Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan

Bolehkah orang yang diberi keuzuran untuk berbuka puasa makan di hadapan orang yang berpuasa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]

Imam al-Nawawi pula berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas.[3]

Golongan Yang Diberi Keuzuran Untuk Tidak Berpuasa

Terdapat beberapa golongan yang diberikan keizinan oleh syarak untuk tidak berpuasa disebabkan keuzuran. Antaranya:

Pertama: Wanita Yang Dalam Keadaan Haid dan Nifas

Para ulama telah bersepakat bahawa wanita yang dalam keadaan haid diharamkan baginya untuk berpuasa. Sekiranya dia tetap berpuasa maka puasanya adalah tidak sah. Sama ada puasa tersebut merupakan puasa wajib, sunat, kaffarah, ataupun nazar. Wajib ke atas mereka untuk menggantikan puasa ini apabila mereka suci dari haid. Ini berdasarkan riwayat Abu Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ

Maksudnya: Tidakkah seorang wanita itu apabila dia datang haid dia tidak boleh solat dan tidak boleh berpuasa ?[4]

Kedua: Orang Yang Dalam Keadaan Sakit

Orang yang sakit diberikan keringanan untuk berbuka puasa (tidak berpuasa). Apabila dia sihat semula maka wajib ke atasnya untuk menggantikan puasanya yang ditinggalkan tersebut. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ

Maksudnya: (Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.[5]

Walaupun begitu, ada dhabit (piawaian) bagi kategori sakit yang dibenarkan berbuka dari ayat ini. Antaranya ialah:

  • Sakit tersebut adalah sakit yang teruk (berat) yang mana apabila orang tersebut berpuasa ia akan menambahkan lagi kesakitan ataupun melewatkan kesembuhan yang terdapat pada dirinya.
  • Apabila seseorang yang sakit itu berpuasa ia datang bersamanya masyaqqah (kepayahan) ke atas dirinya.

Ketiga: Orang Yang Sedang Bermusafir

Orang yang sedang dalam permusafiran diberikan rukhsah (keringanan) untuk berbuka (tidak berpuasa). Ini berdasarkan firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ

Maksudnya: (Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.[6]

Berdasarkan ayat ini, orang yang sedang bermusafir juga diberikan keringanan untuk tidak berpuasa. Apabila dia berbuka, menjadi suatu kewajipan ke atas dirinya untuk menggantikannya (qadha’) pada hari yang lain. Akan tetapi permusafiran ini juga mempunyai beberapa kriteria untuk menjadikan ia suatu yang mengharuskan berbuka puasa. Antaranya adalah seperti berikut:

  • Permusafiran tersebut merupakan perjalanan panjang yang terdapat masyaqqah (kepayahan) kepada musafir yang berpuasa untuk meneruskan puasanya.
  • Jika orang yang bermusafir itu meneruskan puasa semasa bermusafir, akan tetapi puasanya tidak memberi kemudharatan atau kepayahan kepada dirinya, maka adalah lebih afdhal untuk dia teruskan puasa.

Makan Dan Minum Secara Terbuka Di Siang Hari Ramadhan Bagi Golongan Yang Dibenarkan Tidak Berpuasa Oleh Syara’

Mantan Mufti Besar Arab Saudi di dalam fatwanya menyebutkan: “Sesiapa yang berbuka puasa di bulan Ramadhan kerana keuzuran, maka hendaklah dia berbuka secara sembunyi, seperti seorang yang musafir yang tidak diketahui oleh orang lain bahawa dia sedang musafir, dan wanita yang tidak diketahui oleh orang lain bahawa dia sedang haid, maka dia hendaklah makan dan minum secara sembunyi supaya dia tidak dituduh bermudah-mudahan dengan arahan Allah.

