Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum lelaki memakai emas? Adakah boleh bagi seorang lelaki memakai cincin emas?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Emas adalah Perhiasan untuk Wanita
Pada asasnya, perhiasan emas adalah dibolehkan untuk wanita berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
أُحِلَّ الذَّهَبُ وَالْحَرِيرُ لإِنَاثِ أُمَّتِي وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا
Maksudnya: “Telah dihalalkan emas dan sutera asli bagi perempuan dalam kalangan umatku dan diharamkan (keduanya) bagi lelaki.“
Riwayat al-Nasai’e (9387)
Penggunaan emas untuk tujuan perhiasan adalah harus bagi kaum wanita dan haram bagi kaum lelaki. Wanita dibenarkan memakai emas kerana keperluan wanita berhias dan mencantikkan diri di hadapan suami. (Lihat Subul al-Salam, 1/460; Syarah al-Muharrar fi al-Hadith, 20/49)
Pengharaman Menyerupai Jantina Berlawanan
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لُبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لُبْسَةَ الرَّجُلِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.”
Riwayat al-Bukhari (5435) dan Ahmad (8309)
Syeikh Badr al-Din al-‘Aini dalam menjelaskan hadith ini, menyebut: (Celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Lihat ‘Umdah Al-Qari, 22/41)
Jelas daripada hadith ini bahawa adalah haram hukumnya bagi seseorang untuk memakai pakaian mahupun perhiasan yang khas bagi jantina yang berlawanan dengannya.
Dinyatakan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/267)
Ibnu Hajar al-Haitami pula menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita ialah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki; adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/261)
Hukum Lelaki Mengambil Emas Sebagai Perhiasan
Haram hukumnya bagi lelaki mengambil emas sebagai perhiasan. Ini berdasarkan sebuah hadis yang mana Nabi SAW telah bersabda:
أُحِلَّ الذَّهَبُ وَالْحَرِيرُ لإِنَاثِ أُمَّتِي وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا
Maksudnya: “Telah dihalalkan emas dan sutera asli bagi perempuan dikalangan umatku dan diharamkan (keduanya) bagi lelaki.”
Riwayat al-Nasa’ie (5148)
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَلْبَسْ حَرِيرًا وَلَا ذَهَبًا
Maksudnya: “Barang siapa yang beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat, maka janganlah memakai sutera asli dan emas.”
Riwayat Ahmad (22249)
Pemakaian bagi tujuan perhiasan atau selain daripada perubatan seperti pen yang diletak di dalam poket, dan jam tangan, maka hukumnya tidak dibolehkan. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada Saidina Ali bin Abi Talib RA:
إِنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ حَرِيرًا فَجَعَلَهُ فِي يَمِينِهِ، وَأَخَذَ ذَهَبًا فَجَعَلَهُ فِي شِمَالِهِ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ هَذَيْنِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW mengambil sutera dan memegangnya dengan tangan kanannya, dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda: Sesungguhnya dua benda ini haram ke atas umatku yang lelaki.”
Riwayat Ahmad (935)
Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:
أُحِلَّ لِإِنَاثِ أُمَّتِي، وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا
Maksudnya: “Halal bagi umatku yang perempuan, dan haram bagi kaum lelaki dalam umatku.”
Riwayat Ahmad (19502)
Al-Syaukani berkata: Hadis ini merupakan dalil yang digunakan jumhur ulama yang berpendapat bahawa sutera dan emas haram bagi lelaki dan harus bagi wanita. (Lihat Nail al-Autar, 2/98)
Ini kerana Nabi SAW menyebut dengan jelas lagi sarih tentang pengharaman pemakaian sutera asli dan emas bagi lelaki.
Adapun jika seorang lelaki memakai emas kerana hajat ataupun darurat, seperti kerana masalah kesihatan, maka ini dibolehkan. Dalilnya berdasarkan hadis daripada ‘Abd al-Rahman bin Tarafah:
أَنَّ جَدَّهُ عَرْفَجَةَ بْنَ أَسْعَدَ قُطِعَ أَنْفُهُ يَوْمَ الْكُلَابِ، فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ، فَأَنْتَنَ عَلَيْهِ، فَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ
Maksudnya: “Bahawa datuknya ‘Arfajah bin As’ad terpotong hidungnya pada hari Peperangan Kulab. Kemudia dia memasang acuan hidung daripada bahan perak, lalu baunya busuk dan mengganggu beliau, maka Nabi SAW menyuruhnya mengambil hidung daripada jenis emas.”
Riwayat Abu Dawud (4232)
Al-Khattabi berkata: Hadis ini menunjukkan keharusan menggunakan sedikit emas bagi lelaki ketika keadaan darurat seperti dalam penyusunan gigi, dan tidak ada bahan lain yang boleh menggantikannya. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 4/215)
Hukum Lelaki Memakai Cincin Emas
Mengetahui akan keharaman bagi lelaki untuk mengambil emas sebagai perhiasan, maka begitu juga dengan memakai cincin emas bagi lelaki bahkan pengharamannya jelas melalui hadis Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah RA:
أنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.”
Riwayat Muslim (2089)
Imam al-Nawawi menyebut bahawa kaum Muslimin telah berijma’ (bersepakat) akan keharusan perempuan untuk memaikai cincin emas dan telah berijma` juga akan pengharaman buat lelaki bagi memakai cincin emas. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/65)
Dalam sebuah riwayat yang lain, Rasulullah SAW pernah melihat seseorang memakai cincin yang diperbuat daripada emas lalu Baginda SAW mencabut cincin tersebut dari tangan lelaki tersebut lalu mencampakkannya, kemudian Baginda SAW bersabda:
يَعْمِدُ أَحَدُكُمْ إِلَى جَمْرَةٍ مِنْ نَارٍ فَيَجْعَلُهَا فِي يَدِهِ
Maksudnya: “Seseorang dari kalian sengaja meletakkan bara dari api neraka ditangannya.”
Riwayat Muslim (2029)
Larangan serta ancaman terhadap lelaki yang memakai cincin emas telah sabit di dalam hadis Nabi SAW dan cukup baginya untuk mengatakan haram bagi lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada emas.
Wallahu a’lam
Bertarikh: 29 Mac 2022 bersamaan 26 Syaaban 1443H