Soalan
Assalamualaikum ustaz. Adakah sah pengislaman kanak-kanak? Dan apakah syarat-syarat yang wajib dipenuhi bagi menerima pengislaman kanak-kanak?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pada asasnya, pengislaman kanak-kanak boleh berlaku dalam dua keadaan, iaitu:
Pertama: Kanak-kanak itu sendiri melafazkan kalimah syahadah.
Kedua: Kanak-kanak itu mengikut agama ibu atau bapanya yang memeluk Islam.
Definisi Kanak-kanak
Sebelum kami membahas isu ini dengan lebih lanjut, kami akan menghuraikan terlebih dahulu berkenaan definisi kanak-kanak yang disinonimkan dengan individu bawah umur atau di dalam bahasa arabnya disebut al-Sighaar (الصغار).
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “kanak-kanak” bermaksud budak lelaki atau perempuan yang masih kecil (biasanya yang belum berumur lebih daripada 7 atau 8 tahun).[1] Manakala istilah “remaja” pula merujuk kepada seseorang yang mulai dewasa, sudah akil baligh, dan sudah cukup umur untuk berkahwin.[2]
Manakala dalam Seksyen 2 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyebutkan bahawa kanak-kanak adalah: “seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun. “
Daripada sudut bahasa Arab, Ibn Manzhur menyebut: Al-Sighar (الصغار) dari sudut bahasa bermaksud: Kurang saiznya atau kurang umurnya maka dia adalah saghir (kecil). Ia adalah perkataan yang berlawanan dengan besar. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/458)
Manakala dari sudut istilah, ia membawa maksud: Suatu ciri yang dikaitkan dengan seorang manusia semenjak kelahirannya sehinggalah dia bermimpi (baligh). (Lihat Kasyf al-Asrar oleh al-Bazdawi, 4/1358)
Berdasarkan definisi dan takrif yang dinyatakan di atas, jelas kepada kita bahawa terdapat perbezaan dalam memahami apakah yang dimaksudkan dengan kanak-kanak. Kadang-kadang ia difahami sebagai umur seseorang di bawah tujuh atau lapan tahun, dan terkadang di bawah paras umur lapan belas tahun. Manakala daripada sudut tradisi Islam, takrifnya lebih konsisten dengan menghubungkan keadaan aqil baligh dengan definisi kanak-kanak.
Keadaan Jika Kanak-Kanak Itu Sendiri Melafazkan Kalimah Syahadah
Jumhur ulama berpendapat bahawa pengislaman kanak-kanak bukan Islam yang sudah mumayyiz adalah sah dari sudut Hukum Syarak. Mereka berdalilkan hujah-hujah berikut:
- Saiyidina Ali bin Abi Talib RA memeluk Islam sewaktu dia masih kecil.
- Sabda Rasulullah SAW:
مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ
Maksudnya: “Semua anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah.”
Riwayat al-Bukhari (1357) dan Muslim (2658)
Fitrah itu menurut pendapat yang masyhur adalah Islam. (Lihat Fath al-Bari, 3/315)
Manakala mengikut pendapat minoriti ahli fiqh dan juga merupakan pendapat yang rajih dalam mazhab al-Syafie, pengislaman kanak-kanak yang sempurna akal dan mumaiyiz adalah tidak sah kerana hujah-hujah berikut:
- Kanak-kanak tiada kelayakan untuk mengikat kontrak atau memberi keterangan saksi.
- Hadis Saiyidina Ali itu berlaku selepas baligh seperti mana kata Imam Ahmad bin Hanbal. Manakala berkata Imam al-Baihaqi, hadis itu sebelum baligh dan dipersetujui oleh Imam al-Subki, tetapi tidak terpakai kerana pada awal Islam hukum-hakam Islam tertakluk pada usia mumaiyiz namun selepas tahun peperangan Khandaq, turunnya hadis yang menasakhkan hukum tersebut dan mensabitkan umur baligh iaitu dengan keluarnya mani atau mencapai umur lima belas tahun Qamariyyah. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Saiyidina Ali bin Abi Talib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ، عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ، وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ
Maksudnya: “Diangkat pena (taklif/tanggungjawab) daripada tiga kategori manusia; bayi sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehingga dia sedar, dan orang yang bermasalah aqal sehingga dia sembuh.”
