Soalan
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah dibolehkan untuk menjama’kan solat bagi petugas yang ditugaskan untuk mengira undi di dalam pilihan raya?
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Solat lima waktu sama Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak pada asalnya dilakukan pada waktunya. Ini berdasarkan firman Allah SWT :
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
(Surah Al-Nisa’: 103)
Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa Allah SWT menjadikan waktu solat itu ada waktu yang khusus untuk ditunaikan. Ini bermakna bahawa hukum Allah ini adalah kefardhuan yang mesti dilaksanakan dalam tempoh yang tertentu dengan segera yang mungkin. Antara hikmahnya ialah jika tiada tempoh waktu yang khusus maka manusia pasti tidak akan melakukannya ataupun melakukan dalam keadaan cuai dan leka. (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 5/143-144)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ
Maksudnya: “Dan dirikanlah sembahyang, pada dua bahagian siang, dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.”
(Surah Hud: 114)
Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyebut bahagian pertama siang itu bermaksud solat fardu subuh, dan bahagian kedua siang itu merangkumi solat fardu zuhur dan asar. Manakala solat malam pula merangkumi solat fardu maghrib dan isyak. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 9/108-109)
Hukum Menjama’kan solat
Di antara rukhsah yang Allah berikan kepada umat ini adalah dibenarkan untuk menjama’kan di antara dua solat dalam keadaan-keadaan yang tertentu seperti musafir, hujan, sakit dan seumpamanya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT :
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “…Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”
(Surah Al-Hajj: 78)
Jama’ bermaksud menggabungkan dua solat di dalam satu waktu. Iaitu menggabung solat zohor dengan solat solat asar dan solat maghrib dengan solat Isyak. Imam Al-Nawawi menyebut : “ Mazhab kami (mazhab al-Syafi’i) mengharuskan jama’ di antara solat Zohor dan Asar pada waktu yang dia suka dan juga solat Maghrib dengan Solat Isyak. Ini juga merupakan ijmak.” (Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/249)
Pada asasnya , di dalam mazhab Al-Syafi’i, menjama’kan di antara dua solat diharuskan atas tiga sebab iaitu:
- Musafir
- Hujan
- Ketika Hari Arafah (Lihat Minhaj Al-Tolibin Wa ‘Umdah Al-Muftin, 1/ 417-423)
Inilah pandangan yang muktamad di dalam mazhab al-Syafi’i berkenaan sebab-sebab yang membolehkan untuk menjama’kan solat. Namun begitu, sebahagian daripada ulama bermazhab al-Syafi’i dan sebahagian fuqaha mengharuskan untuk menjama’kan solat selain dari sebab-sebab yang disebutkan dengan sebab ada hajat dan keperluan.
Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma, katanya :
جَمَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ ، وَبَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالعِشَاءِ بِالمَدِينَةِ مِنْ غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ مَطَرٍ ، قَالَ : فَقِيلَ لاِبْنِ عَبَّاسٍ : مَا أَرَادَ بِذَلِكَ ؟ قَالَ : أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ
Maksudnya: “ Rasulullah SAW menjama’kan di antara solat Zohor dengan Asar dan di antara solat Maghrib dengan Isyak di Madinah tanpa ada kegawatan dan bukan kerana hujan. Lalu ditanya kepada Ibnu Abbas : Apa tujuan Nabi buat sedemikian rupa?. Ibnu Abbas berkata : Baginda tidak ingin menyusahkan umatnya.”
Riwayat Al-Tirmizi (187), dan al-Nasai’ie (1574)
Al-Mubarakfuri menyatakan: sesiapa yang ada keuzuran, maka diharuskan untuk dia menjama’kan solat. Manakala bagi mereka yang ada keuzuran akan tetapi tidak mahu menjama’kan solat sehingga meninggalkan solat maka dia berdosa tanpa syak lagi. (Lihat Tuhfah Al-Ahwazi Syarah Jami’ Al-Tirmizi, 2/205)
Maka dapat difahami daripada hadith tersebut bahawa jika terdapat sebab keuzuran, kegawatan dan terdapat urusan yang mendesak maka ia lebih utama untuk mengambil rukhsah menjama’kan solat.
