Soalan
Apakah hukum bercakap kotor ketika berpuasa?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]
Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]
Imam al-Nawawi pula berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas.[3]
Bercakap Kotor Ketika Berpuasa
Bercakap kotor menurut Kamus Dewan Edisi Keempat didefinisikan sebagai bercakap perkara-perkara yang tidak senonoh.[4]
Perbuatan bercakap kotor ini merupakan perbuatan yang jauh daripada Akhlak Islam. Bahkan perbuatan tersebut boleh mendatangkan dosa, apatah lagi ketika berpuasa. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda
إِذَا أَصْبَحَ أَحَدُكُمْ يَوْمًا صَائِمًا فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ فَإِنْ امْرُؤٌ شَاتَمَهُ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ إِنِّي صَائِمٌ
Maksudnya: “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”.[5]
Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menyatakan, “perkataan (فَلَا يَرْفُثْ ) bermaksud adalah perkataan yang kotor. Perkataan (وَلا يَجْهَل) bermaksud jangan buat perangai kejahilan seperti menjerit, bodoh dan seumpamanya. Yang dimaksudkan dalam hadith tersebut ialah jangan membalas perangai dengan perangai yang sama, tetapi sudah cukup untuk berkata ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa’.[6]
Imam al-Nawawi berkata, “Ketahuilah bahawa larangan orang berpuasa daripada melafazkan perkataan kotor, tingkah laku bodoh, bergaduh dan saling memaki bukan khusus ketika berpuasa sahaja. Sebenarnya setiap orang pada asalnya dilarang berbuat demikian. Namun, bagi orang yang berpuasa ia lebih berat lagi untuk ditekankan.”[7]
Kelebihan orang yang berpuasa bukan sahaja terletak kepada menahan makan dan minum serta mengerjakan perkara-perkara yang membatalkan puasa, tetapi menjaga setiap anggota daripada melakukan perkara yang mengosongkan pahala puasa. Inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam, seperti menjaga lidah dan lainnya. Orang yang berpuasa hendaklah sabar menerima dugaan daripada Allah SWT, sekiranya mereka dimaki hamun dan diajak berkelahi oleh seseorang maka hendaklah ia berkata “aku berpuasa”.
Dalam perkara yang dimaksudkan dengan mengurangkan pahala puasa adalah tidak membatalkan puasa, tetapi puasanya sia-sia disebabkan oleh perbuatan yang dilakukannya, bahkan dia akan diazab kerana perbuatannya. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلاَّ السَّهَرُ
Maksudnya: ” Berapa banyak orang yang berpuasa, tiada apa dari puasanya melainkan menahan dari makan dan minum”. [8]
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa bercakap kotor merupakan perbuatan yang boleh mengurangkan pahala puasa seseorang kerana ia merupakan perbuatan yang mendatangkan dosa dan dilarang dalam Islam. Namun begitu, perbuatan tersebut tidaklah termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Meskipun begitu, perbuatan bercakap kotor adalah suatu perkara yang perlu dielakkan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan. Jadikanlah bulan Ramadhan sebagai suatu medan mentarbiah diri agar menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)
[2] Lihat Fath al-Bari, 4/115
[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39
[4] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kotor
[5] Riwayat al-Bukhari (1894) dan Muslim (1151)
[6] Lihat Fath al-Bari, 4/105
[7] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/29
[8] Riwayat Ibn Majah (1680)