Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukumnya mencium tangan orang yang lebih tua atau lebih alim sebagai tanda hormat kepadanya? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): ‘Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.’”

(Surah al-Isra’: 24)

Asalnya ungkapan ini diambil daripada tindakan seekor burung jika ingin memeluk anaknya untuk mengasuh dan mengasihinya maka ia akan merendahkan sayapnya. Seolah-olahnya Allah SWT berfirman kepada seorang anak, “Peliharalah kedua ibu bapamu dengan mendekatkan mereka kepada dirimu — dari segi hubungan — sebagaimana yang telah mereka lakukan kepadamu ketika kamu masih kecil.” Kemudian, berdoalah buat mereka agar Tuhan mengasihani mereka berdua, sebagaimana mereka berdua telah mendidik dan mengasuh kamu semasa kecil yakni kasih sayang seperti mana mereka berdua telah mendidik dan mengasuh kamu, atau maknanya ialah kasihanilah mereka berdua kerana mereka telah mendidik dan mengasuh kamu. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 367.)

Selain itu, agama Islam mengajar penganutnya untuk berbuat baik kepada orang yang lebih berusia. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada riwayat Anas bin Malik R.A, bahawa seorang lelaki tua datang kepada Nabi SAW dan orang ramai melambatkan pergerakan untuk memberikan ruang kepadanya. Lalu Baginda SAW bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا ‏

Maksudnya: “Bukanlah daripada golongan kami sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang dewasa.”

Riwayat al-Tirmizi (1919)

Al-Munawi menyebutkan bahawa kedua perbuatan itu merupakan perintah yang wajib diletakkan pada hak dan tempatnya. Maka diberikan kepada mereka yang muda haknya iaitu bersikap lemah lembut, menyayangi dan mengasihi mereka. Begitulah juga diberikan kepada mereka yang dewasa haknya berupa penghormatan dan kemuliaan. (Lihat Faidh al-Qadir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 5/388.)

Hukum mencium tangan

Mengenai perkara ini, al-Nawawi ada menyebutkan bahawa disunatkan untuk mencium tangan orang soleh, alim dan seumpamanya dalam kalangan ahli akhirat. Manakala mencium tangan seseorang kerana kekayaan, keduniaan atau kedudukannya pula, hukumnya adalah makruh. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/636) Begitulah juga al-Buhuti mengharuskan untuk mencium tangan dan kepala sebagai tanda merendah diri, menghormati dan memuliakan seseorang dengan syarat jauh daripada syahwat. Secara zahirnya, tidak diharuskan berbuat demikian bagi tujuan keduniaan dan dari sudut ini ia adalah suatu yang ditegah. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 2/157.)

Disebutkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah (13/131) bahawa harus hukumnya mencium tangan orang alim yang warak, pemerintah yang adil, kedua ibu bapa, para guru dan semua orang yang berhak untuk dihormati dan dimuliakan. Begitulah juga diharuskan untuk mencium kepala, dahi dan (kedudukan) antara dua mata mereka. Akan tetapi perkara tersebut dibolehkan sekiranya dengan tujuan untuk menghormati, memuliakan dan merendah diri, ketika bertemu dan berpisah serta jauh daripada syahwat. Selain itu, dinukilkan daripada Ibn Battal bahawa Imam Malik mengingkari perbuatan mencium tangan. Walau bagaimanapun, al-Abhari menyatakan bahawa Imam Malik membenci perbuatan tersebut jika ia bertujuan untuk membesar-besarkan dan mengagungkan orang itu, namun jika ia bertujuan untuk medekatkan diri kepada Allah SWT kerana agama, ilmu dan kemuliaanya, maka ia diharuskan. (Lihat juga Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, 11/57.)

Selain itu, Muhammad bin Soleh juga ada menyatakan bahawa mencium tangan sebagai tanda penghormatan bagi sesiapa yang tergolong dalam kalangan orang yang dihormati dan dimuliakan seperti ayah, orang alim (atau orang yang sudah berusia) dan guru, maka tidak mengapa melakukannya kecuali dikhuatiri adanya kemudaratan iaitu orang yang dicium tangannya itu merasa takjub dengan dirinya sendiri dan melihat diri mereka berada di kedudukan yang tinggi. Maka, dalam hal ini ia tidak dibenarkan disebabkan oleh mafsadah tersebut. (Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 177/30)

Sahabat mencium tangan Baginda SAW

Terdapat riwayat menyebutkan bahawa para sahabat R.Anhum mencium tangan Rasulullah SAW. Antaranya daripada Usamah bin Syarik, beliau berkata:

قمنا إلى النبيِّ صلّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ فقبَّلنا يدَه

Maksudnya:Kami bangun pergi kepada Nabi SAW, lalu mencium tangan Baginda.

Riwayat Ibn al-Muqri’ dalam al-Rukhsah fi Taqbil al-Yad (2); al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Jami‘ li Akhlaq al-Rawi (314). Al-Qastalani menyebutkan bahawa sanadnya adalah kuat. (Lihat Irsyad al-Sari, 9/155).

Begitu juga riwayat daripada Zari‘ bin ‘Amir, beliau berkata:

لَمَّا قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ فَجَعَلْنَا نَتَبَادَرُ مِنْ رَوَاحِلِنَا فَنُقَبِّلُ يَدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَرِجْلَهُ

Maksudnya:Tatkala kami tiba di Madinah, kami berlumba-lumba untuk turun daripada tunggangan kami, kemudian kami mencium tangan Nabi SAW dan kaki Baginda.

Riwayat Abu Daud (5225)

Selain itu, juga riwayat daripada Ibn Umar, beliau berkata:

قَبَّلْنَا يَدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya:Kami mencium tangan Nabi SAW.

Riwayat Ibn Majah (3704)

Di samping itu, terdapat juga riwayat yang menyebutkan bahawa para sahabat R.Anhum mencium tangan sesama mereka. Antaranya daripada Tamim bin Salamah, katanya:

لـمَّا قَدِمَ عُمَرُ رضي الله عنه الشّامَ استَقبَلَه أبو عُبَيدَةَ بنُ الجَرّاحِ رضي الله عنه فقَبَّلَ يَدَه ثُمَّ خَلَوَا يَبكيانِ

Maksudnya:Ketika Umar R.A tiba di Syam, Abu ‘Ubaidah al-Jarrah R.A menyambutnya dan mencium tangannya. Kemudian kedua-duanya berlalu sambil menangis.

 Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (13716); Ibn Abi Dunya dalam al-Ikhwan (129)

Tambahan lagi, diriwayatkan bahawa Thabit R.A pernah mencium tangan Anas bin Malik R.A, yang telah dinayatakan melalui Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (974) dan Ali R.A juga pernah mencium tangan atau kaki al-‘Abbas R.A. seperti yang dinyatakan  Riwayat Ibn al-Muqri’ dalam al-Rukhsah fi Taqbil al-Yad (13)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa mencium tangan para ulama, orang soleh, ibu bapa dan seumpamanya, hukumnya adalah diharuskan. Namun, keharusan tersebut diikat dengan syarat tidak berlebih-lebihan sehingga ke tahap mengagungkan dan mensucikan mereka, atau adanya kemudaratan seperti menimbulkan perasaan ujub dalam diri orang yang dicium tangannya itu, perasaan syahwat dan seumpamanya. Maka, dalam keadaan ini ia tidak dibenarkan.

Hal ini adalah berdasarkan kepada banyaknya riwayat dan athar para sahabat R.Anhum yang melakukan sedemikian.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 16 Februari 2022 bersamaan 14 Rejab 1443H

Leave a Reply