Pendapat Ulama Tentang Solat Jama’ Kerana Sakit Dan Uzur
Imam Al-Nawawi menukilkan pandangan sebahagian ulama bermazhab Al-Syafi’i seperti Al-Qadhi Husain , Abu Sulaiman Al-Khattabi, Al-Ruyani, Abu Qasim Al-Rafi’i dan lain-lain. Mereka menyatakan bahawa harus untuk menjama’kan solat kerana keadaan yang gawat, ketakutan dan sakit. Boleh dilakukan sama ada secara taqdim dan ta’khir. Keluasan ini diberikan adalah kerana ingin memberikan keringanan kepada mereka-mereka yang terlibat atau ditimpa sebab-sebab tersebut. Bahkan keadaan seperti gawat dan takut adalah lebih utama daripada hujan. (Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/263)
Imam Abdullah Al-Kharasyi Al-Maliki menyebut bahawa sebab jama’ bukan sahaja musafir, akan tetapi apa sahaja yang mendatangkan kepayahan untuk berwuduk dan solat pada waktunya. Bahkan kepayahan yang dilalui oleh orang yang berada di dalam keadaan yang gawat lebih payah daripada kepayahan yang ada pada musafir dan juga hujan. (Lihat Syarh Mukhtasar Khalil, 5/120)
Bagi mazhab Hanbali, sebab untuk mengharuskan jama’ solat adalah lebih luas lagi. Sheikh Dr Wahbah Al-Zuhaili menyenaraikan ada 8 sebab yang mengharuskan jama’ di sisi mazhab Hanbali. Di antara sebab tersebut ialah keuzuran dan sesiapa yang terlibat dengan sesuatu perkara yang penting yang mana jika tidak dijama’kan solat akan menyebabkan kemudaratan. (Lihat Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/510)
Ibnu Qudamah mengatakan: “Kami telah bersepakat bahawa solat tidak boleh dijama’kan melainkan ada keuzuran” (Lihat Al-Syarh Al-Kabir ‘Ala Al-Muqni’, 2/116)
Beliau menyebutkan lagi bahawa harus untuk menjama’kan solat jika ada keperluan yang mendesak dan ia perlulah tidak dianggap sebagai adat. Beliau menyandarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.Anhuma. (Lihat al-Mughni, 2/121)
Sheikh Abd al-Rahman Al-‘Asimi Al-Najdi menyebut, harus untuk menjama’kan solat kerana ada keuzuran dan keperluan disebabkan ada tugasan penting yang tidak boleh ditinggalkan dan jika ditinggalkan akan mendatangkan mudharat. (Lihat Hasyiah Al-Raudh Al-Murbi’, 2/401)
Dalam mazhab al-Syafie, pendapat yang masyhur lagi muktamad bahawa jama’ hanya pada safar yang jauh, ketika hujan dan ketika Hari Arafah. Adapun bagi orang yang sakit maka tidak boleh menjama’kan solat. Hal ini kerana faktor sakit adalah suatu yang tidak pasti sedangkan penetapan waktu solat adalah suatu yang thabit berdasarkan nas. Namun begitu Imam al-Nawawi dan beberapa ulama Syafi’iyyah yang lain seperti al-Qadhi Hussein, Ibn Suraij, al-Ruyani, al-Mawardi, al-Darimi, dan al-Mutawalli menyokong pendapat yang membenarkannya. (Lihat Taqrirat al-Sadidah, hlm. 322)
Para ulama ini menyokong pendapat daripada mazhab Imam Ahmad bin Hanbal yang membenarkan jama’ sekiranya terdapat keuzuran atau masyaqqah (kesukaran). Ibn Qudamah menyatakan dalam al-Mughni:
