Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Saya sering mendengar bahawa haji akbar hanya akan berlaku pada tahun yang mana hari wuquf di Arafah bertepatan dengan hari Jumaat ia berbetulan berlaku pada tahun ini sebagaimana taqwim di Makkah, Arab Saudi. Adakah benar kenyataan itu, dan apakah maksud sebenar Haji Akbar? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kita sering mendengar istilah Haji Akbar. Pelbagai tafsiran berkenaan maksud haji akbar yang berkembang di tengah masyarakat kita seperti haji akbar ialah wuquf di Arafah  bertepatan pada hari Jumaat. Ada juga yang berpendapat bahawa haji akbar ialah hari Eid al-Adha yang bertepatan dengan hari Jumaat. Justeru, kami terpanggil untuk menjelaskan maksud sebenar haji akbar berdasarkan tafsiran ulama dan ahli tafsir.

Firman Allah SWT:

وَأَذَانٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ

Maksudnya: “Dan inilah perisytiharan dari Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Haji yang terbesar”. [1]

Al-Mahalli dan Jalal al-Din al-Suyuti di dalam Tafsir al-Jalalain menyatakan: “Inilah adalah satu pengumuman daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar iaitu hari Raya Korban bahawa sesungguhnya Allah berlepas diri daripada orang-orang musyrik dan perjanjian-perjanjian mereka. Begitu juga dengan Rasul-Nya. Sehubungan dengan ayat ini, Imam al-Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadith bahawa pada tahun itu juga iaitu tahun kesembilan Hijrah, Nabi SAW telah mengutus Ali RA untuk mengumumkan berkenaan ayat-ayat ini pada hari Raya Korban di Mina. Kandungannya adalah selepas daripada tahun ini, orang musyrik tidak boleh lagi melakukan haji dan tawaf di Baitullah. Dalam masa yang sama, tidak boleh juga melakukan tawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang”.[2]

Imam al-Bukhari juga dalam mentafsirkan maksud haji akbar mendatangkan riwayat daripada Humaid bin ‘Abd al-Rahman, bahawa Abu Hurairah RA mengkhabarkan kepadanya, katanya:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، بَعَثَهُ فِي الحَجَّةِ الَّتِي أَمَّرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْهَا قَبْلَ حَجَّةِ الوَدَاعِ، فِي رَهْطٍ يُؤْذِنُوا فِي النَّاسِ: أَنْ لاَ يَحُجَّنَّ بَعْدَ العَامِ مُشْرِكٌ وَلاَ يَطُوفَ بِالْبَيْتِ عُرْيَانٌ

Maksudnya: Sesungguhnya Abu Bakar RA mengutusnya pada haji sebelum daripada haji Wada’ yang Rasulullah SAW menjadikannya sebagai pemimpin pada haji tersebut bersama sekumpulan orang yang mengumumkan kepada orang ramai: “Sesungguhnya orang musyrikin tidak boleh menunaikan haji selepas daripada pada tahun ini dan orang yang telanjang tidak boleh melakukan tawaf di Ka’bah.

Maka Humaid berkata:

يَوْمُ النَّحْرِ يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ، مِنْ أَجْلِ حَدِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ

Maksudnya: Hari al-Nahr (sembelihan dan qurban) ialah hari al-Hajj al-Akbar, berdasarkan hadith Abu Hurairah RA.[3]

Ibnu Hajar al-Asqalani menyebutkan dalam syarahnya bahawa perkataan “Hari Haji Akbar adalah hari al-Nahr…” adalah perkataan Humaid bin Abd al-Rahman. Beliau mengambil istinbat (kesimpulan) tersebut daripada firman Allah surat al-Taubah ayat 3 di atas, dan daripada seruan yang dikumandangkan oleh Abu Hurairah atas perintah Abu Bakar pada hari Nahar. Itu menunjukkan, bahawa yang dimaksudkan haji akbar adalah hari Nahar.[4]

Makna Haji Akbar

Di dalam Tafsir al-Tabari, Imam al-Tabari telah mendatangkan beberapa pendapat bersama dengan riwayat-riwayat atau athar-athar samada daripada Nabi SAW, sahabat R.Anhum dan juga para tabi’in yang menyokong pendapat tersebut dalam menentukan makna Haji Akbar ini. Di sini kami ringkaskan dengan memilih beberapa pendapat seperti yang berikut:

