyerang.[3]

Perbahasan mengenai gajah ini, kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam artikel kami yang bertajuk: #319 Memakan Daging Gajah.[4]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa daging mamot haram dimakan sebagaimana pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. Ini juga merupakan pendapat yang lebih selamat (ahwat). Selain itu, hal ini juga kerana mamot memiliki taring yang dinamakan sebagai gading sebagaimana gajah. Disebutkan bahawa taring atau gading itu juga kuat serta digunakan bagi menggali dan membuat lubang untuk mencari makanan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 Februari 2022 bersamaan11 Rejab 1443H

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=mamot&d=243192&#LIHATSINI. Diakses pada 9 Februari 2022.

[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=gading. Diakses pada 19 Januari 2022.

[3] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Gading. Diakses pada 19 Januari 2022.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/319-memakan-daging-gajah/. Diakses pada 9 Februari 2022.

Leave a Reply