“Tidak diharuskan jama’ selain daripada apa yang kami telah sebutkan (seperti musafir, tanah berlumpur, angin kuat, hujan, dan sakit). Ibn Syubrumah berkata: Dibenarkan sekiranya ada hajat atau suatu urusan, selagi mana tidak dijadikan sebagai adat, berdasarkan hadith Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menjama’kan solat Zuhur dengan Asar, Maghrib dengan Isya’ tanpa sebab takut atau hujan. Ditanya Ibn Abbas mengapa Nabi berbuat demikian. Beliau menjawab kerana baginda tidak ingin memberatkan umatnya. Di sisi kami (Mazhab Ahmad dan Jumhur ulama), hukum diambilkira daripada umum khabar-khabar syarak yang menentukan waktu solat. Hadith Ibn Abbas ini kami tanggungkan ia ketika sakit, dan diharuskan untuk mengambil rukhsah ini orang yang mengalami kesukaran seperti ibu yang menyusukan anak, orang tua yang lemah dan mereka yang seumpama mereka berdua yakni mereka yang sukar untuk tidak meninggalkan jama’. Hadith berkenaan juga memiliki kemungkinan bahawa (jika dijama’kan tanpa uzur) adalah dengan solat waktu pertama dilewatkan (tanpa melangkaui waktunya) dan solat kedua diawalkan perlaksanaannya pada awal waktu. Amr bin Dinar meriwayatkan hadith ini daripada Jabir bin Zaid daripada Ibn Abbas. Amr bertanya kepada Jabir: Wahai Abu al-Sya’tha’! Aku berpendapat bahawa Nabi melewatkan zuhur dan mempercepatkan asar, melewatkan Maghrib dan menyegerakan Isyak. Berkata Jabir: Aku juga berpendapat sedemikian.” (Lihat al-Mughni, 2/205-206)
Justeru, di sisi ulama salaf, sebahagian mereka berpendapat bahawa boleh seseorang sakit itu menjama’kan solat. Ini termasuk juga mereka yang memiliki situasi yang sama seperti orang sakit yang mengalami kesukaran untuk menunaikan solat pada waktunya sehingga diberikan rukhsah untuk menjama’kan solat.
Proses Pengiraan Undi Pilihan Raya di Malaysia
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, Selepas proses pengundian tamat dan peti undi telah dimeteraikan, proses pengiraan kertas undi pula akan diteruskan. Proses pengiraan undi akan dilaksanakan dengan kehadiran individu-individu yang dibenarkan. Jika terdapat permintaan daripada calon untuk mengulang kira undi, ulang kira akan dilakukan hanya dalam keadaan-keadaan tertentu dan dibenarkan.[1]
Begitu juga, sebaik saja urusan pengundian selesai, Ketua Tempat Mengundi akan membuat pengiraan kertas undi. Keputusan pengiraan undi ini akan dimasukkan ke dalam Borang 14. Semua Borang 14 ini akan dibawa kepada Pegawai Pengurus untuk dibuat Penjumlahan Rasmi Undi. Pegawai Pengurus setelah menyemak Borang 14 ini dan jika didapati betul beliau akan mengumumkan kepada orang ramai satu persatu dan jika terdapat keraguan beliau akan menyemak semula dengan Borang 13 Penyata Kertas Undi. Apabila semua keputusan Borang 14 – Penyata pengundian Selepas Pengiraan Undi dan Borang 15 – Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Kertas Undi Pos diterima dan diumumkan, beliau akan menjumlahkan keseluruhan keputusan untuk menentukan pemenangnya.[2]
Ejen Mengira Undi adalah seseorang yang dilantik oleh Calon atau Ejen Pilihan Raya bagi mewakili Calon untuk memerhatikan Proses Pengiraan Undi di dalam Tempat Mengira Undi berjalan mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan. (Lihat Subseksyen 14(1) (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954)
Ejen Mengira Undi hendaklah memerhati peti undi yang mengandungi kertas undi yang digunakan semasa pengundian adalah termeterai dengan sempurna sebelum ianya dibuka oleh Ketua Tempat Mengundi. Ejen Mengira Undi perlu memerhati prosedur yang diambil oleh Ketua Tempat Mengundi bagi mengesahkan bilangan kertas undi di dalam peti undi iaitu untuk menentukan jumlah kertas undi yang terdapat di dalam peti undi adalah sama atau kurang bilangannya. (Lihat Panduan Untuk Ejen Tempat Mengundi Dan Ejen Mengira, hlm. 10-11)
