Soalan:

Adakah dibolehkan meletakkan batu nisan di kubur?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Kubur ialah tempat disemadikan mayat selepas berlakunya kematian. Firman Allah SWT:

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ

Maksudnya: “Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan.”

(Surah ‘Abasa: 21)

Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini berkata: “Allah menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan, ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya. (Lihat aI-Jami’ li Ahkam al-Quran, 19/219)

Para ulama menjelaskan dengan panjang lebar berkenaan dengan kubur dalam Ahkam al-Janaiz. Dalam Islam, kubur mempunyai haknya yang perlu dijaga oleh orang yang hidup. Rasulullah SAW mengajarkan kita beberapa hak. Antaranya, menziarahi kubur, mengucapkan salam, membaca doa untuk ahli kubur, tidak duduk di atas kubur, tidak memuja kubur, dan jadikanlah kubur sebagai tempat untuk mengingati akhirat. Banyak nas-nas yang menunjukkan ke arah itu.

Kami nyatakan betapa Islam menggalakkan menziarahi kubur. Daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوا الْقُبُورَ، فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا، وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ

Maksudnya: “Aku dahulunya melarang ke atas kamu ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kubur, kerana ia menzuhudkan dirimu dan mengingatkanmu kepada akhirat.”

Riwayat Ibn Majah (307) dan Ibn Hibban (981). Syeikh Syu’aib al-Arnauth menyatakan bahawa isnadnya dha’if dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (981).

Persoalan di atas telah dijawab oleh Rasulullah SAW sendiri. Diriwayatkan daripada Al-Muttalib bin Abdullah bin Hanthab RA:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم حَمَلَ حَجَرًا فَوَضَعَهَا عِنْدَ رَأْسِ عُثْمَانَ بْنِ مَظْعُونٍ وَقَالَ: : أَتَعَلَّمُ بِهَا قَبْرَ أَخِي لِأَدْفِنَ إلَيْهِ مَنْ مَاتَ مِنْ أَهْلِي 

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW mengangkat sebuah batu yang besar lalu diletakkan di sisi kepala Uthman bin Maz’un RA di kuburnya dan bersabda: “Aku mengetahui dengannya kubur saudaraku dan mengebumikan di sisinya, mereka yang mati dari kalangan keluargaku.”

Riwayat Abu Dawud (3208)

Mengikut mazhab Hanafi, Hanbali dan Maliki harus menanda dengan batu, kayu atau seumpamanya. Ini kerana, yang dilarang oleh Rasulullah SAW ialah membuat binaan atas kubur. 

Imam al-Nawawi berkata:

السُّنَّةُ أَنْ يُجْعَلَ عِنْدَ رَأْسِهِ عَلَامَةٌ شَاخِصَةٌ مِنْ حَجَرٍ أَوْ خَشَبَةٍ أَوْ غَيْرِهِمَا هَكَذَا قاله الشافعي والمصنف وسائر الاصحاب

Maksudnya: “Mengikut sunnah ialah menjadikan di sisi kepalanya satu tanda khas samada daripada batu atau kayu atau lain dari keduanya. Beginilah juga pendapat Imam al-Syafie dan Imam al-Syirazi dan sekalian Ashab.”

Justeru, kami katakan dibolehkan bahkan menjadi sunnah meletakkan batu nisan kepada kubur kecuali dinasihatkan janganlah berlebih-lebihan dalam perbelanjaan menguruskan perkuburan.  Wallahu a’lam.

Semoga Alalh SWT kurniakan kita menjadi hamba-hamba-Nya yang sentiasa taat dan patuh kepada perintah-Nya. Begitu juga, kita ditempatkan dalam kubur-kubur yang menjadi taman-taman syurga. Amin.

Leave a Reply