Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum jika seseorang memakaikan benang pada bayinya, disebabkan bayinya itu sering menangis? Hal ini kerana, ada segelintir ibu bapa yang memakaikan benang sama ada di kaki atau tangan pada bayi yang masih kecil, kerana percaya bahawa ia dapat menjaga bayi daripada makhluk halus, penyakit ain dan seumpamanya. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara dasarnya, Islam telah meletakkan dasar pegangan yang kukuh bahawa tiada apa yang boleh memberi manfaat dan mudarat melainkan Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ ۚ يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya“Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Yunus: 107)

Ibnu Kathir berkata: “Sesungguhnya kebaikan, keburukan, manfaat dan bahaya hanyalah milik Allah SWT sahaja. Tidak ada sesuatu pun menyekutui-Nya dalam hal yang demikian. Maka hanya Allah sahajalah yang berhak diibadahi. Tidak ada sekutu bagi-Nya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azhim, 7/407)

Memahami Maksud Tamimah dan Larangan Menggunakannya

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, kami terlebih dahulu ingin memberikan keterangan dan gambaran berhubung dengan tamimah. Ini kerana, perbuatan tersebut sebenarnya sedikit sebanyak ada hubungkaitnya dengan tamimah.

Tamimah bermaksud pelindung yang digantungkan kepada seseorang manusia.[3] Menurut al-Imam al-Khattabi, tamimah ialah benang-benang yang golongan Arab terdahulu menggantungkannya kepada anak-anak mereka dengan tujuan untuk mengelakkan penyakit ‘ain menurut sangkaan mereka. (Lihat Mukhtar al-Sihah, hlm. 33; Ma’alim al-Sunan, 4/204)

Ibn Abd Al-Barr pula mentakrifkan tamimah sebagai setiap benda yang digantung di bahagian leher daripada rantai kerana takutkan penyakit ‘ain atau bala-bala selainnya. (Lihat al-Tamhid, 17/162)

Berdasarkan beberapa takrifan berkenaan tamimah yang kami kongsikan di atas, maka dapat dilihat hubungkait di antara tamimah dengan benang yang diletakkan di bahagian kaki anak-anak kecil atau di pergelangan tangan mereka. Perkara yang perlu kita perhatikan adalah, apakah hukum syarak berkenaan perbuatan ini ?

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Isa bin Abd al-Rahman bin Abi Laila beliau berkata: Aku pergi menziarahi Abu Ma’bad Al-Juhani dan aku mendapati badannya kemerah-merahan. Lalu aku berkata kepadanya: Tidakkah kamu menggantungkan sesuatu ? Maka beliau menjawab:

الْمَوْتُ أَقْرَبُ مِنْ ذَلِكَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Mati itu jauh lebih baik dari perbuatan tersebut. Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang menggantung sesuatu nescaya dia akan diserahkan kepadanya (benda yang digantung).

Riwayat al-Tirmizi (2072)

Menurut Ibn Al-Athir – seperti yang dinukilkan oleh Mulla Ali al-Qari, – sesiapa yang menggantungkan sesuatu ke atas dirinya daripada pelindung-pelindung, tamimah, dan yang seumpama dengan keduanya dengan beriktikad bahawa kesemua itu mendatangkan manfaat atau menghalang kemudaratan nescaya dia akan diserahkan kepadanya. Iaitu dia akan dibiarkan bersama benda yang dijadikan pelindung itu dan akan ditinggalkan bersamanya. (Lihat Mirqaat al-Mafatih, 7/2882)

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً فَلَا أَتَمَّ اللهُ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menggantungkan tamimah maka Allah tidak akan menyempurnakan buatnya.”

Riwayat Ibn Hibban (6086)

Imam Ibn Abd Al-Barr Al-Maliki apabila mengulas berkenaan isu ini berkata: Apabila seseorang itu beri’tikad bahawa benda yang dia gantung itu dapat menolak penyakit ‘ain maka sesungguhnya dia telah menyangka yang ia dapat menolak takdir (ketentuan).

Sesungguhnya Islam melarang keras sebarang penggunaan tamimah atau tangkal ini. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

Maksudnya“Sesungguhnya jampi-jampi, tama’im (tangkal-tangkal) dan ‘tiwalah’ itu adalah syirik.”

Riwayat Abu Dawud (3883), Ibn Majah (3530) dan Ahmad (3615)

Imam al-Munawi berkata: Menggunakan tangkal dianggap syirik kerana bererti seseorang itu meyakini ia dapat memberi pengaruh (ta’thir) dan ini boleh membawa syirik kepada Allah.

Al-Tibi pula berkata: Maksud syirik pada hadis di atas adalah apabila seseorang meyakini bahawa ia (jampi, tangkal dan tiwalah) mempunyai kekuatan dan mampu memberi kesan (dalam mempengaruhi/mengubah sesuatu) dan perkara tersebut adalah jelas bertentangan dengan tawakkal kepada Allah. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/121)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً فَلاَ أَتَمَّ اللَّهُ لَهُ وَمَنْ عَلَّقَ وَدَعَةً فَلاَ وَدَعَ اللَّهُ لَهُ

Maksudnya“Siapa yang menggantungkan tamimah (tangkal), nescaya Allah SWT tidak akan selamatkannya dari tangkal itu. Dan siapa yang memakai azimat, nescaya Allah SWT tidak sempurnakan azimat itu.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (20090), al-Hakim dalam al-Mustadrak (7501) dan Ibn Hibban (6096)

Demikian juga terdapat sebuah riwayat daripada ‘Imran Bin Husain R.anh bahawa Nabi SAW pada suatu hari melihat seorang lelaki yang memakai gelang di tangannya. Lalu Nabi SAW bersabda:

مَا هَذِهِ الْحَلْقَةُ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ هَذِهِ مِنَ الْوَاهِنَةِ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ انْزِعْهَا فَإِنَّهَا لاَ تَزِيدُكَ إِلاَّ وَهْنًا

Maksudnya: Gelang apakah ini? Maka lelaki itu pun menjawab: Ini disebabkan penyakit. Lalu baginda bersabda: Tanggalkanlah ia kerana sesungguhnya ia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan.

Riwayat Ibn Majah (3531)

Justeru, berdasarkan hadis di atas, jelas bahawa Nabi SAW memerintahkan supaya ditinggalkan perbuatan memakai gelang dengan tujuan dan keyakinan bahawa ia dapat menyembuhkan, kerana ia sama sekali tidak dapat memberi manfaat mahupun mengelakkan kemudaratan.

Syeikh ‘Atiyyah Saqar dalam fatwanya pernah menyebut: “Sesiapa yang mempercayai sesuatu khurafat seperti kayu kokka (sebagai tangkal pelindung yang) dapat menghindarkan syaitan dan iblis, memurahkan rezeki dan menyembuhkan penyakit, ia adalah pelaku syirik kerana segala itu adalah hak Allah SWT semata-mata.”

Penutup

Berdasarkan nas dan hujah yang telah dikemukakan di atas, kami berpandangan bahawa hukum pemakaian benang atau tali di tangan atau kaki bayi dengan keyakinan bahawa ia dapat mendatangkan manfaat atau mengelakkan kemudaratan adalah haram. Ini kerana, perbuatan ini bercanggahan dengan akidah yang sejahtera sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 3 Mac 2022 bersamaan 29 Rejab 1443H

Leave a Reply