Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah tunaikan solat sunat wuduk di waktu terlarang seperti menunaikannya selepas Asar? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, solat sunat wuduk termasuk dalam salah satu solat sunat yang disyariatkan dan thabit sandarannya di sisi syarak. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda kepada Bilal ketika waktu solat Subuh:
يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الإِسْلاَمِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الجَنَّةِ قَالَ: مَا عَمِلْتُ عَمَلًا أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طَهُورًا، فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ، إِلَّا صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ. قَالَ أَبُو عَبْدِ اللهِ: دَفَّ نَعْلَيْكَ يَعْنِي تَحْرِيكَ
Maksudnya: “Wahai Bilal, ceritakan kepadaku tentang amalan yang paling engkau harapkan yang telah engkau lakukan apabila memeluk Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi tapak kasutmu di hadapanku di dalam syurga. Beliau menjawab: ‘Tidak ada amalan yang lebih aku harapkan berbanding apabila aku berwuduk pada waktu malam atau siang, aku akan mendirikan solat dengan wuduk itu apa yang telah ditakdirkan untuk aku solat.’” Abu ‘Abdillah berkata: “دَفَّ نَعْلَيْكَ”, maksudnya tautan langkah.”
Riwayat al-Bukhari (1149)
Al-‘Iraqi menyebutkan bahawa hadith di atas menunjukkan bahawa terdapatnya galakkan untuk mendirikan solat dua rakaat selepas berwuduk. (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/59). Selain itu, hadith di atas juga menjelaskan bahawa antara fadhilat mengerjakan solat sunat wuduk ini ialah seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga. Bahkan Syeikh Badruddin al-‘Aini dalam syarahan beliau ke atas hadith ini menyebutkan, sesungguhnya masuknya Bilal ke dalam syurga serta memperoleh kelebihan ini adalah disebabkan perbuatan beliau yang berwuduk setiap kali hadas dan mendirikan solat setiap kali berwuduk sebanyak dua rakaat. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 7/08).
Manakala berkenaan waktu-waktu yang diharamkan untuk seseorang itu mendirikan solat pula, Syeikh Taqiyuddin al-Hisni ada menyebutkan tentang beberapa waktu tersebut iaitu:
- Selepas solat subuh sehingga matahari terbit.
- Ketika matahari terbit sehingga sempurna dan meninggi dengan kadar tombak.
- Selepas asar sehingga matahari terbenam.
- Ketika matahari terbenam sehingga sempurna terbenamnya.
(Lihat Kifayah al-Akhyar, hlm. 126)
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, al-Tuwaijiri menyatakan bahawa solat dua rakaat wuduk adalah sunat muakkad pada mana-mana waktu sama ada siang atau malam, termasuklah pada waktu yang dilarang untuk mendirikan solat kerana ia termasuk dalam solat sunat yang mempunyai sebab (zawat al-asbab). (Lihat Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami, 2/693).
Begitu juga Ibn Qasim ada menyebutkan, digalakkan (sunat) untuk mendirikan solat dua rakaat sesudah berwuduk sekalipun pada waktu yang dilarang — untuk solat di dalamnya. Hal ini adalah supaya wuduk tersebut tidak kosong daripada tujuannya. (Lihat al-Ihkam Syarh Usul al-Ahkam, 1/339).
Selain daripada itu, al-Safiri juga ada menyatakan bahawa digalakkan untuk mendirikan solat dua rakaat atau lebih selepas setiap kali berwuduk dengan meniatkannya sebagai solat sunat wuduk. Hukumnya adalah sunat muakkad dan digalakkan untuk melaksanakannya pada setiap kali waktu berwuduk sekalipun pada waktu-waktu yang dilarang untuk mendirikan solat kerana ia termasuk dalam solat yang mempunyai sebab dan sebab yang disunatkan untuk solat itu mendahulu solat tersebut. (Lihat al-Majalis al-Wa‘ziyah fi Syarh Ahadith Khair al-Bariyyah, 2/374)
Tambahan lagi, Imam al-Nawawi juga ada menjelaskan berkenaan larangan untuk mendirikan solat pada waktu yang dilarang ialah hanya pada solat yang tidak ada sebab. Manakala solat-solat yang mempunyai sebab maka tidak makruh — yakni haram — untuk melaksanakannya pada waktu-waktu tersebut. Maksud solat yang mempunyai sebab ialah sebab (yang disunatkan untuk solat) itu mendahului solat tersebut. Kemudian, beliau menyebutkan pula contoh-contoh solat yang mempunyai sebab sekali gus memasukkan solat sunat wuduk termasuk di dalamnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/170).
Di antara yang menunjukkan kepada keharusan untuk melakukan solat-solat yang bersebab ini pada waktu-waktu yang dilarang padanya untuk mendirikan solat adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Qais bin ‘Amr, beliau berkata:
رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً يُصَلِّي بَعْدَ صَلاَةِ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: صَلاَةُ الصُّبْحِ رَكْعَتَانِ فَقَالَ الرَّجُلُ: إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا فَصَلَّيْتُهُمَا الآنَ. فَسَكَتَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم
Maksudnya: “Rasulullah SAW melihat seorang lelaki menunaikan solat sesudah solat subuh sebanyak dua rakaat. Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Solat subuh itu dua rakaat.’ Maka lelaki itu berkata: ‘Sesungguhnya aku belum lagi melaksanakan solat sunat dua rakaat sebelum subuh, maka aku melakukannya sekarang (iaitu selepas solat subuh). Maka Rasulullah SAW pun diam.”
Riwayat Abu Daud (1267)
Hadith di atas menunjukkan, diamnya Nabi SAW itu menjelaskan bahawa Baginda tidak menghalang solat sunat yang mempunyai sebab untuk didirikan selepas daripada solat fardhu subuh — yakni pada waktu yang dilarang untuk solat.
Oleh itu, jelaslah bahawa solat sunat wuduk boleh dilakukan sekalipun pada waktu-waktu yang dilarang untuk solat padanya kerana ia termasuk dalam solat yang mempunyai sebab.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa menunaikan solat sunat wuduk di waktu terlarang adalah dibolehkan kerana ia termasuk dalam solat sunat yang mempunyai sebab (zawat al-asbab) dan solat sunat zawat al-asbab dibolehkan untuk didirikan pada waktu-waktu yang dilarang.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H