Riwayat Abu Daud (4402)
Pun begitu, para ulama yang berpendapat seperti ini menyarankan agar dibataskan anak tersebut daripada dipengaruhi oleh ibu bapa yang masih belum Islam, atau salah seorang daripada mereka, berdasarkan keizinan mereka. Jika mereka tidak mengizinkan, maka hendaklah diserahkan kembali. Namun menurut Imam al-Subki, hukum pembatasan itu adalah wajib untuk menjaga maslahat agama anak itu. ( Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/609)
Sebahagian ulama Syafieyyah seperti al-Suyuti yang berpendapat bahawa sah Islam kanak-kanak yang bukan Islam apabila dia mengucap syahadah. Mereka berdalilkan hadis daripada Muslim al-Tamimi RA:
بَعَثَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَرِيَّةٍ فَلَمَّا هَجَمْنَا عَلَى الْقَوْمِ تَقَدَّمْتُ أَصْحَابِي عَلَى فَرَسِي فَاسْتَقْبَلَنَا النِّسَاءُ وَالصِّبْيَانُ يَضِجُّونَ فَقُلْتُ لَهُمْ: تُرِيدُونَ أَنْ تُحَرِّزُوا أَنْفُسَكُمْ؟، قَالُوا: نَعَمْ، قُلْتُ: قُولُوا: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ فَقَالُوهَا فَجَاءَ أَصْحَابِي فَلَامُونِي، فَقَالُوا: أَشْرَفْنَا عَلَى الْغَنِيمَةِ فَمَنَعْتَنَا ثُمَّ انْصَرَفْنَا إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَا تَدْرُونَ مَا صَنَعَ؟، لَقَدْ كَتَبَ اللهُ لَهُ مِنْ كُلِّ إِنْسَانٍ كَذَا وَكَذَا مِنَ الْأَجْرِ ، ثُمَّ أَدْنَانِي مِنْهُ
Maksudnya: Nabi SAW telah mengutus kami dalam suatu peperangan/ Ketika kami menyerang musuh, aku dapat mendahului sahabat-sahabatku dengan cara menunggang kuda. Lalu kami menemui para wanita dan kanak-kanak yang berteriak ketakutan. Aku berkata kepada mereka: “Sukakah kamu menyelamatkan diri kamu?” Mereka menjawab: “Ya”. Aku berkata: “Ucapkanlah: Kami bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad, hamba dan Pesuruh-Nya.” Maka mereka pun mengucap syahadah itu. Lalu sahabat-sahabatku mengatakan kepadaku: “Hampir sahaja kita memperolehi harta rampasan perang, akan tetapi engkaulah yang menghalang kami.” Kemudian kami berangkat menuju Rasulullah ﷺ, lalu baginda bersabda: “Tahukah kamu apa yang telah dibuat olehnya (Muslim al-Tamimi)? Sesungguhnya Allah telah menulis baginya setiap manusia begini, begitu (yakni pahala tertentu bagi Muslim)” Kemudian baginda mendekatiku.”
Riwayat Abu Daud (5050) dan Ibn Hibban (2022) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (1052)
Imam al-Suyuti berdalilkan hadis di atas selepas menyatakan: “(Menerima pengislaman kanak-kanak) tidak menafikan hadis (hadis Ali di atas). Sesungguhnya hanya sahnya yang dinafikan ialah balasan azab jika suatu kemungkaran itu berlaku sewaktu umur kanak-kanak dan keislamannya seperti ibadat. Begitu juga sah puasa kanak-kanak, solat, haji dan lain-lain, maka sah jugalah Islamnya.”(Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 221)
Ibn al-Qayyim berkata: “Nabi SAW tidak sekali-kali pernah menolak keislaman seseorang yang masuk Islam daripada kalangan kanak-kanak, yang dewasa, orang merdeka, hamba, lelaki dan perempuan. Nabi sendiri tidak pernah memerintahkan, begitu juga tidak pernah para khalifahnya dan sahabat-sahabat lain, supaya kanak-kanak yang masuk Islam sebelum baligh memperbaharui Islamnya. Perkara ini tidak pernah diketahui terjadi dalam sejarah Islam.” (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 2/906)
Hukum ini disokong oleh hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik RA:
كَانَ غُلاَمٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: أَسْلِمْ، فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا القَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Ada seorang kanak-kanak Yahudi yang berkerja dengan Nabi SAW kemudian kanak-kanak itu jatuh sakit. Nabi SAW datang menziarahinya, dan Baginda duduk di sisi kepalanya seraya bersabda kepadanya: “Islamlah kamu”, lalu dia memandang ayahnya yang ada di sisinya. Ayahnya berkata kepadanya: “Taatilah Abu al-Qassim (gelaran Nabi SAW).” Lalu dia pun masuk Islam dan Nabi SAW keluar seraya berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan anak itu daripada neraka.”