Menurut Akta Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 [P.U. (A) 386/1981] Sebagaimana pada 1 Disember 2016[3], Dalam menentukan keputusan yang adil, terdapat 10 prosedur proses pengiraan undi yang mesti dipatuhi:
- Mengisi Borang 13 (Kertas Undi). Borang perlu diisi dengan lengkap dan digunakan semasa mengira undi. 4 Perkara ditekankan dalam borang ini ialah:
- Bilangan kertas undi yang diterima dari pusat mengundi
- Bilangan kertas undi yang dikeluarkan kepada pengundi
- Bilangan kertas undi rosak (contohnya kertas undi yang sudah diceraikan daripada buku undi tetapi tidak digunakan/tidak dimasukkan ke dalam peti undi)
- Bilangan kertas undi tidak digunakan dan jumlah kertas undi yang sepatutnya dimasukkan ke dalam peti undi
- Pihak yang dibenarkan derada di tempat mengira undi adalah:
- Ahli panel & Pegawai SPR
- Pegawai Pengurus, Ketua Tempat Mengundi & Petugas Pilihan Raya
- Calon pilihan raya, ejen pilihan raya & Ejen Mengira Undi setiap calon
- Mereka yang memiliki kebenaran bertulis dari SPR
- Proses mengira undi dimulakan. Kertas undi dikeluarkan dan diletakkan ke dalam dulang ‘Undi Belum Kira’. Kertas undi dikira & diikat 10 helai bagi setiap satu ikatani. Kertas undi dikira dalam jumlah sepuluh helai mengikut ikatan dan ditandakan dalam bilangan 100 pada borang SPR 757 (Borang catatan bilangan pengesahan kertas undi)
- Perbandingan bilangan kertas undi yang terdapat dalam dulang ‘Undi Belum Kira’ dengan Penyata Borang 13
- Kerani Mengira Undi memaparkan setiap helaian kertas undi kepada Ejen Mengira Undi sambil meneriakkan simbol calon – Jika tiada bantahan, kertas undi dimasukkan ke dalam dulang calon yang berkaitan
- Jika terdapat bantahan Ejen Mengira Undi bagi pihak calon, kertas undi dimasukkan ke dalam dulang ‘undi ragu’
- Ketua Tempat Mengundi menyatakan keputusan kertas ‘undi ragu’ dan pengiraan semula kertas undi setiap calon dilakukan
- Ejen Mengira Undi berhak memohon Ketua Tempat Mengundi agar melakukan proses ulang kira jika terdapat perbezaan 4% atau ke bawah antara bilangan undi calon terbanyak dengan calon kedua terbanyak, tidak termasuk undi yang ditolak.
- Hanya 1 kali permohonan ulang kira undi bagi Ejen Mengira Undi calon dibenarkan – namun undang-undang pilihan raya masih boleh memberi kuasa kepada Ketua Tempat Mengundi agar melakukan ulang kira undi lebih daripada sekali untuk memuaskan hati pihak pemohon.
- Selepas pengiraan undi, Ketua Tempat Mengundi perlu:
- Menguruskan penyimpanan peralatan dan dokumen berkaitan ke dalam sampul
- Membawa peti undi, penyata pengundian, Borang 14 dan peralatan mengundi ke pusat penjumlahan rasmi undi
Rukhsah Jama’ Solat Disebabkan terlibat dengan pengiraan Undi
Dalam isu ini, keringanan untuk menjama’kan solat diberikan kepada Ejen Mengira Undi sahaja, dan tidak kepada petugas yang lain seperti:
- Agen tempat mengundi. Hal ini kerana mereka mempunyai masa yang panjang untuk bertukar ganti dengan rakan yang lain untuk melakukan solat.
- Petugas Suruhanjaya Pilihanraya juga tiada sebab untuk menjama’kan solat kerana mereka mempunyai jadual aturan kerja yang membolehkan untuk mereka solat pada waktunya.
- Perayu Undi di luar pusat mengundi juga langsung tiada alasan untuk menjama’kan solat kerana mereka boleh berhenti merayu undi untuk mereka melakukan solat.
