Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, apakah sebesar-besar amalan di bulan Ramadhan, selain dari ibadat puasa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, saya berpendapat, kita melakukan ibadat yang wajib dan yang sunat secara istiqamah dan perbanyakkan yang sunat-sunat. Ini berdasarkan dua hadis Nabi SAW tentang keistimewaan Ramadhan.

Daripada Abi Mas’ud al-Ghifari, katanya Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ الْعِبَادُ مَا فِي شَهْرِ رَمَضَانَ لَتَمَنَّى الْعِبَادُ أَنْ يَكُونَ شَهْرُ رَمَضَانَ سَنَةً

Maksudnya: “Kalaulah hamba-hamba Allah mengetahui kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadhan, nescaya mereka bercita-cita supaya bulan Ramadhan berlaku sepanjang tahun.”

Riwayat Ibn Khuzaimah (1886), al-Tabarani (967) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3634). Al-Haithami berkata: “Padanya terdapat perawi bernama al-Hayyaj bin Bistam dan beliau adalah dha’if.” (Lihat Majma’ al-Zawa’id, 3/144)

Mengikut hadis riwayat Salman al-Farisi secara marfu’, antara lain menyebut:

مَنْ تَقَرَّبَ فِيهِ بِخَصْلَةٍ مِنَ الْخَيْرِ، كَانَ كَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ، وَمَنْ أَدَّى فِيهِ فَرِيضَةً، كَانَ كَمَنْ أَدَّى سَبْعِينَ فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ .

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan amalan sunat daripada perkara kebaikan di dalamnya (bulan Ramadan), sama seperti pahalanya melakukan amalan fardu di bulan-bulan lain. Sesiapa yang melakukan amalan fardu (di bulan Ramadan), sama seperti pahalanya menunaikan 70 amalan fardu di bulan-bulan yang lain.”

Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya (1887). Juga terdapat dalam Misykat al-Masabih, (1/612). Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan sebagai dha’if dalam al-Talkhis al-Habir (3/1121)

Selepas menekuni, saya mendapati, antara sebesar-besar ketaatan pada bulan Ramadhan ialah membaca al-Quran dan bertadarusnya. Ini kerana, Allah perintahkan semulia malaikatnya yakni Jibril agar turun dari langit untuk bertemu Rasulullah SAW semata-mata tadarus dengan semulia-mulia makhluk. Inilah juga pandangan Syeikh Abd al-Aziz al-Tarifi.

Memahami hakikat ini, kami nyatakan betapa para sahabat dan salafus soleh telah mengkhatamkan pada bulan Ramadhan, ada yang banyak kali termasuklah Imam al-Syafi’ie yang telah mengkhatamkan dua kali sehari sepanjang Ramadhan.

Semoga Allah jadikan kita termasuk di kalangan ahlul quran wa khassatuh. Saya tutup dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Leave a Reply