Riwayat al-Bukhari (1356)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani apabila mensyarahkan hadis ini, beliau bersetuju dengan pendapat yang mengesahkan keislaman kanak-kanak dengan berkata bahawa hadis ini, antara lain, dalil keharusan mendakwahkan Islam kepada kanak-kanak. Kata beliau, jika keislaman itu tidak sah, apa faedah Nabi SAW mengajak kanak-kanak itu kepada Islam. Begitu juga apabila baginda bersabda Allah telah menyelamatkannya daripada neraka, yang menjadi dalil bahawa sah keislaman kanak-kanak itu, seperti jika kanak-kanak itu membesar sebagai seorang kafir lalu mati, nescaya dia akan diazab. (Lihat Fath al-Bari, 3/221)
Kami mentarjihkan dalam isu ini pendapat majoriti ulama yang mengesahkan pengislaman kanak-kanak yang sempurna akal dan sudah mumaiyiz kerana menjaga kepentingan awam iaitu maslahat agama dan diri kanak-kanak tersebut. Pendapat ini juga disokong oleh Mufti Kerajaan Brunei Darussalam, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, dalam fatwa yang dikeluarkan pada tahun 2002. (Lihat Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, hlm. 151-160)
Adapun jika kanak-kanak tersebut sudah baligh, tetapi umurnya masih belum mencapai 18 tahun, maka hukum pengislamannya adalah sah berdasarkan kesepakatan para ulama kerana anak itu hakikatnya sudah dewasa. Namun berdasarkan Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan, pendaftaran pengislamannya tidak boleh dibuat melainkan dengan persetujuan ibu bapa atau penjaganya.
Kanak-Kanak Itu Mengikut Agama Ibu atau Bapanya yang Memeluk Islam
Bagi kanak-kanak yang belum baligh, apabila ibu bapanya, ataupun salah seorang daripada ibu bapanya, memeluk agama Islam, maka agama anak berkenaan adalah Islam berdasarkan kaedah al-tab’iyyah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga).”
(Surah al-Tur: 21)
Firman Allah SWT:
وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman.”
(Surah al-Nisa’: 141)
Kaedah fiqh menyebut:
التَّابِعُ تَابِعٌ
Maksudnya: “Hukum bagi perkara yang mengikut adalah hukum bagi yang diikut.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair oleh Imam al-Suyuti, hlm. 228)
Imam al-Nawawi berkata: “Sekiranya salah seorang daripada ibu bapa seorang kanak-kanak masuk Islam semenjak anak itu dalam kandungan pada fasa alaqah maka anak itu adalah Islam. Justeru, sekiranya dia baligh kemudian dia berperwatakan orang kafir, maka dia dianggap murtad.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm.177)
Oleh itu, bagi kanak-kanak yang berusia kurang 18 tahun dan belum aqil baligh maka pengislamannya adalah sah apabila salah seorang daripada ibu bapanya memeluk Islam, sekalipun dia tidak pernah mengucap dua kalimah syahadah.
Namun begitu sekiranya kanak-kanak tersebut sudah baligh, kemudian ibu bapa atau salah seorang daripada mereka memeluk, kanak-kanak terbabit tidak boleh dipaksa masuk Islam. Ini berdasarkan Firman Allah SWT:
لا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ
Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam).”
(Surah al-Baqarah: 256)
Al-Tabari dalam mentafsirkan ayat ini berkata: “Sebahagian ulama menyatakan sebab turun ayat ini ialah seorang lelaki Ansar yang memiliki anak-anak yang sudah dewasa yang beragama Kristian (atau Yahudi). Apabila dia memeluk Islam maka dia ingin memaksa anak-anak itu masuk Islam lalu Allah melarangnya agar anak-anak itu memilih sendiri untuk memeluk agama Islam.” Menurut al-Tabari, inilah tafsir yang benar. (Lihat Jami’ al-Bayan, 5/407-414)
Faktor paksaan boleh membatalkan pengislaman seseorang kerana seseorang yang memeluk Islam perlu dibuat secara sukarela. Jika tidak, maka dia boleh keluar daripada Islam tanpa dihukum murtad atau terus kekal di dalamnya.
Menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, paksaan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, iaitu:
- Paksaan al-mulji’ atau sempurna: iaitu seseorang dipaksa sehingga tiada langsung kemampuan dan pilihan, seperti diancam bunuh, kebinasaan sebahagian anggota tubuh, pukulan yang teruk sehingga boleh mengakibatkan kematian dan kebinasaan anggota, atau binasanya seluruh hartanya. Hukumnya: Paksaan ini menafikan redha dan merosakkan pilihan.
- Paksaan yang cacat atau tidak sempurna: Iaitu ancaman yang tidak memudaratkan nyawa atau anggota tubuh, seperti mengancam untuk pukulan ringan atau penjara, atau merosakkan sebahagian harta, atau mengenakan kezaliman seperti menafikan kenaikan pangkat, atau menurunkan pangkat. Hukumnya: menafikan redha tetapi tidak merosakkan pilihan.