Tetapi jika dia berada dalam kalangan orang yang mengetahui bahawa dia adalah seorang musafir, dan dia dalam kalangan wanita yang mengetahui bahawa dia sedang haidh, maka tidak salah untuk dia makan di sisi mereka dan berbuka. Hal ini kerana mereka mengetahui keadaannya dan keuzurannya, dan begitu juga dengan seorang musafir dalam kalangan orang yang mengetahui keadaan musfairnya. Manakala jika dia makan di hadapan orang lain, sedangkan mereka tidak mengetahui keadaannya, maka tidak sepatutnya baginya untuk makan dan minum di hadapan mereka, bahkan wajib bagi dia menyembunyikannya supaya dia tidak dituduh melakukan kejahatan.”[7]

Cukuplah kami menukilkan kisah Ibrahim Nakhaie Dengan Anak Muridnya Sulaiman al-A’masy yang mana Ibn al-Jauzi menukilkan riwayat bahawa Ibrahim al-Nakha’ie adalah seorang yang buta dan anak muridnya, Sulaiman bin Mehran al-A’masy pula seorang yang rabun. Satu hari keduanya berjalan bersama-sama menuju ke masjid. Kata Ibrahim: “Sulaiman, apa kata kamu ikut jalan yang lain manakala aku pula ikut jalan yang lain kerana aku takut nanti orang ramai melihat kita lalu mereka berkata:  Si buta dipimpin si rabun.  lalu mereka mengumpat kita dan mendapat dosa”.

Kata Sulaiman: “Wahai guruku, apa salahnya kita akan mendapat ganjaran pahala dan mereka (yang mengumpat) berdosa”. Jawab Ibrahim: “Tidak, kita selamat dan mereka juga selamat itu lebih baik dari kita diberi ganjaran pahala sedangkan mereka mendapat dosa”.[8]

Lihatlah akhlak yang telah ditonjolkan oleh Ibrahim al-Nakha’ie yang mana beliau bertanggungjawab ke atas perbuatannya. Boleh saja mereka berdua berjalan bersama untuk pergi ke masjid. Namun, apabila memikirkan mulut dan hati manusia lain yang tidak boleh di kawal dari mengumpat dan mencaci, maka mereka menggunakan jalan yang lain agar jauh dari manusia yang lain. Mungkin kita lebih suka untuk mendapat pahala hasil daripada umpatan orang lain sedangkan tanpa kita sedari perbuatan kita itu sendiri yang telah mengundang cacian dan umpatan. Ini tidak disukai oleh Ibrahim al-Nakha’ie dan baginya jika kedua-duanya terselamat adalah lebih baik.

Imam al-Son’aani pernah berkata: Jika seseorang yakin dia telah melihat anak bulan Syawal, maka dia boleh untuk berbuka (tidak berpuasa), dan sebaiknya dia sembunyikan hal itu, bertujuan untuk memelihara hamba (orang ramai) dari mereka berburuk sangka dengannya lalu mendapat dosa.[9]

Kesimpulan 

Akhir kalam, kami berpendapat bahawa hukum seseorang yang ada keuzuran untuk tidak berpuasa makan di siang hari bulan Ramadhan adalah diharuslam. Namun begitu, dia hanya boleh makan dan minum di tempat yang sunyi dari penglihatan orang ramai bagi menjaga dan memelihara diri kita dari fitnah serta menyelamatkan orang ramai dari sangkaan buruk lalu mereka mendapat dosa kecuali dalam keadaan jika orang sekelilingnya mengetahui keadaan uzurnya yang dibenarkan oleh syara’ untuk tidak berpuasa.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Kami berdoa kepada Allah S.W.T agar menerima segala ibadah kita di bulan Ramadhan ini, seterusnya menjadikan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertakwa. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 20 April 2022 bersamaan 18 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1]  Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

[2] Lihat Fath al-Bari, 4/115

[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39

[4] Riwayat al-Bukhari (1951)

[5] Surah al-Baqarah: 184

[6] Surah al-Baqarah: 184

[7] Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 16/89

[8] Lihat al-Muntazom fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam karya Ibn al-Jawzi, 7/22]

[9] Lihat Subul al-Salam, 2/422

Leave a Reply