Soalan:

Adalah suntikan Liraglutide untuk penyakit obesiti membatalkan puasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Terima kasih kepada Dr. Suhazeli yang bertanyakan persoalan ini dan memberikan ilmu baru kepada saya terkait suntikan ini.

Apa itu suntikan Liraglutide?

Ia adalah sejenis ubat yang telah disahkan dan diluluskan sebagai tambahan untuk mengawal berat badan selain daripada diet dan senaman. Bagi mereka yang mempunyai masalah obesiti atau berlebihan berat badan, juga mempunyai masalah yang berkaitan dengan berat badan (seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, atau diabetes jenis 2), ubat ini dapat membantu menurunkan berat badan secara selamat.

Peningkatan teknologi perubatan masa kini makin memudahkan pesakit untuk mengawal paras gula dalam darah mereka. Salah satu daripada rawatan terbaharu untuk mengurangkan gula dan juga memberi manfaat kepada tekanan darah, paras kolestrol dan fungsi pankreas dengan menggunakan hormon Glucagon Like Peptide 1 (GLP-1) agonists. Hormon ini mengandungi Liraglutide yang diproses melalui teknologi rekombinan DNA yang tidak melibatkan haiwan. Selain dari bahan asas Liraglutide, dicampur juga Disodium phosphate dehydrate, Prophylene glycol, phenol dan air sebagai bahan penstabil. Manakala acid hydrochloric ataupun sodium hydroxide dimasukkan sebagai bahan pengekal pH.

Hormon GLP-1 Ini akan bertindak ke atas reseptor GLP-1 agonists di mana reseptor ini akan menjalankan beberapa fungsi tertentu di dalam badan:

  1. Membantu mengawal selera makan dan paras gula. GLP-1 ini akan memberi isyarat kepada otak supaya tidak berselera makan dan minum. Akhirnya pesakit tidak akan banyak makan dan minum. Apabila kurang makan dan minum, maka berat badan akan buat turun. Sebab itulah ianya digunakan dalam rawatan kencing manis dan rawatan kegemukan.
  2. Membantu pankreas supaya mengeluarkan insulin secara optimum. Insulin itu pula sebagai pembawa gula dalam darah untuk diedarkan ke dalam tisu badan sebagai tenaga.
  3. Memperlahankan kadar makanan bergerak di dalam perut. Yang mana membantu untuk mengawal penyerapan gula secara cepat selepas makan (After meal glucose surge). Apabila keadaan ini berlaku menyebabkan seseorang itu akan merasai perutnya sentiasa penuh (sensation of fullness). Situasi ini menyebabkan pesakit akan menghadkan makan. Ia membantu lagi untuk orang yang gemuk bagi mengurangkan berat badan.
  4. Hormon ini juga akan merangsang tindak balas Glukoneogenesis atau pembentukan glukos melalui pemecahan lemak dan protein yang terdapat di dalam otot atau hati. Tidak balas ini membantu lagi pesakit kencing manis dan pesakit gemuk untuk turunkan gula dan berat badan.

Pakar perubatan yang memberikan ubat tersebut akan memberi nasihat bagaimana cara untuk menggunakan ubat hormon ini. Indikasinya adalah kepada orang yang gemuk atau pesakit kencing manis. Sehingga kini banyak terdapat bukti kajian saintifik yang telah berjaya mengawal kencing manis dan menurunkan berat badan pesakit. Kesan sampingannya adalah sedikit dan tidak memudaratkan individu yang mengambilnya dalam tempoh enam bulan.[1]

Suntikan Ketika Sedang Berpuasa

Terdapat lapan perkara yang membatalkan puasa iaitu murtad, haid, nifas dan wiladah, gila, tidak sedar dan mabuk, jimak, memasukkan sesuatu dari luar badan ke bahagian dalam rongga dalam badan (al-jauf), beronani, dan muntah dengan sengaja.[2] ٍSuntikan termasuk dalam hal memasukkan sesuatu dari luar badan ke bahagian dalam rongga badan.