Manakala bagi ejen mengira undi, mereka sangat terikat dengan masa yang tidak membolehkan mereka meninggalkan tempat kiraan undi, hal ini kerana:
- Kebiasaannya mereka akan mula masuk ke dalam tempat pembuangan undi yang juga tempat yang akan dilakukan pengiraan undi antara jam 5.00 hingga 5.30 petang. Hal ini kerana Proses pengiraan undi bagi pilihan raya kebiasaannya akan bermula jam 5.30 petang setelah kesemua pusat pengundian ditutup pada pukul 5 petang di seluruh negara.[4] Jika tiada sebarang permasalahan, kebiasaan proses pengiraan undi akan tamat sekitar jam 6.30 petang hingga 7.00 petang. Namun bagi tempat yang ramai bilangan pengundinya, dan juga terdapat banyak isu-isu kesamaran yang perlu dibincangkan oleh wakil-wakil calon dan juga ejen mengira undi, maka kebiasaan proses mengira undi tersebut akan melangkau sehingga masuk waktu Maghrib, bahkan boleh terjadi sehingga melangkau pada waktu isyak.
- Kedudukan dan kewujudan mereka adalah penting sepanjang proses pengiraan undi dilakukan di tempat mengira undi dilakukan untuk memastikan ketelusan perjalanan pilihan raya. Sekiranya Ejen Mengira Undi ini tiada, pelbagai fitnah akan berlaku seperti penipuan yang mungkin berlaku dan timbulnya syak wasangka dalam proses pengiraan undi tersebut. Justeru, mereka yang ada keringanan untuk menjama’kan solat maghrib dan solat isyak, akan berkelapangan untuk menjalankan tugas pengiraan undi.
Pentingnya Urusan Kepimpinan Negara Sebagaimana Kisah Sahabat Melantik Abu Bakar RA sebagai Khalifah Rasulullah SAW
Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri di dalam al-Rahiq al-Makhtum mengisahkan berkenaan kisah para sahabat dalam melantik Khalifah Rasulullah SAW setelah kewafatan baginda, sedangkan jasad baginda SAW masih lagi belum diuruskan dan dikebumikan, katanya:
“Telah timbul perselisihan pendapat di antara para sahabat mengenai persoalan khalifah sebelum urusan mengkafankan Rasulullah SAW selesai. Berlakulah perbahasan dan perdebatan di antara kaum Muhajirin dan al-Ansar di halaman rumah Bani Sa’idah yang mana akhirnya mereka semua bersetuju melantik Abu Bakar RA sebagai khalifah Rasulullah SAW. Perbahasan ini memakan masa sehingga ke akhir hari Isnin, malah sehingga masuk ke malam berikut menyebabkan orang ramai turut sibuk. Pengkebumian jasad Baginda SAW tertangguh hingga ke malam Selasa malah hingga menjelang subuh hari berikut, di mana jasad Rasulullah yang penuh berkat itu terletak di tempat tidurnya, tertutup dengan kain menyebabkan ahli keluarga Baginda menutup pintu rumah. Pada hari Selasa barulah diuruskan pemandian jasad Rasulullah SAW tanpa membuka bajunya, mereka yang bertugas memandikan Baginda ialah al-Abbas, Ali, al-Fadhl dan Qatham (kedua-dua anak al-Abbas), Syaqran(hamba Rasulullah), Usamah bin Zaid dan Aus bin Khauli. Abbas, al-Fadhl dan Qatham membalikkan badan Rasulullah, Usamah dan Syaqran menjiruskan air, Ali menggosok baginda, dan Aus pula menyandarkan Rasulullah ke dadanya. Kemudian mereka semua mengkafankan jasad Rasulullah SAW dengan tiga lapis kain kafan berwarna putih tenunan dari Yaman, tidak berbaju atau berserban. Dikafannya jasad Rasulullah SAW ke dalam ketiga-tiga lapisan kain kafan tadi dengan cermat dan penuh hemah. Pada saat pengebumian sekali lagi kaum muslimin berbeza pandangan mengenai tempat persemadian baginda, namun kesudahannya Abu Bakar bangun dan berkata: “Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW pernah berkata: Tidak dimatikan mana-mana nabi kecuali di tempat itulah dia disemadikan”. Maka Abu Talhah pun mengangkat tempat tidur Rasulullah SAW dan digalinya lubang sebagai kubur berliang lahad. Sebelum itu kaum muslimin masuk memenuhi bilik Rasulullah SAW dengan bertali arus sepuluh orang, kemudian berganti sepuluh orang yang lain, menunaikan solat jenazah, masing-masing tanpa imam. Pada mulanya, Baginda disembahyangkan oleh keluarga Baginda, kemudian Muhajirin diikuti oleh al-Ansar. Kaum wanita bersembahyang selepas kaum lelaki diakhiri dengan lapisan kanak-kanak. Kesemuanya ini diselesaikan pada hari selasa sehari sehingga ke malam Rabu.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 432-433)
Kata Aisyah R.Anha:
مَا عَلِمْنَا بِدَفْنِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى سَمِعْنَا صَوْتَ الْمَسَاحِي مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ لَيْلَةَ الأَرْبِعَاءِ
Maksudnya: “Kami bagaikan tidak menyedari pengebumian Rasulullah SAW sehingga kami mendengar suara cangkul menggali tanah di tengah malam Rabu.”