Pertama: Haji Akbar adalah hari Arafah. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Ikrimah, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ، يَوْمُ عَرَفَة

Maksudnya: “Haji Akbar adalah hari Arafah”.[5]

Kedua: Haji Akbar adalah hari al-Nahr (10 Zulhijjah). Hal ini sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَفَ يَوْمَ النَّحْرِ بَيْنَ الْجَمَرَاتِ فِي الْحَجَّةِ الَّتِي حَجَّ، فَقَالَ: أَيُّ يَوْمٍ هَذَا؟ قَالُوا: يَوْمُ النَّحْرِ، قَالَ: هَذَا يَوْمُ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW berdiri pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) di antara jamrah-jamrah pada waktu Baginda SAW menunaikan Haji, lalu Baginda SAW bertanya: “Hari apakah ini?”.  Mereka menjawab: “Hari al-Nahr (hari 10 Zulhijjah)”. Nabi SAW bersabda: “Ini adalah hari Haji Akbar”. [6]

Ketiga: Haji Akbar adalah hari-hari haji keseluruhannya. Hal ini sebagaiamana riwayat daripada Ibn Abi Najih, bahawa Mujahid berkata:

يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ، حِيْنَ الحَجّ، أَيَّامُهُ كُلّهَا

Maksudnya: “Hari Haji Akbar adalah ketika waktu haji serta kesemua harinya”.[7]

Selain itu, Imam al-Nawawi berkata dalam menentukan makna Haji Akbar ini ketika beliau mensyarahkan hadith pada bab “tidak akan melakukan haji bagi orang yang musyrik dan tidak akan boleh melakukan tawaf dalam keadaan telanjang, beliau berkata: “Para ulama’ telah berselisih pendapat dalam menentukan apa yang dikehendaki dengan makna Hari Haji Akbar. Dikatakan ia adalah Hari Arafah. Imam Malik, al-Syafie dan jumhur menyatakan bahawa ia adalah hari al-Nahr. Al-Qadhi ‘Iyadh telah menukilkan daripada al-Syafie bahawa ia adalah hari Arafah. Ini adalah khilaf yang ma’ruf (diketahui) oleh mazhab al-Syafie. Para ulama’ telah berkata bahawa dikatakan Haji Akbar itu adalah untuk menjauhkan atau membezakan dengan Haji Ashghar iaitu umrah. Manakala, hujah bagi sesiapa yang berpegang dengan Haji Akbar ini adalah Hari Arafah adalah dengan hadith yang masyhur iaitu “Haji itu Arafah”.[8]

Pendapat Yang Dipilih

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, pendapat pertama dan kedua adalah pendapat yang masyhur dalam menentukan makna Haji Akbar ini. Setelah melihat pandangan para ulama’ dalam masalah ini, dapat disimpulkan bahawa yang dimaksudkan dengan Haji Akbar adalah Hari al-Nahr iaitu 10 Zulhijjah atau hari Raya Korban sepertimana pendapat yang kedua.

Selain itu juga, ini adalah pendapat Imam al-Tabari setelah beliau menceritakan pendapat-pendapat berkaitan masalah ini. Imam al-Tabari berkata:

“Pendapat yang utama dan sahih disisi kami adalah sesiapa yang mengatakan bahawa Hari Haji Akbar adalah Hari al-Nahr (10 Zulhijjah) disebabkan zahirnya (jelasnya) khabar-khabar daripada sekumpulan sahabat-sahabat Nabi SAW bahawa Ali RA telah mengumumkan apa yang diperintahkan kepadanya oleh Rasulullah SAW kepada kaum Musyrikin, lalu beliau membaca kepada mereka surah al-Taubah pada hari al-Nahr. Selain itu juga, berkenaan dengan khabar-khabar yang telah kami sebutkan daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda SAW telah bersabda pada hari al-Nahr: “Adakah kamu semua tahu, hari apakah ini?”. Baginda menjawab dengan mengatakan: “Ini adalah Hari Haji Akbar”.[9]

Pemahaman bahawa Haji Akbar ialah Apabila Hari Arafah Menepati Hari Jumaat

Syeikh Muhammad Abd al-Rahman al-Mubarakfuri memberi peringatan serta menyanggah pemahaman sebahagian masyarakat yang mengatakan bahawa Haji Akbar ini adalah apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat. Disebabkan itu, ia dinamakan Haji Akbar. Beliau berkata:

قَدْ اشْتَهَرَ بَيْنَ الْعَوَّامِ أَنَّ يَوْمَ عَرَفَةَ إِذَا وَافَقَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ كَانَ الْحَجُّ حَجًّا أَكْبَرَ وَلَا أَصْلَ لَهُ

Maksudnya: “Telah tersebar dan masyhur dalam kalangan orang awam bahawa apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat maka ia adalah Haji Akbar. Kenyataan atau pemahaman ini adalah tidak mempunyai asal sama sekali”.[10]

Namun begitu, Ibn al-Qayyim menjelaskan sepuluh keutamaan dan kelebihan sekiranya hari Arafah menepati hari Jumaat, katanya: Pandangan yang tepat ialah hari Jumaat ialah hari yang terbaik dalam seminggu dan hari Arafah dan hari Korban ialah hari-hari terbaik dalam setahun, begitu juga dengan Lailatul Qadar dan malam Jumaat. Oleh itu, jika hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, ia lebih utama daripada semua hari lain berdasarkan beberapa sebab:

  • Berkumpulnya dua hari yang merupakan hari terbaik.
  • Terdapatnya waktu yang terdapat padanya waktu doa dimakbulkan. Kebanyakan ulama berpandangan bahawa ia adalah saat terakhir selepas ‘Asar, dan orang-orang yang berwuquf di Arafah semuanya berada di sana untuk berdoa dan memohon kepada Allah.
  • Ia berlaku pada hari yang sama Rasulullah SAW berwuquf dan mengerjakan haji.
  • Orang-orang di seluruh dunia berkumpul di Arafah untuk mendengar khutbah dan melakukan solat Jumaat, Ini bertepatan dengan perhimpunan penduduk ‘Arafah pada hari ‘Arafah di padang ‘Arafah. Maka umat Islam berkumpul di masjid-masjid mereka dan berdoa kepada Allah, yang mana ia tidak berlaku pada hari selain hari jumaat.
  • Hari Jumaat ialah hari raya, dan hari ‘Arafah adalah hari raya bagi penduduk di ‘Arafah, maka dimakruhkan bagi mereka yang berada di ‘Arafah berpuasa pada hari tersebut. Guru kami berkata: Hari ‘Arafah hanyalah hari raya bagi orang-orang yang berada di ‘Arafah kerana mereka berkumpul di sana, tidak seperti orang-orang di kawasan lain, yang hanya berkumpul pada Hari Korban. Maka ia adalah hari raya bagi mereka. Maksudnya ialah jika hari ‘Arafah jatuh pada hari Jumaat, ia adalah dua hari raya dalam satu masa.
  • Ia bertepatan dengan hari ketika Allah menyempurnakan agama-Nya untuk hamba-hamba-Nya yang beriman dan menyempurnakan nikmat-Nya kepada mereka, sebagaimana yang dibuktikan dalam Sahih al-Bukhari bahawa Tariq ibn Syihab berkata, daripada Umar RA, katanya:

أَنَّ رَجُلًا، مِنَ اليَهُودِ قَالَ لَهُ: يَا أَمِيرَ الـمُؤْمِنِينَ، آيَةٌ فِي كِتَابِكُمْ تَـقْرَءُونَـهَا، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ اليَهُودِ نَـزَلَتْ، لاَتَّخَذْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ عِيدًا. قَالَ: أَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ: {اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا} قَالَ عُمَرُ: قَدْ عَرَفْنـَا ذَلِكَ اليَوْمَ، وَالـمَكَانَ الَّذِي نَـزَلَتْ فِيهِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ قَائِمٌ بِعَرَفَةَ يَوْمَ جُمُعَةٍ.

