Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah  hukum menangguhkan puasa qadha’ sehingga ke bulan Sya’ban?

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Puasa qadha’ Ramadhan ialah puasa yang dilakukan untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan ramadhan sama ada secara uzur ataupun dengan sengaja. Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.

Manakala orang yang meninggal dunia sebelum mengqadha’ puasanya, sedangkan dia mampu melakukannya, walinya sunat berpuasa bagi pihaknya, menggantikan puasanya yang tertinggal. Maksud wali dalam perkara ini ialah keluarga si mati. Hal Ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya:Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan dia masih mempunyai kewajipan berpuasa, walinyalah berpuasa bagi pihaknya.”

Riwayat al-Bukhari (1851) dan Muslim (1147)

Manakala, orang yang sangat tua dan tidak berupaya berpuasa, wajib baginya untuk bersedekah setiap hari secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya sebanyak hari yang dia tidak berpuasa. Hal ini berdasarkan riwayat, daripada Ata’ yang mendengar Ibn Abbas R.Anhuma membaca al-Quran:

وَعَلَى الَّذِيْنَ يُطِيْقُوْنَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِيْنٍۗ

Maksudnya: “Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah, iaitu memberi makan orang miskin.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ، هُوَ الشَّيخُ الْكَبِيرُ، وَالْمَرْأَةُ الْكَبِيرَةُ، لاَ يَسْتَطِيعَانِ أَنْ يَصُومَا، فَيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

Maksudnya:Ayat tersebut tidak dimansukhkan. Ia ditujukan kepada lelaki dan perempuan yang sangat tua dan tidak terdaya berpuasa. Mereka hendaklah memberi makan seorang miskin sebanyak hari dia tidak berpuasa.

Riwayat al-Bukhari (4235)

Begitu juga kepada orang sakit yang tiada harapan sembuh, harus berbuka dan wajib bersedekah secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya bagi hari-hari dia tidak berpuasa, sebagaimana orang tua tidak berdaya berpuasa. Manakala perempuan yang mengandung dan menyusui bayi berbuka sama ada kerana bimbangkan kesihatan dirinya atau kesihatan bayinya, Jika dia berbuka, dia wajib qadha’ sahaja sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Anas al-Ka’biy RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ، وَعَنِ الْحَامِلِ أَوِ الْمُرْضِعِ الصَّوْمَ

Maksudnya:Allah SWT meringankan puasa dan memendekkan solat bagi orang yang bermusafir, sementara perempuan mengandung dan yang menyusukan anak, Allah meringankan puasanya sahaja.

Riwayat al-Tirmizi (715) dan Abu Dawud (2408)

Sesiapa yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, dia telah berdosa dan wajib mengqadha’nya (menggantikannya) sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنِ اسْتَقَاءَ فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ

Maksudnya: “Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah mengqadha’nya”

Riwayat Abu Dawud (2380), al-Tirmizi (720), al-Nasa’ie (3130) di dalam al-Sunan al-Kubra, Ibn Majah (1676), dan Ahmad (10463)

Hal ini kerana mereka yang meninggalkan puasa dengan keuzuran seperti sakit dan musafir pun diwajibkan ke atas mereka menggantikannya semula, maka lebih-lebih lagi lah (min bab al-Aula) bagi mereka yang sengaja berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran. Begitu juga, mereka perlu menahan diri daripada makan dan minum (selepas berbuka dengan sengaja) sehinggalah waktu berbuka serta wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/200)

Menangguhkan Qadha’ Puasa Sehingga Ke Bulan Syaaban

Para ulama’ keseluruhannya bersepakat dalam menyatakan tentang kewajiban Qadha’ puasa ramadhan yang ditinggalkan bagi orang yang mampu untuk mengqadha’kannya. Mereka wajib mengqadha’kannya sebelum tibanya ramadhan yang seterusnya. Hal ini berdasarkan hadith Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصِّيَامُ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ، فَمَا أَقْضِيَهُ حَتَّى يَجِيْءَ شَعْبَانُ

Maksudnya: “Aku masih berhutang puasa Ramadan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Sya’ban tiba.”

Riwayat al-Nasa’ie (2319) dan Ibn Majah (1669)

Hadith ini menunjukkan perlunya qadha’ puasa ramadhan sebelum tiba ramadhan seterusnya. Sekiranya dilambatkan puasa qadha’ tanpa keuzuran sehingga bertemu ramadhan seterusnya, maka para ulama’ daripada mazhab syafie menyatakan bahawa wajib menqadha’kan puasa dan membayar fidyah. Pandangan ini disokong oleh Ibnu Umar, Abu hurairah, Mujahid, al-Tahuri, Imam Malik, al-Auzaie dan Ishak. Hal ini kerana tindakannya mengambil ringan dalam melakukan perkara wajib, sedangkan dia berkemampuan untuk melakukannya. (Lihat al-Mughni, 3/153)

Ibn Qudamah di dalam al-Mughni menyatakan bahawa sesiapa yang masih mempunyai hutang puasa Ramadhan, maka dia masih boleh menangguhkannya sehingga sebelum masuk Ramadhan pada tahun berikutnya, berdasarkan riwayat ‘Aisyah R.Anha bahawa beliau masih mempunyai hutang puasa Ramadhan, dan masih belum menggantikannya ke bulan Sya’ban”. Tidak dibolehkan baginya untuk menangguhkan qadha’ puasa Ramadhan sehingga ke Ramadhan berikutnya tanpa keuzuran. Hal ini kerana ‘Aisyah R.Anha tidak menangguhkan sehingga melangkaui ramadhan seterusnya. Jikalau hal ini dibenarkan, maka sudah pasti beliau R.Anha akan melakukannya. (Lihat al-Mughni, 3/85)

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa dibolehkan untuk menangguhkan puasa qadha ramadhan sehingga ke bulan Sya’ban selagi mana belum lagi melangkaui ke bulan Ramadhan seterusnya. Namun begitu, kami menasihatkan untuk menqadha’kan puasa ramadhan sesegera mungkin.sekiranya tidak ada keuzuran yang menghalang.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 21 Mac 2022 bersamaan 18 Syaaban 1443H

Leave a Reply