Riwayat Ahmad (26349), al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra (3/409), Abd al-Razzaq (6551), Ibn Abi Syaibah (11961), dan al-Bazzar (292)
Ibn Abd al-Barr di dalam al-Tamhid (24/369) menyatakan sanad hadith ini sahih, manakala Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad (26349) menyatakan hadith ini boleh jadi Hasan.
Berdasarkan hal ini, jelas menunjukkan bahawa lantikan khalifah untuk menggantikan Rasulullah SAW merupakan isu yang besar sehingga menjadi perbahasan yang panjang dalam kalangan sahabat. Bahkan disebabkan hal ini, menyebabkan urusan pengebumian jasad Nabi SAW yang mulia tertangguh.
Justeru, dalam isu pilihan raya, ia juga melibatkan isu yang besar, iaitu perlantikan pemimpin yang akan menguruskan harta, hal ehwal negara dan rakyat. Oleh itu, isu pemilihan pemimpin dalam hal ini merupakan isu yang tidak boleh dipandang ringan terutamanya ketika proses pengiraan undi yang berkemungkinan akan berlakunya isu penyelewengan dalam kiraan undi tersebut.
Sekiranya menjama’kan solat tidak dibolehkan, maka banyak perkara yang boleh terjadi sekiranya ketiadaan Ejen Mengira Undi disebabkan mereka pergi menunaikan solat, maka ia boleh menyebabkan mafsadah dan kerosakan yang lebih besar seperti kemungkinan berlaku penipuan dan prasangka dalam ketelusan kiraan undi tersebut. Perkara ini juga adalah berdasarkan kepada hadith Nabi SAW yang mengharuskan jama’ solat ketika hujan. Hujan adalah melibatkan permasalahan yang bersifat kecil, maka Rasulullah SAW membenarkan untuk melakukan solak jama’.
Bahkan, Rasulullah SAW pernah menjama’kan solat tanpa ada kegawatan dan juga hujan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma, katanya :
جَمَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ ، وَبَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالعِشَاءِ بِالمَدِينَةِ مِنْ غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ مَطَرٍ ، قَالَ : فَقِيلَ لاِبْنِ عَبَّاسٍ : مَا أَرَادَ بِذَلِكَ ؟ قَالَ : أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ
Maksudnya: “ Rasulullah SAW menjama’kan di antara solat Zohor dengan Asar dan di antara solat Maghrib dengan Isyak di Madinah tanpa ada kegawatan dan bukan kerana hujan. Lalu ditanya kepada Ibnu Abbas : Apa tujuan Nabi buat sedemikian rupa?. Ibnu Abbas berkata : Baginda tidak ingin menyusahkan umatnya.”