Syeikh Hassan al-Kaf menghimpunkan pandangan para ulama yang mengharuskan suntikan ketika berpuasa dalam keadaan darurat, namun terdapat perbezaan  pandangan dalam hal batalnya puasa dalam tiga pandangan:

  1. Batal puasa secara mutlak kerana masuk sesuatu ke bahagian dalam rongga (al-jauf)[3]
  2. Tidak terbatal secara mutlak kerana masuk sesuatu ke bahagian dalam rongga tanpa melalui rongga yang terbuka
  3. Sekiranya kandungan suntikan tersebut mengandungi nutrisi atau pemakanan maka batal puasanya, namun sekiranya tidak mengandungi pemakanan maka dilihat pada aspek berikut: (i) Sekiranya suntikan pada urat ke bahagian dalam rongga, iaitu saluran urat darah maka batal (ii) Sekiranya suntikan pada otot iaitu urat bukan pada bahagian dalam rongga maka tidak batal. Ini pandangan yang paling sahih menurut beliau.[4]

Kesimpulan

Antara fungsi hormon GLP-1 sebagaimana yang dinyatakan di atas adalah membantu pankreas supaya mengeluarkan insulin secara optimum. Insulin itu pula sebagai pembawa gula dalam darah untuk diedarkan ke dalam tisu badan sebagai tenaga. Justeru, ia dikira sebagai suntikan yang memberi tenaga kepada manusia.

Maka, saya berpandangan bahawa suntikan Liraglutade pada siang hari Ramadhan membatalkan puasa kerana ia bersifat memberi tenaga (mughazzi).  Sebagai langkah berhati-hati jika pesakit memerlukannya, mungkin suntikan itu boleh dibuat pada malam hari di bulan Ramadhan, dengan pandangan dan nasihat doktor.

 

Bertarikh: 24 Mac 2023 bersamaan 2 Ramadhan 1444H

____________________

[1] Huraian lanjut boleh didapati di https://medlineplus.gov/druginfo/meds/a611003.html#:~:text=Liraglutide%20injection%20is%20in%20a,it%20is%20used%20for%20energy; Nuffer, W., & Trujillo, J.M. (2015). Liraglutide: A New Option for the Treatment of Obesity. Pharmacotherapy: The Journal of Human Pharmacology and Drug Therapy, 35.;

[2] Al-Taqrirat al-Sadidah, m. 449-455

[3] Saya nyatakan terlebih dahulu penjelasan berkenaan al-jauf di sisi mazhab Syafi’i. Jauf sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Ruslan adalah:

وكُـــلِّ عَـيْــنٍ وَصَــلَــتْ مُـسَـمَّــى              جَـــوفٍ بِمَـنْـفَـذٍ وذِكْــــرِ صَــوْمَــا

كالـبَـطْـنِ والـدِّمَــاغِ ثـــم الـمُـثُــنِ             ودُبُــــــرٍ وبـــاطِــــنٍ مِـــــــن أُذُنِ

“Setiap sesuatu ‘ain (zat) yang sampai kepada yang disebut

Rongga melalui saluran terbuka dan dalam keadaan ingat

(Rongga tubuh itu) seperti perut, otak, kemudiannya pundi kencing

Dan (lubang) dubur dan bahagian dalam telinga.” (Lihat al-Zubad fi Fiqh al-Islami, m. 156)

Meskipun begitu, tidak mengapa sampai minyak ke dalam rongga atau perut dengan sebab diserap melalui liang roma (Lihat Ghayah al-Bayan Syarh Zubad Ibn Ruslan, hlm. 232)

Jauf sepertimana yang disebut oleh Imam al-Ramli dalam Ghayah al-Bayan iaitu syarzh bagi matan Zubad ialah perut, otak, pundi kencing, lubang dubur dan bahagian dalam telinga. Justeru, jika sesuatu ‘ain itu sampai kepada jauf melalui saluran yang terbuka, maka batallah puasanya. Tetapi, jika sampai melalui saluran yang tidak terbuka, maka tidak batal seperti:

  • Minyak yang sampai kepada jauf melalui serapan daripada lubang pori-pori (liang roma).
  • Kepala atau perut yang disapu minyak dengan sesuatu akhirnya masuk ke dalam.
  • Celak yang dipakai pada mata kemudian terdapat rasa celak pada tekak. (Lihat Ghayah al-Bayan, hlm. 302)

[4] Ibid., hlm. 352.

[5] Maqasid al-Sawm, hlm. 16.

Leave a Reply