Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bolehkkah saya membaca al-Quran sambil berbaring? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membaca al-Quran termasuk dalam ibadah. Pada setiap ayat dan kalimatnya ada pahala dan ganjaran buat sesiapa yang membacanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

منْ قرأَ حرفًا من كتابِ اللهِ فله به حسنةٌ، والحسنةُ بعشرِ أمثالِها لا أقولُ: آلم حرفٌ، ولكنْ ألِفٌ حرفٌ وميمٌ حرفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya. Tidaklah aku mengatakan: Alif, lam, mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”[1]

Begitu juga terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.[2]

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia.[3]

Selain itu, terdapat riwayat daripada al-Nawwas bin Sam‘an R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

يؤتي بالْقُرْآنُ يوم القيامة وَأَهْلُهُ الَّذِينَ كانوا يَعْمَلُونَ بِهِ، تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ. – وَضَرَبَ لَهُمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةَ أَمْثَالٍ مَا نَسِيتُهُنَّ بَعْدُ. – قَالَ: كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أو ظُلَّتَانِ سَوْدَاوَانِ بَيْنَهُمَا شَرْقٌ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّان عَنْ صَاحِبِهِمَا

Maksudnya: “Didatangkan al-Quran pada hari kiamat bersama ahlinya (pembacanya) yang mengamalkannya (di dunia), didahului oleh Surah al-Baqarah dan Ali Imran. — (Al-Nawwas berkata): Rasulullah SAW membuat perumpamaan untuk keduanya (Surah al-Baqarah dan Ali Imran) dengan tiga perumpamaan yang tidak akan aku lupakan selamanya — Baginda bersabda: Kedua-duanya (akan datang) seperti dua awan tebal atau dua payungan hitam yang mana antara kedua-duanya ada sinaran (atau pancaran) cahaya atau kedua-duanya seperti dua pemisah pada kawanan burung yang membentangkan sayapnya dan berhujah untuk pemiliknya.”[4]

Dapat difahami daripada lafaz “الَّذِينَ كانوا يَعْمَلُونَ بِهِ” dalam hadith di atas bahawa sesiapa yang membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengannya, maka mereka tidak termasuk dalam kalangan ahli al-Quran. Bukan itu sahaja, al-Quran juga tidak akan memberi syafaat kepada mereka, bahkan al-Quran itu pula menjadi hujah ke atas mereka — dan bukannya hujah buat mereka.[5]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi ketika mengulas berkenaan adab-adab semasa membaca al-Quran menyebutkan, hendaklah seseorang (yang ingin membaca al-Quran) duduk dengan khusyuk dan tenang sambil menundukkan kepalanya (melihat mashaf) serta duduk dengan adab yang baik dan tunduk seperti duduknya di hadapan gurunya, inilah yang paling sempurna. Namun, sekiranya dia membaca al-Quran dalam keadaan berdiri atau berbaring atau di tempat tidurnya atau keadaan-keadaan selainnya, maka hukumnya adalah harus (dibolehkan), dan dia mendapat pahala, akan tetapi nilainya kurang daripada yang pertama.[6] Begitu juga membacanya dalam keadaan ini (yakni keadaan-keadaan yang kedua) tidak dihukumkan sebagai makruh, akan tetapi jika dia melakukannya tanpa sebarang keuzuran maka dia termasuk dalam perkara meninggalkan perkara yang afdhal.[7]

Perkara ini adalah berdasarkan kepada beberapa hujah. Di antaranya, firman Allah SWT:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ (190) الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal (190). (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi.[8]

Begitu juga terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَّكِئُ فِي حَجْرِي وَأَنَا حَائِضٌ، ثُمَّ يَقْرَأُ القُرْآنَ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah berbaring di atas ribaku, sedangkan aku berhaid. Kemudian Baginda SAW membaca al-Quran.”[9]

Hadith di atas jelas menunjukan kepada keharusan untuk membaca al-Quran dalam keadaan bersandar dan berbaring.[10]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa membaca al-Quran dalam keadaan berbaring adalah diharuskan — yakni dibolehkan. Hal ini menzahirkan bahawa Islam adalah agama yang bersifat memudahkan dan penuh dengan keluasan.

Walau bagaimanapun, kami mengambil kesempatan di sini menyarankan, jika tiada sebarang keuzuran bacalah al-Quran dalam keadaan yang paling sempurna iaitu dalam keadaan duduk dengan penuh khusyuk dan ketenangan, menundukkan kepalanya (melihat mashaf), dan duduknya itu penuh dengan adab sebagaimana duduknya di hadapan para guru, di samping menghadap ke arah kiblat. Hal ini kerana membaca al-Quran termasuk dalam ibadah dan sebaik-baik perkara, maka sebaik-baiknya berusahalah untuk mencapai kesempurnaannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Riwayat al-Tirmizi (2910)

[2] Riwayat Muslim (817); riwayat Ibn Majah (218); riwayat Ibn Hibban (772)

[3] Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581

[4] Riwayat Muslim (805); riwayat Ahmad (17637); riwayat al-Tirmizi (2883); riwayat Abu ‘Awanah dalam mustakhrajnya (3934)

[5] Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 4/1461.

[6] Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 60.

[7] Lihat al-Azkar, hlm. 44.

[8] Surah Ali ‘Imran: 190-191

[9] Riwayat al-Bukhari (279); riwayat Muslim (301)

[10] Lihat Riyadh al-Afham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 1/502.

Leave a Reply