Maksudnya: bahawa suatu hari seorang lelaki Yahudi berkata kepadanya: “Wahai Amir al-Mu’minin, ada satu ayat dalam kitab kamu yang sering kamu baca, jika ayat itu diturunkan kepada kami, nescaya kami akan jadikan hari turunnya ayat tersebut sebagai hari perayaan orang yahudi.” Umar bertanya: “Ayat yang mana?” Yahudi tersebut membacakan:

 اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu.”[11]

Umar menjawab: “Kami mengetahui hari dan di mana tempat ia diturunkan kepada Nabi SAW, iaitu ketika Baginda SAW sedang berdiri di ‘Arafah pada hari Jumaat.”[12]

  • Ia juga bertepatan dengan hari perhimpunan yang paling besar dan kemuliaan hari kiamat, kerana hari kiamat akan berlaku pada hari Jumaat sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ، وَفِيهِ أُخْرِجَ مِنْهَا، وَفِيهِ تَقُومُ السَّاعَةُ، وَفِيهِ سَاعَةٌ لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ

Maksudnya: “Sebaik-baiknya hari di mana matahari terbit adalah hari Jumaat. Padanya Adam A.S diciptakan, padanya hari dimasukkan ke dalam Syurga, dan diusir daripadanya, dan padanya bermula hari kiamat. Pada hari itu ada satu saat dimana tidak ada seorang hamba muslim yang meminta kebaikan kepada Allah melainkan Allah akan mengkabulkannya.”[13]

  • Sesuatu ibadah atau ketaatan yang dilakukan oleh orang Islam pada hari Jumaat atau malam Jumaat adalah lebih baik daripada yang dilakukan pada hari-hari yang lain, sehinggakan orang yang zalim pun menghormati hari Jumaat dan malam sebelumnya, dan mereka menyangka jika seseorang itu berani melakukan dosa pada waktu itu, Allah akan menyegerakan azabnya dan tanpa menangguhkannya. Ini adalah sesuatu yang tertanam dalam fikiran mereka dan mereka mengetahuinya melalui pengalaman. Disebabkan oleh kebesaran dan kemulian hari jumaat di sisi Allah dan Allah telah memilih hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain, maka tidak dapat diragukan lagi bahawa berwuquf di ‘Arafah pada hari jumaat ini adalah lebih baik berbanding hari-hari lain.
  • Ia bertepatan dengan hari di mana Allah memberi tambahan kepada manusia di syurga, iaitu hari Jumaat. Jadi jika ‘Arafah bertepatan dengan hari jumaat, ia adalah lebih istimewa, lebih khusus dan lebih baik berbanding hari yang lain.
  • Allah SWT turun pada hari Arafah mendekatkan diri kepada manusia di tempat berwuquf pada waktu tengah hari hari Arafah, lalu Dia bermegah-megah terhadap mereka di hadapan para malaikat.

Atas sebab-sebab ini dan selainnya, berwuquf pada hari Jumaat lebih utama daripada hari-hari lain.  Adapun perkara yang biasa dibincangkan dalam kalangan orang ramai bahawa berwuquf di Arafah pada hari jumaat menyamai haji tujuh puluh dua haji, merupakan kebatilan dan tidak ada sumber yang asal yang datang daripada Rasulullah SAW atau daripada mana-mana sahabat dan Tabi’in. Wallahu’alam.[14]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Haji Akbar adalah hari Nahr (يوم النحر) iaitu hari Raya Korban yang disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Hal ini kerana, pada hari tersebut akan dilaksanakan manasik-manasik haji seperti tawaf, bersa’ie (antara safa dan marwah) ,melontar, berkorban, bercukur dan lain-lain perkara lagi. Justeru, pemahaman bahawa hari wukuf yang bertepatan dengan hari jumaat merupakan haji akbar adalah tidak tepat sama sekali.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita kesempatan dan peluang untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 5 Julai 2022 bersamaan 5 Dzulhijjah 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Surah al-Taubah: 3

[2] Lihat Tafsir al-Jalalain, hlm. 240

[3] Riwayat al-Bukhari (4657)

[4] Lihat Fath al-Bari, 8/321

[5] Lihat Tafsir al-Tabari, 14/116

[6] Riwayat Abu Dawud (1945). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (1945) menyatakan bahawa sanadnya sahih.

[7] Lihat Tafsir al-Tabari, 14/127

[8] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/116

[9] Lihat Tafsir al-Tabari, 14/127

[10] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/27

[11] Surah al-Ma’idah: 3

[12] Riwayat al-Bukhari (45) dan Muslim (3017)

[13] Riwayat Muslim (854), Abu Dawud (1046), al-Tirmizi (488), al-Nasaie (1373) dan Ahmad (10645). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad (10645) menyatakan bahawa hadith ini sahih.

[14] Lihat Zad al-Ma’ad, 1/60-65)

Leave a Reply