Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan adab-adab dalam menyambut Hari Raya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Antara adab-adab yang boleh diamalkan selaras dengan panduan sunnah Rasulullah SAW dalam menyambut hari raya adalah:

  • Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru atau cantik. Hal ini sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya. Daripada Jabir R.A katanya: “Nabi SAW mempunyai satu jubah yang Baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” (Lihat Sahih Ibn Khuzaimah, no. 1765) . Demikian juga al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, bahawa Ibn Umar R.Anhuma sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.
  • Sunat menjamah sedikit makanan sebelum menunaikan solat hari raya Aidilfitri. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا.

Maksudnya: “Sesungguhnya  Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar… dan Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.”

Riwayat al-Bukhari (953)

Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mengulas hadith ini dengan berkata: “Ini kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa. Ianya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah SWT (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” (Lihat Fath al-Bari, 2/446)

  • Sunat saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain. Hal ini berdasarkan hadith Wasilah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, katanya: Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi hari raya, seraya mengucapkan kepada Baginda: تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu), lalu Baginda menjawab: Ya, تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu).
  • Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya. Bagi imam solat hari raya, sunat datang akhir iaitu ketika hendak memulakan solat hari raya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
  • Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadith, daripada jabir R.A, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ.

Maksudnya: “Nabi SAW biasanya pada hari raya Baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).”

Riwayat al-Bukhari (986)

  • Selepas matahari terbit, makruh bagi imam mendirikan solat sunat sebelum solat hari raya, manakala tidak makruh bagi orang lain melakukannya. Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهُمَا وَلَا بَعْدَهُمَا.

Maksudnya: “Nabi SAW keluar pada hari Aidilfitri, lalu Baginda melakukan solat hari raya sebanyak dua rakaat dan tidak melakukan solat yang lain sama ada sebelum atau selepasnya.”

Riwayat al-Bukhari (945)

Selain itu, perlulah diambil perhatian juga tentang beberapa kesilapan adab yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW dalam kita menyambut hari raya. Antaranya:

  • Memasang lagu-lagu dan nyanyian hari raya yang kurang sopan dan berlebih-lebihan dalam berhibur atas nama hari raya. Alangkah baiknya jika ia digantikan dengan alunan zikir, nasyid dan nyanyian sopan yang tidak keterlaluan.
  • Merayakan hari raya sehingga sebulan dan tidak lagi mampu untuk menunaikan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal.
  • Kurang bersedekah dan memberi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim serta mereka yang berada dalam kedaifan.
  • Berlebih-lebihan dalam berpakaian sehingga menampakkan kemewahan yang melampau hingga membawa perasaan takbur, riak dan sombong.

Justeru, marilah kita menyambut hari raya Aidilfitri dengan mematuhi adab-adab yang telah digariskan oleh Islam tanpa melampaui batas. Mudah-mudahan kita beroleh rahmat daripada Allah SWT.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 2 Mei 2022 bersamaan 1 Syawal 1443H

Leave a Reply