Soalan
Apakah dibolehkan untuk memegang tafsir tanpa wudhu’?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bi Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ
Maksudnya: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.[1]
Selain itu, di antara kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadith yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ
Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.[2]
Menyentuh Tafsir al-Quran Tanpa Wudhu’
Jumhur ulama` mengatakan dibolehkan bagi menyentuh, membawa dan mengulangkaji tafsir al-Quran yang mana padanya terdapat ayat-ayat al-Quran meskipun dalam keadaan berjunub. Ini kerana yang dimaksudkan tafsir itu adalah makna-makna dari al-Quran dan bukan membacanya. Makanya, hukum al-Quran tidak terpakai kepadanya.
Ini adalah pendapat yang zahir dari mazhab Maliki dan juga Hanbali. Disebutkan di dalam Syarh Mukhtasar Khalil oleh al-Imam al-Kharasyi al-Maliki:
يَجُوزُ لِلْمُحْدِثِ مَسُّ التَّفْسِيرِ
Maksudnya: Dibolehkan bagi mereka yang berhadas untuk menyentuh tafsir.[3]
Begitu juga disebutkan oleh al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya al-Mughni:
وَيَجُوزُ مَسُّ كُتُبِ التَّفْسِيرِ وَالْفِقْهِ وَغَيْرِهَا، وَالرَّسَائِلِ، وَإِنْ كَانَ فِيهَا آيَاتٌ مِنْ الْقُرْآنِ، بِدَلِيلِ أَنَّ النَّبِيَّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – كَتَبَ إلَى قَيْصَرَ كِتَابًا فِيهِ آيَةٌ؛ وَلِأَنَّهَا لَا يَقَعُ عَلَيْهَا اسْمُ مُصْحَفٍ، وَلَا تَثْبُتُ لَهَا حُرْمَتُهُ
Maksudnya: Dan dibolehkan menyentuh kitab-kitab tafsir, fiqh, risalah-risalah yang lainnya sekiranya padanya terdapat ayat-ayat daripada Al-Quran berdalilkan bahawasanya Nabi SAW pernah menulis surat kepada maharaja Rom dan pada surat tersebut terdapat ayat Al-Quran kerana ia tidak dinamakan dengan mushaf dan tidak sabit keharaman padanya.[4]
Adapun di sisi mazhab Syafi’e, yang sahih di sisi mereka adalah haram menyentuh dan membawa tafsir sekiranya ayat al-Quran lebih banyak dari tafsirnya. Sekira tafsirnya lebih banyak dari ayat al-Quran, maka hukumnya dibolehkan.
Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu`:
كِتَابُ تَفْسِيرِ الْقُرْآنِ إنْ كَانَ الْقُرْآنُ فِيهِ أَكْثَرَ كَبَعْضِ كُتُبِ غَرِيبِ الْقُرْآنِ حُرِّمَ مَسُّهُ وَحَمْلُهُ وَجْهًا وَاحِدًا كَذَا ذَكَرَهُ الْمَاوَرْدِيُّ وَغَيْرُهُ وَنَقَلَهُ الرُّويَانِيُّ عَنْ الْأَصْحَابِ وَإِنْ كَانَ التَّفْسِيرُ أَكْثَرَ كَمَا هُوَ الْغَالِبُ فَفِيهِ أَوْجُهٌ أَصَحُّهَا لَا يَحْرُمُ لِأَنَّهُ لَيْسَ بِمُصْحَفٍ
Maksudnya: Kitab tafsir al-Quran, sekiranya pada tafsir itu terdapat banyaknya al-Quran (ayat-ayatnya) seperti sebahagian kitab-kitab gharib al-Quran, maka diharamkan untuk menyentuh dan membawanya pada pendapat yang satu. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Mawardi dan selainnya dan dinaqalkan juga oleh al-Ruyani daripada ashab. Sekiranya tafsir itu lebih banyak daripada kebiasaannya, maka padanya ada beberapa pendapat dan yang paling sahih adalah tidak diharamkan (untuk menyentuh dan membawanya) kerana ia bukanlah mushaf.[5]
Perkara yang sama juga disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam Raudhah al-Tolibin[6] dan Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari di dalam kitabnya Asnaa al-Matolib[7].
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami berpendapat dibolehkan bagi mereka yang berhadas untuk menyentuh dan membawa tafsir al-Quran begitu juga untuk mengulangkajinya. Namun, mestilah tafsirnya itu melebihi kandungan ayat al-Quran dan pendapat ini juga sesuai dengan pendapat yang sahih di sisi mazhab Syafi`e. Menyentuh tafsir seperti ini tidaklah mengurangkan pengagungan terhadap al-Quran. Adapun yang terbaiknya adalah dengan berwuduk.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 3 April 2022 bersamaan 1 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat al-Tirmizi (2910)
[2] Riwayat Muslim (804)
[3] Lihat Syarh Mukhtasar Khalil. 1/161.
[4] Lihat Al-Mughni, 1/109
[5] Lihat Al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 2/69
[6] Lihat Raudhah al-Tolibin wa `Umdah al-Muftiin, 1/80
[7] Lihat Asnaa al-Matolib fi Syarh Raudh al-Tolib, 1/61