Riwayat Al-Tirmizi (187) dan al-Nasai’ie (1574)
Imam al-Nawawi menyebutkan: Sebahagian para ulama’ menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan solat jama’ tersebut dilakukan berkemungkinan disebabkan oleh keuzuran seperti sakit ataupun seumpamanya yang menunjukkan situasi kesukaran. Ini merupakan padangan Imam Ahmad bin Hanbal dan Al-Qadi Husain dalam kalangan ulama’ kami (mazhab al-Syafi’e). Pandangan ini juga dipilih oleh Al-Khattabi, Al-Mutawali dan Al-Ruyani dalam kalangan ulama’ kami. Ia juga adalah pandangan yang terpilih dalam penafsiran mengenai makna zahir hadith dan tindakan Ibn Abbas R.Anhuma dan persetujuan daripada Abu Hurairah RA. Hal ini kerana kesusahan di sebabkan oleh keuzuran atau kesakitan lebih berat daripada hujan. Sebahagian ulama’ juga membolehkan menjama’kan solat sekiranya terdapat hajat dan keperluan bagi mereka yang bukan pada adat kebiasaannya bagi mereka menjama’kan solat, ini merupakan pandangan Ibn Sirin dan Asyhab daripada kalangan ulama’ mazhab Malik. Al-Khattabi meriwayatkannya daripada al-Qaffal dan al-Shashi al-Kabir daripada kalangan ulama’ al-Syafi’i, dan daripada Abu Ishaq al-Marwazi daripada sekumpulan ahli hadith. Ibn al-Munzir memilihnya berdasarkan kata-kata Ibn Abbas yang jelas: Baginda SAW tidak mahu menyusahkan umatnya, maka baginda tidak meletakkan sebab jama’ tersebut disebabkan oleh sakit atau selainnya. Wallahu’alam. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/218)
Hal ini jelas menunjukkan bahawa jika terdapat situasi sukar yang tidak dapat dielakkan yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat menunaikan solat pada waktunya, maka dibenarkan untuk seseorang itu menjama’kan solat.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami berpendapat harus hukum bagi seorang yang terlibat dalam pengiraan undi pilihan raya untuk menjama’kan solatnya atas alasan kesukaran untuk meninggalkan tempat mengira undi di dalam pilihan raya. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh yang muktabar:
الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ
Maksudnya: “Kesukaran itu mendatangkan kemudahan pada hukum.” (Lihat Asybah wa al-Nazhair, hlm. 76)
Namun begitu, rukhsah terbabit perlulah diikat dengan dhawabit, atau prinsip-prinsip seperti berikut:
- Rukhsah ini hanya terpakai kepada yang terlibat dengan pengiraan undi yang tidak ada peluang langsung untuk meninggalkan tempat kiraan undi sepanjang waktu solat tersebut. Sekiranya kiraan undi tersebut selesai sebelum waktu seterusnya masuk iaitu sebelum masuknya waktu isyak, maka rukhsah untuk menjama’kan solat ini tidak terpakai dalam situasi ini.
- Ancaman berlakunya penipuan dan syak wasangka. Sekiranya seseorang yang terlibat dengan pengiraan undi itu meninggalkan tempat mengira undi itu, maka tindakannya itu akan menyebabkan berlakunya kemungkinan penipuan dan penyelewengan dalam kiraan undi tersebut.
- Tiada pengganti. Sekiranya terdapat orang lain yang terlibat dengan pengiraan undi yang boleh menggantikannya, maka hendaklah digantikan tempatnya pada waktu solat itu dan dia tidak boleh menjama’kan solat.
Justeru, harus bagi seorang yang terlibat dengan pengiraan undi untuk bertaqlid kepada para ulama yang membenarkan jama’ solat kerana kesukaran.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahu a`lam
Bertarikh: 11 Mac 2022 bersamaan 8 Syaaban 1443H
[1] Lihat https://www.spr.gov.my/ms/pusat-media/galeri-video/info-pru-14-pengiraan-kertas-undi
[2] Lihat https://www.spr.gov.my/ms/pilihan-raya/penjalanan-pilihan-raya/umum
[3] Lihat https://www.spr.gov.my/sites/default/files/perundangan/pua-386-1981-bm.pdf
[4] Lihat https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2013/05/05/proses-pengiraan-undi-pru13–bermula-sejak–530-petang