Di sisi Imam al-Syafie, paksaan itu hanya ada satu jenis iaitu paksaan al-mulji’ (sempurna). Adapun selain daripada itu tidak dianggap sebagai paksaan.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/3064)
Difahami daripada sudut ini, bahawa sekiranya seseorang itu dipaksa tetapi paksaannya itu tidak mengancam lima tujuan Syarak untuk dipelihara daripada kebinasaan yang total pada agama, nyawa, keturunan, aqal atau harta, maka itu bukanlah paksaan.
Isu Kanak-Kanak dan Konteks Perundangan Malaysia
Daripada perspektif Islam, seorang kanak-kanak dianggap baligh apabila keluarnya air mani atau mencapai umur lima belas tahun Qamariyyah, dan tambahan, keluarnya darah haid bagi perempuan. (Lihat Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi, hlm. 171)
Manakala kanak-kanak yang berusia bawah 18 tahun tetapi sudah aqil baligh kemudian salah seorang daripada ibu bapanya memeluk Islam maka dia tidak mengikut masuk Islam kerana dia dikira sebagai dewasa yang mukallaf dan syahadahnya adalah diterima jika dia mengucap tanpa khilaf ulama. Dalam Islam, dia tidak dianggap sebagai kanak-kanak sebaliknya orang dewasa.
Dalam konteks perundangan di Malaysia, seorang kanak-kanak yang berusia bawah 18 tahun boleh dipaksa oleh ibu bapanya untuk memeluk Islam, sekalipun dia sudah baligh. Ini berdasarkan peruntukan dalam Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyatakan:
- “Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.
- Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.”
Syarat-Syarat Memeluk Islam Bagi kanak-Kanak
Berikut kami nyatakan syarat-syarat memeluk agama Islam bagi kanak-kanak:
Pertama: Hendaklah kanak-kanak itu mampu mengucapkan dua kalimah syahadah.
Seksyen 85 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan:
- Orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahasa Arab secara semunasabahnya jelas;
- pada masa mengucap dua kalimah itu, orang itu mestilah sedar bahawa ia bermakna “Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W ialah Pesuruh Allah”; dan
- pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.
Manakala Seksyen 95 (2) membenarkan mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan cara isyarat yang menunjukkan makna bagi seseorang yang tidak dapat bercakap boleh.
Kedua: Hendaklah kanak-kanak itu sudah sempurna akal.
Sebahagian ulama mensyaratkan umur 10, 9, 7 tahun kerana wajib disuruh untuk solat, bahkan 5 tahun. Pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbali ialah tidak disyaratkan umur tertentu. (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 2/910)
Manakala Seksyen 95 (1) memperuntukkan seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal, mencapai umur lapan belas tahun; atau jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya.
Kesimpulan
Berdasarkan keterangan di atas, dapat kami simpulkan bahawa:
- Kanak-kanak yang belum baligh memeluk Islam dengan mengikut Islamnya salah seorang daripada ibu bapanya; sama ada dia sudah mencapai umur mumayyiz atau belum, atau dia enggan.
- Kanak-kanak yang sudah baligh dianggap sudah dewasa. Justeru, sekiranya dia memeluk Islam, sah syahadahnya, sekalipun ditentang oleh ibu bapanya. Namun, berdasarkan perundangan di Malaysia, kanak-kanak berkenaan tidak boleh didaftarkan keislamannya. Begitu juga jika ibu bapanya masuk Islam, mereka tidak boleh memaksa anak tersebut memeluk Islam, tetapi berdasarkan perundangan Malaysia, kanak-kanak berkenaan boleh didaftarkan sebagai Islam kerana agama kanak-kanak berumur bawah 18 tahun ditentukan oleh ibu bapa atau penjaganya.
- Kanak-kanak yang sudah mumayyiz tetapi belum baligh yang memeluk Islam tidak dianggap sah pengislamannya sekalipun jika ibu bapanya yang bukan Islam menghalang, mengikut pendapat yang asah di dalam mazhab Syafie. Namun pendapat Jumhur mengesahkannya. Kami lebih cenderung kepada pendapat Jumhur kerana lebih baik untuk maslahat agama anak tersebut.
- Apabila seorang kanak-kanak bukan Islam yang sempurna akal dan mengucapkan dua kalimah syahadah, maka sahlah pengislamannya.
Semoga penjelasan di atas memberikan kefahaman kepada semua dalam memahami isu ini dengan sebaiknya. Amin.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H
[1] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kanak-kanak
[2] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=remaja